Wednesday, August 27, 2008

UMNO/BN GAGAL KELABUI FIKIRAN RAKYAT

Assalamualaikum ...

MENYUSUN TAPAK GASING PEMANGKAH,
KAKI BERLUNJUR TALI BERGETAH;
SEKALI MENAPAK TERUS MELANGKAH,
MEMBUJUR LALU MELINTANG PATAH.


Itulah pantun kon kali ini kerana lama dah kon tak menulis ...

KEMENANGAN Dato Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh dengan majoriti yang melebihi diperolehi Dato Seri Wan Azizah semasa PRU ke 12, 8 Mac lalu adalah gelombong suara rakyat yang amat mahukan perubahan tadbir di negara ini. Dimana selama ini hampir telah 51 tahun Barisan Nasional (dulunya Perikatan) diamanahkan rakyat mentadbir Kerajaan Malaysia telah banyak melakukan berbagai kerenah yang semakin lama semakin menyusah dan menyakitkan hati dan perasaan rakyat!

Sikap kroni yang diamalkan oleh pemimpin BN yang ditunjangi oleh UMNO melabakan segelintir pemimpinnya hingga menjadi kaya raya dan melaksanakan kuasa mengikut perasaan semata-mata sehingga memerit dan menderitakan rakyat telah mula disedari rakyat!

Menutup pekong tembelang yang diamalkan oleh pemimpin UMNO/BN menggunakan jentera kerajaan dan media massa arus perdana dengan menyebarkan fitnah / cerita rekaan / membesarkan perkara kecil tidak dapat lagi mempengaruhi hati senubari rakyat kini.

Ini bererti rakyat termasuk ahli UMNO/BN sudah matang melihat kebijaksanaan pemimpin UMNO/BN mencipta dan mengarahkan isu-isu rekaan mereka disebarkan oleh tv dan akhbar serta berbagai majlis keramaian seperti foram dan kursus motovasi semata-mata mahukan mereka kekal berkuasa dan mengaut untung laba yang sepatutnya untuk rakyat.

Pemimpin UMNO/BN juga sudah tidak mampu lagi mengaburi mata dan pemikiran rakyat yang setia membuta tuli kepada pentadbir yang korup! Masa dibuai dan dinyanyikan lagu indah oleh pemimpin UMNO/BN telah berlalu.

Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos 2008 harus disedari oleh pemimpin UMNO/BN bahawa rakyat telah mula menyusun peringatan bahawa kekuasaan yang diamanahkan bila-bila masa saja boleh dialihkan pengamanahan tersebut ke pihak lain yang mampu menyuburkan kehidupan rakyat serta amalan demokrasi di sebuah negara bangsa yang berdaulat! Walaupun pemimpin UMNO/BN berbuih mulut menyatakan bahawa hanya UMNO/BN saja mampu memberikan kesejahteraan kepada rakyat negara ini.

Omong-omong kosong pemimpin UMNO/BN akan berakhir bila gelombang kebangkitan rakyat menyatakan protesnya dilakukan pada PRU ke 13 nanti.

Rakyat telah memberikan amanah yang besar kepada pemimpin UMNO/BN begitu lama mentadbiri negara ini tetapi rakyat sudah merasa bahawa mereka sedang dibuai mimpi indah tetapi bila terjaga penderitaan yang amat ketara.

Kerana itu kemunculan DSAI mengisi kerusi parlimen bersama beberapa orang lagi pejuang PAKATAN RAKYAT terdiri dari PKR / DAP / PAS /PSM akan membawa suara rakyat dalam usaha melaksanakan perubahan besar kepada negara ini bagi mencapai matlamat sebagai sebuah negara yang berprinsip kepada keadilan dan berkebajikan demi rakyat menikmati hidup yang sejahtera, menerima hak bagi mereka yang berhak!

Gelombang fitnah yang diperaga oleh pemimpin UMNO/BN telah dihancurkan oleh pengundi Permatang Pauh dan meletakkan DSAI sebagai antara pengatur bersama-sama pemimpin PR untuk reformasi!

Tidaklah semudah itu pemimpin PR untuk mendapat amanah melaksanakan reformasi! Banyak cabarannya. Namun rakyat tetap menunggu usaha murni itu demi kepentingan mereka. Kerana itulah bukan sahaja ahli dan penyokong parti PR malahan ahli parti kompenan BN juga terutamanya UMNO menunggu-nunggu kemenangan DSAI mewakili PR untuk turut sama di parlimen membawa reformasi seterusnya mengwujudkan sebuah pentadbir negara yang adil dan berkebajikan.

Adalah menjadi tugas utama para pemimpin PR menerima amanah rakyat ini untuk kepentingan rakyat dengan mengenepikan isu remeh temeh dan tidak mempedulikan fitnah atau andaian serta adu domba pemimpin UMNO/BN.

Menapak sudah melangkah, biarlah terus bergerak dan berlari di padang luas dengan tidak menjadikan duri dan onak yang ditaburi oleh si zalim untuk menghalang kehendak rakyat dalam era reformasi bertujuan menegakkan keadilan dan berkebajikan untuk semua!

CUCU: Reformasi! Reformasi! Reformasi! Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!


Tuesday, August 12, 2008

LALUAN ANWAR DI PERMATANG PAUH - bukan mudah mencatat sejarah.

Assalamualaikum ...

Nyiru pengalas beras jati,
Curah ke guni di laluan ampai;
Jika ikhlas berniat di hati,
Usaha murni kebenaran tercapai.

Begitulah pantun kon kali ini ...

RAKYAT Malaysia menunggu kemaraan langkah Dato Seri Anwar Ibrahim, antara lelaki hebat yang tidak mengenal tumpas walaupun anika landaan dan rintangan yang dilalui dalam perjalanan ke mercu memimpin kebangkitan rakyat dalam Era Malaysia Baru untuk menjamin hak rakyat dengan keadilan dan kebajikan untuk semua.

Permatang Pauh tempat bermula melangkah hampir 20 tahun lebih dulu. Kini 16 Ogos 2008 di tempat yang sama lelaki bernama Anwar Ibrahim ini akan memulakan semula kesinambungan langkah perjuangannya setelah berehat hampir 10 tahun di dalam penjara dan sekatan kezaliman yang terpaksa dilalui hasil fitnah!

Rakyat berbagai bangsa dan lapisan menunggu penuh dengan debaran keputusan Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 akan datang. Ada debaran yang mengharapkan kegembiraan dan tidak kurang juga dengan debaran ketakutan.

Siapakah yang mengharapkan kegembiraan di Pilihanraya Kecil Permatang Pauh ini? Mereka ialah rakyat yang semakin menderita kehidupan di bawah panji-panji pemerintahan UMNO/BN. Yang kaya bertambah kaya! Yang miskin papa kedana! Yang berkuasa terus menggila! Yang lemah terus tersiksa! Yang berpengaruh terus mengaut rakus hasil negara! Pak turut yang sentiasa menganggok hanya mengutip remah-remah terpelanting dari kantong kroni yang korup!

Siapakah yang dalam debaran ketakutan di Pilihanraya Kecil Permatang Pauh ini? Mereka ialah para pemimpin yang mengamalkan korupsi dalam anika bentuk pentadbiran negara. Ini termasuk pemimpin politik, pagawai perjawatan dan individu yang mengambil kesempatan selama ini di atas kata-kata: Aku yang memerintah! Tepok dada tanya selera!

Jika lelaki yang mengibarkan panji-panji reformasi ini berjaya lolos di hari penamaan calon 16 Ogos 2008, debaran-debaran yang disebutkan tadi mula mengombak di dada rakyat Malaysia! Seterusnya jika kejayaan diizinkan Allah swt pada 26 Ogos 2008 nanti, bukan saja debaran tetapi satu gelombang perubahan ke arah keadilan dan berkebajikan untuk kesejahteraan bukan saja pengundi dan rakyat Permatang Pauh, Pulau Pinang tetapi memancar dan dinikmati oleh rakyat Malaysia yang selama ini terpinggir oleh kerajaan UMNO/BN.

Maka debaran-debaran inilah ada masanya menyukarkan perjalanan Anwar Ibrahim walaupun kaca mata zahirnya mudah!

Fitnah yang amat besar dan jahat telah diterima oleh lelaki pejuang rakyat ini untuk kali kedua. Berbagai soal remeh temeh dibangkitkan bagaikan percikan api ditungkun, dihembus nyalakan menjadi marak agar dapat membakar lorong-lorong perjalanan ikhlas Anwar Ibrahim untuk kesejahteraan rakyat.

Fitnah ini pasti datang dari kelompok musuh secara langsung bersama-sama juak-juak yang mengelilingi pemimpin UMNO/BN. Mereka diupah merayau menyebarkannya bukan saja di kawasan Parlimen Permatang Pauh tetapi ke seluruh negara dengan menggunakan media massa negara!

Tidak perlu rasanya diperturunkan satu persatu kerana rakyat sudah dengar dan baca tetapi tidak melihat secara nyata dan jelas. Hanya kesamaran reka cipta teknologi diperagakan. Namun rakyat tidak semudah itu menerimanya. Terlalu kecil persen penerimaan membuta tuli dan ini terbukti semasa PRU ke 12 (8 Mac 2008) yang baru berlalu.

Selain dari kerja yang jelas jahat dari musuh politik, beberapa isu juga sedang dimainkan oleh beberapa pihak sama ada secara sedar atau tidak - secara terancang atau tidak yang boleh digunakan oleh pihak musuh sebenar bagi menggagalkan perjalanan Anwar Ibrahim di Permatang Pauh!

Tidak perlulah rasanya diulang-ulang isu-isu tersebut kerana rakyat sudah jemu dengan permainan politik UMNO/BN bersama kuncu-kuncu serta mereka yang berkawan tetapi ada rasa cemburu dan iri hati serta ketakutan yang tidak tentu hala. Isu-isu yang tiba-tiba muncul ketika persiapan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh ini atas tajaan siapa? Isu-isu ini disuarakan oleh siapa? Isu ini untuk siapa? Isu ini tujuannya apa?

Jawapannya isu-isu yang ada masanya datang rakan tidak disedari hanyalah dimainkan oleh mereka yang mahu melonggokkan ranting untuk menyekat perjalanan Anwar Ibrahim dari kejayaan di Permatang Pauh - ke parlimen - ke Putrajaya - menubuhkan Kerjaan PAKATAN RAKYAT!

Ada kecemburuan dari individu atas kerja Anwar Ibrahim ini. Lalu mereka bisikkan pada seseorang dan seseorang membisikkan ke seseorang yang lain, kemudian bersuara, lantas bersahutan. Dan sahutan itu diharapkan akan dapat memekakkan telinga pengundi di Permatang Pauh untuk mendengar dan menghayati perjuangan rakyat yang dibawa oleh Anwar Ibrahim!

Jika Anwar Ibrahim diizinkan oleh Allah swt dengan kerja kuat petugas PR berjaya di Permatang Pauh, apakah dalam kegembiraan rakyat ada hati-hati individu yang sakit? Bagi UMNO/BN memang jelas ianya bukan sahaja sakit tetapi kecut perut!

Namun rakyat Permatang Pauh pasti gembira kerana sireh pulang ke gagang, pinang pulang ke tampok, walaupun dalam tepak yang berlainan tetapi ianya lebih baik dan kemas. Dulu UMNO/BN kini PKR. Dulu ianya dacing yang boleh tak seimbang tetapi kini ianya mata yang tajam memandang penghidupan akar umbi bernama rakyat.

Kerana itu apa pun fitnah dan isu yang ditimbul atau tertimbul secara langsung atau tidak langsung, secara sedar atau tidak sedar, secara terancang atau tiba-tiba, dari musuh atau rakan, hanyalah pengundi Permatang Pauh yang menentukannya. Samada mahu mengekalkan sebuah kerajaan yang korup dan zalim atau beralih kepada sebuah kerajaan yang adil dan berkebajikan untuk kesejahteraan rakyat.

Sejarah kemenangan PKR yang mewakil PAKATAN RAKYAT di Pilihanraya Kecil Permatang Pauh 26 Ogos 2008 ini adalah perjalanan untuk mencatatkan satu sejarah tanahair dimana akan bermulanya detik ketumbangan kerajaan UMNO/BN yang selama ini diagung-agungkan membela rakyat tetapi sebaliknya apa yang dinikmati oleh rakyat biasa!

Bukan semudah berkata untuk mencatatkan sesuatu sejarah baru, samada untuk sebuah kehidupan rakyat atau sebuah negara! Bukan mudah menncatatkan sejarah menjatuhkan sebuah kerjaan yang zalim dan membangunkan sebuah kerajaan rakyat yang berpaksi kepada kebenaran, keadilan dan berkebajikan!

Maka undi untuk Anwar Ibrahim ditunggu penuh debaran oleh semua pihak. Persiapan-persiapan pihak tertentu mungkin sedang dirancang. Cuma janganlah rancangan itu semata-mata mahu mengekalkan terus kepimpinan UMNO/BN. Yakinlah bahawa PAKATAN RAKYAT boleh mentadbiri negara ini dengan aman dan sejahtera! Suara-suara yang berkepentingan individu hanyalah alat untuk mengekalkan kekuasaan UMNO/BN dan merasakan tidak yakin bahawa kita yang berjuang di atas kebenaran ini mampu memerintah negara ini!

CUCU: Tak takut bertembung musuh tapi takut kawan betis dari belakang.