Assalamualaikum ...
NAIK PERAHU KE TEBING SEBERANG,
MEMBAWA UBI BERSAMA KERANJI;
JIKA MAHU DISANJUNG ORANG,
TABURKAN BUDI TUNAIKAN JANJI.
BILA MEMANJAT POKOK PETAI,
BAWA GALAH CACAK DI PANGKAL;
JIKA HAJAT SUDAH TERCAPAI,
JENGOK-JENGOKLAH KAMI YANG TINGGAL.
Hah! Itulah pantun kon baru balik menulis ni ...
SUDAH beribu tahun lamanya Orang Asli suku Jahut mendiami kiri kanan tebing Sungai Krau. Dari muara berpindah hingga ke hulu melerengi pergunungan. Nenek moyang mereka berpindah bila tanah hutan yang mereka teroka untuk berladang padi huma, jagung, pisang, ubi keledek dan sebagainya dirampas secara tidak langsung oleh mereka yang kononnya mengaku bertemaddun tetapi secara tidak langsung merampas bumi kehidupan suku Jahut. Mahu tak mahu nenek moyang Jahut berpindah- berpindah- berpindah dan terus berpindah.
Begitu susah payahnya nenek moyang suku Jahut menumpahkan peluh menebas menebang dari hutan menjadi ladang, begitu mudahnya pulak mereka yang mengaku bertemaddun menjadi lanun merampas kesejahteraan satu bangsa asal negara ini.
Suku Jahut jika dilihat dari alam kehidupan perkampungan mereka jelas sekali mereka bukannya suku yang hidup meliar di dalam hutan berpindah randah. Suku Jahut bukan suku yang hanya mencari buah-buah hutan, umbut dan ubi liar di dalam hutan. Jahut adalah antara suku Orang Asli yang hidup berkampung dengan memiliki budaya adat resam turun temurun.
Pada satu-satu tempat mereka mendirikan rumah yang kukuh boleh duduk bertahun-tahun. Membuka tanah menjadikan kampung halaman. Malangnya tanah yang mereka diami tidak pernah bermilik secara mutlak. Mereka mendiami kampung halaman hanya bergantung dengan permuafakatan sesama mereka yang diketuai oleh Batin.
Penjajah Barat tidak pernah memberikan hak milik mutlak kepada Orangf Asli, hanya mereka dibiarkan oleh pemerintahan penjajah mahu duduk di mana berkamung, duduklah! Tapi bila kampung halaman itu mahu dibuka ladang oleh saudagar-saudagar penjajah, maka berundurlah suku Jahut ke hulu sungai. Demikianlah nasib mereka di zaman jajahan Barat.
Orang-orang Jahut adalah antara suku Orang Asli yang berani menyabung hidup. Mereka bijak tabah membuka ladang. Mereka bijak menyumpit. Mereka bijak menjerat. Mereka bijak memerangkap binatang hutan. Mereka bijak mengesan musuh. Mereka bijak membaca angin dan cuaca. Mereka bijak bertutur. Mereka bijak mengamalkan budaya adat resam mereka. Semuanya dididik dari kecil hingga ke tua. Mereka amat menghurmati sesiapa saja.
Kerana kehebatan nenek moyang Jahut inilah pemerintah penjajah menjaga mereka. Tapi jagaannya hanya sekadar mengizinkan mereka tinggal di tanah kononnya rezab Orang Asli tetapi bila diperlukan, rezab itu tidak tertulis secara mutlak, lantas berputih matalah nenek moyang Jahut melihat tanah kampung halaman mereka diambil orang.
Kerana itu beberapa tempat di sepanjang Sungai Kuala Krau pernah didiami oleh nenek moyang Jahut. Zaman dharurat penjajah Inggeris menggunakan Orang Asli untuk membantu gerakan membasmi komunis.
Masih ada lagi orang-orang tua suku Jahut yang mendiami Penderas, Pasu, Lubok Wong, Pian, Terebol, Galong, Mendoi, Seboi, Berdot, Paya Pelong serta menjalar ke Sungai Mai dan Sungai Kiul di Jerantut yang bertugas sebagai pasukan sukarela tentera penjajah. Banyak juga komunis yang tewas oleh mereka. Tapi apakah penghurmatan yang diberikan pada orang-orang Jahut ini? Adakah dicatat dalam sejarah yang boleh anak cucu mereka banggakan? Penjajah tidak menghurmati jasa-jasa ketaatan pahlawan-pahlawan Jahut ini.
1957 negara ini merdeka. Semua rakyat negara ini bebas dari penjajah. Kedaulatan negara diperolehi. Semua bangsa di negara ini menerima hak sebagai rakyat di negara yang merdeka. Apakah Orang Asli suku Jahut di kawasan Kuala Krau menerima sama apa yang diterima oleh rakyat yang lain?
Jawapannya Orang Asli di mana saja, suku apa pun tidak mendapat apa-apa hak keistimewaan sebagai rakyat negara ini. Istimewanya sekadar menerima sedikit bantuan dari Jabatan Orang Asli. Itu pun bagaikan melepas batuk di tangga sahaja!
Kerajaan Perikatan hingga bertukar kepada Barisan Nasional tidak ambil peduli tentang kehebatan orang-orang Jahut sebagai anak asal bumi ini. Hanyalah kehebatan mereka diperagakan pada majlis-majlis keraian tertentu untuk menunjukkan tarian dan lagu sewang mereka.
Mereka juga dipergunakan semasa pilihanraya untuk mengekalkan pemerintahan Barisan Nasional dengana cara mengugut untuk dipotong itu dan ini kemudahan yang dikecapi sedikit itu
jika tidak mengundi Barisan Nasional. Oleh kerana anak-anak Jahut ini ada yang sudah berpendidikan walaupun tidak ke menara gading, maka ada antaranya berani menghadapi ugutan demi membangunkan sukunya, maka mereka akan dipujuk dengan berbagai cara.
Antara caranya agen-agen pilihanraya akan mengangkut makanan sekadar untuk sehari dua ke kampung-kampung Jahut. Mereka akan membawa arak untuk memabukkan anak-anak Jahut. Mereka akan membawa alat hiburan karaoke untuk melalaikan anak-anak Jahut. Tujuannya hanya sekadar musim pilihan raya dan mengundii Barisan Nasional. Mereka juga dijanjikan itu dan ini.
Lepas pilihanraya, usahkan nak mengucap selamat tinggal, muka hidung agen-agen Barisan Nasional tidak kelihatan. Tinggallah anak-anak Jahut dengan mendendangkan lagu nenek moyang mereka yang diterjemahkan:
Kalau ke paya sama ke paya,
Kain cukin pembalut sagu;
Orang kaya samalah kaya,
Kami yang miskin tertunggu-tunggu.
Agen-agen dan calon-calon yang bergelar Yang Berhurmat Barisan Nasional akan datang lagi bila piliharaya menjelang tiba 4 ke 5 tahun akan datang. Mereka kembali membawa arak supaya anak-anak Jahut mabuk dan terlupa untuk menuntut janji-janji lama mereka. Demikianlah tahun demi tahun nasib menimpa tak siapa yang ambil peduli. Barisan Nasional cuba membodoh dan menganggap suku Jahut si Kuala Krau sebagai masih ketinggalan dari ketemaddun manusia kerana itu BN tahun demi tahun menghampakan harapan suku Jahut.
Apakah harapan besar suku Jahut Kuala Krau? Mereka mahu tanah yang mereka duduk dan ladang yang mereka usahakan kini men dapat hakmilik mutlak mereka secara bersurat seperti apa rakyat negara ini dapat!
Kini suku Jahut terus tinggal di kampung-kampung yang tanah mereka diami tidak mempunyai surat hak milik. Mereka terhimpit dengan arus pembangunan. Tanah di kiri kanan perkampungan dijadikan ladang. Pekerja ladang tersebut bukan anak-anak Jahut. Agensi-agensi kerajaan Barisan Nasional bagaikan mengambil kesempatan dengan tanah-tanah sekitar perkampungan orang-orang Jahut Kuala Krau. Tanah mereka dijadikan ladang sawit, hasil dah keluar tapi tidak dinikmati oleh anak-anak Jahut.
Apakah mereka akan menanti, menyambut, meraikan kedatangan calon Barisan Nasional serta agen-agennya dan mengundi Barisan Nasional di Piliharaya akan datang?
Anak muda Jahut telah sedar dengan janji kosong Barisan Nasional. Mereka bertambah tidak percaya dengan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional kerana pertelagahan pimpinan BN sesama sendiri. Pada mereka Bariosan Nasional penyambung penjajah Barat yang mengula-gula dan menderitakan datuk nenek mereka dulu. Mereka kini mula menukar haluan!!
Anak-anak Jahut yang nenek moyang mereka terkenal tangkas di hutan di paya, di kampung. Yang gagah meneroka hutan menjadi ladang dan kampung. Yang kuat mempertahankan adat resam budaya sukunya, pasti tudak akan menjual maruah mereka semudah itu untuk ditagih dengan janji kosong Barisan Nasional.
Pada mereka kini, kemaraan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperjuangkan nasib kehidupan suku Jahut kembali sebagai bangsa yang mendapat keistimewaan seperti bangsa-bangsa lain di negara ini sedang ditunggu-tunggu dan diperjuangkan bersama.
Panji-panji PKR akan terus berkibar di perkampungan suku Jahut dalam DUN Jenderak untuk menurunkan keangkuhan Barisan Nasional yang membawa janji hanya tinggal janji.
Anak-anak Jahut sudah tahu bahawa mereka adalah dari keturunan hebat, sama hebatnya dengan keturunan bagsa-bangsa lain di negara yang merdeka ini!
CUCU: Keturunan Tok Kedu seiring berjuang dengan Datuk Bahaman dan Batin Lakum di sepanjang Sungai Semantan menentang kemasukan Inggeris.
1 comment:
Saya sebagai keturunan Jahut generasi baru terharu dengan pihak saudara yang memahami keadaan kehidupan kami sebenarnya. Pihak kerajaan beranggapan membangunkan masyarakat Orang Asli adalah sukar namun sebenarnya itulah alasan untuk menutup pekung didada. kepada saudara penulis teruskan perjuangan anda dengan tabah berkempen di kawasan kk.
Post a Comment