Wednesday, June 18, 2008
DEMOKRASI TERPIMPIN SELAMATKAN PEMIMPIN Bagaikan Cerita Ajak-ajak Bangau?
Assalamualaikum ...
DARI PERAGAP KE PEKAN KARAK,
MEMIKUL TALAM PEMBERAT BAHU;
LEMBUT BERCAKAP KASAR BERGERAK,
HATI DI DALAM ALLAH YANG TAHU.
Tulah pantun kon hari ini ....
BILA bercakap tentang demokrasi. Pemimpin UMNO mendabik dada mengatakan UMNOlah yang amat demokrasi. Seperti di dunia ini jika nak belajar demokrasi kena datang ke Malaysia dan belajar dengan pemimpin UMNO.
Betul ke? Betul tak betul pemimpin UMNO tetap menyatakan begitu pada siapa saja dan di mana saja. Dulu kini dan akan datang (mungkin) itulah cakapnya.
Cuba kita sama-sama memikirkan tentang cara dan gerak pelaksanaan demokrasi yang dibawa oleh pemimpin UMNO dalam soal pemilihan jawatan dalam parti.
Pemimpin UMNO sentiasa mengatakan sesiapa saja boleh bertanding apa saja jawatan dalam UMNO. 'tapi ianya dengan syarat .....' yang telah ditetapkan bagi menguntungkan pimpinan yang sedia ada mengukuhkan lagi jawatannya.
Usahkan Tengku Razaleigh Hamzah - Dr. Mahathir - Mukriz - Khir Toyo - diakui boleh bertanding apa saja jawatan dalam parti dari Pengerusi Tetap - Presiden hingga ke Pemeriksa Kira-kira, malahan si anu bin si anu atau si aNu binti si anu yang duduk nun di caruk kampung pendalaman hulu sungai, tak pernah ke Kuala Lumpur sekali seumur hidupnya pun boleh bertanding merebut jawatan dalam UMNO ....'dengan syarat ........?'
Kerana itu Dr. Mahathir boleh bertahan 21 tahun sebagai pemimpin UMNO sehingga dia sendiri meletakkan jawatan dan akhirnya kerana demokrasi sangat UMNO tu, maka Dr. Mahathir tak tahan lalu mengikut rakan bekas sejawatannya tak duduk dalam UMNO.
Pak Lah berapa lama boleh bertahan? Allah yang menentukannya! Dari segi zahirnya kalau Pak Lah nak sampai mati menjadi Presiden UMNO seterusnya mengekalkan diri sebagai Perdana Menteri Malaysia boleh dibuatnya atas dasar demokrasi ala UMNO yang diperjuangkan oleh UMNO.
Kita imbaskan bersama cerita rakyat dulu-dulu, masa itu kon darjah satu di tahun 1957 bersekolah di Kampung Kundur, Rembau, Negeri Sembilan, kampung halaman keluarga sebelah ayah kon.
Seekor bangau telah bertemu dengan seekor anjing. Mereka berkawan rapat pada hari itu. Pada satu detik si bangau nak menunjukkan baik budinya telah mempelawa si anjing makan di terataknya (konon ceritanya) yang tidaklah sampai 38 tingkat.
Si anjing yang terasa pelawaan bangau dengan nada lembut dan bersungguh itu tidak menolak pelawaan tersebut. Malahan ia lantas turut sama menyatakan si bangau bagus berkawan. Dia pelawa apa jenis binatang pun datang ke terataknya untuk makan bersama (Ditambahkan penyedap kata oleh kon dengan: Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Kalau banyak kita memanggang, kalau sikit kita menyambal, biar santan jalang asalkan dirasa beramai!) tidak asing-asing.
Datanglah si anjing. Lalu dihidangkanlah oleh si bangau dengan makanan yang dikatakan amat lazat masakannya. Si anjing ternganga juga mulut dan fikiranya mula berlegar. Si bangau terus menjunamkan muncungnya ke dalam botol bermulut kecil untuk menyudu makanan yang ada di dalamnya. Sesekali dia mengangkat muncungnya yang bersudu itu dan menjelingkan mata memandang si anjing yang menjilat sikit-sikit kuah yang meleleh di tepi takar.
Si bangau duduk rehat cendawa kekenyangan sementara si anjing teruslah menjilat tepi botol sekadar menjamah untuk jangan kempunan dan langsung tak mengharapkan kenyang!
Begitu jugalah bila si anjing mempelawa si bangau ke terataknya dengan menghidangkan makanan dalam pinggan leper. Sedapnya anjing menjilat (bak kata budak hari ni: hingga menjilat jari) makanan yang tentunya lazak sedangkan si bangau terkuti-kuti dengan muncung sudunya sekadar menjamah dah tentu tak kenyang.
Maafkan kon tentang perbandingan ini. Tidak terniat menyamakan watak binatang ini dengan seseorang. Cerita anjing dan bangau ini cerita rakyat.
Semua orang boleh bertanding apa jawatan sekali pun dengan syarat dianya ahli UMNO. Tapi ingat mereka kena mendapat kouta sekian-sekian jumlah besar yang ditentukan untuk jawatan besar! Dan kouta mendapatkan cadangan dari bahagian itu akan mengikut saiz dengan jawatan yang dipertandingkan.
Demokrasi apakah ini? Pelawa siapa saja boleh bertanding! Tapi ada syarat yang amat berat bagi mereka yang tidak memegang tampok kuasa! Bagi yang sedang berkuasa itu perkara mudah! Kalau tak boleh pujuk gunakan ugut! Kalau pujuk tentu ada pemujuknya. Kalau ugut tentulah ada mencari kesalahannya. Banyak orang takut dengan yang berkuasa! Banyak juga yang berkuasa menakutkan banyak orang!
Maka hari ini. Mampukah Tengku Razaleigh nak melawan Datuk Sri Abdullah Bedawi untuk jawatan Presiden parti dengan syarat mendapatkan jumlah kouta yang mesti dilakukan. Kalau tak dapat, cukuplah hanya sampai di sini. Tak sampai pun ke peti undi! Maka terus lenalah Pak Lah di tahta Presiden UMNO.
Inilah demokrasi yang dipamerkan oleh pemimpin UMNO untuk ahli UMNO. Lalu Kerajaan Barisan Nasional hari ini di pimpin oleh Presiden UMNO, maka demokrasi ala UMNO itu jugalah menjalar ke pentas negara. Malahan ianya lebih teruk dari ajak-ajak bangau itu. Demokrasi terpimpin untuk menyelamatkan pemimpin!
CUCU: Ingatkan kawan-kawan seperti juga kawan-kawan mengingatkan kon supaya jangan jadi penjilat untuk mendapatkan pangkat, kuasa dan ringgit!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment