Thursday, September 18, 2008

SEPAK TENDANG TERAKHIR UMNO/BN

Assalamualaikum ...

JERAM LANDAK DI TENGAH PAMAH,
BULUH AUR PEMBUAT PERABUT;
BILA BERTINDAK BIAR BERHEMAH,
BILA MENGHULUR BIAR BERSAMBUT.

Apakah yang tersirat di hati Pak Lah bila dia tiba-tiba menyerahkan Menteri Kewangan yang diterajuinya kepada Najib? Rata-rata rakyat kebanyakannya tidak ambil kisah. Kerana bagi mereka serah pada siapapun dalam kelompok BN ekonomi negara tetap menyusahkan rakyat hari ini dengan harga barang keperluan begitu tinggi.

Apakah penyerahan itu memberi ruang baru untuk Najib berusaha menstabilkan ekonomi negara setelah berjaya menyediakan armada perang Malaysia yang hebat semasa menerajui Kementerian Pertahanan?

Atau Pak Lah memang nak menguji Najib samada mahu terus menjadi kaki anggok sehingga pelan peralihan kuasa 2010? Nampaknya Najib terima apa saja yang Pak Lah nak beri pada dia, asalkan cita-citanya berjaya menjadi Presiden UMNO dan Pendana Menteri menjelang 2010. Ini kesetiaan yang mesti diberikan oleh Najib pada Pak Lah.

Kalau tidak! Derhakalah namanya. Najib tidak boleh derhaka! Kerana dia sendiri sudah keluarkan kenyataan tidak mahu menderhaka? Cuma kalau ada orang-orang bawah Najib nak menderhaka melanggar pelan peralihan kuasa 2010 itu dengan mencalonkan Najib sebagai calon Presiden, terpulanglah. Agaknya Najib lepas tangan! Mahyuddin kalau nak jadi juara, dipersilakan bersuara tegas terus agar dapat bersama Najib ke mercu jaya sebelum 2010. Dari mulut Najib dia tidak boleh keluar perkataan setuju nanti akar umbi akan perlekehkan politiknya.

Bagaimanapun nampak-nampaknya Najib bagaikan tidak sabar juga dengan pelan peralihan kuasa 2010 Pak Lah tu. Mungkin dia bimbang kerana angin bertiup kencang ke Gua Musang dimana Ku Li sudah mendapat tempat yang begitu tebal di hati akar umbi UMNO untuk dicalonkan sebagai Presiden UMNO.

Kalau itu terjadi Najib bagaimana? Kerana itu Najib kena langgar kata-kata keramatnya "tidak mahu menderhaka" kepada pantun 'Kuala Krai Kota Bharu - Bila try baru tahu'. Kalau tidak dia akan tercicir.

Nampaknya hadiah Pak Lah kepada Najib memikul Kementerian Kewangan agar meredakan perasaan anak Pekan Pahang itu supaya tidak menderhaka belum tentu lagi. Bagi Najib berada di dua simpang; Ke kanan menderhaka, ke kiri menunggu kecewa!

Apakan tidaknya? Pak Lah belum tentu lagi akan meneruskan pelan peralihan kuasa 2010 tersebut kepada Najib. Mungkin dalam masa 2 tahun ada pemimpin lebih berkelibar dan lebih taat dari Najib, masa itulah Najib di ambang kecewa! Khairy Jamaluddin yang akan bertanding Ketua Pemuda UMNO mungkin tidak akan melepaskan peluang besar ini. 2 tahun bukan 2 bulan, sedangkan 2 jam boleh berubah!

Ataupun Ku Li berjaya sebagai Presiden UMNO, tak kan dia nak angkat Najib sekutu Pak Lah yang banyak menyekatnya sebagai orang di belakangnya, pasti Mukhriz atau sesiapa yang berani sekarang ini menyokongnya dan menyangkal kehendak Pak Lah.

Bagi akar umbi UMNO sekarang ini memerlukan pemimpin yang berani. Pemimpin yang taat membuta tuli tidak menguntungkan mereka, kerana selama ini atas dasar ketaat politik, pemimpin menjadi kaya raya, akar umbi makan hati.

Dari pandangan politiknya, segala gerak dan geri yang sedang dilakukan dan berlaku secara langsung atau tidak langsung atau secara dirancang atau tidak dirancang ianya menggambarkan sepak tendang terakhir yang terpaksa dilakukan oleh Pak Lah dan juga pemimpin UMNO/BN dalam menghadapi kemaraan kebangkitan protes rakyat termasuk akar umbi Umno bawahan.


CUCU: Tetap berpegang kepada kebenaran bukan kepada kehebatan, kerana dalam kebenaran ada kehebatan tapi dalam kehebatan selalunya terlupa kebenaran.


PROTES!!!

KON
SELAKU RAKYAT MALAYSIA
SEBUAH NEGARA DIDIRIKAN ATAS DASAR DEMOKRASI
TETAP MENENTANG
AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI
(ISA)
YANG DIPERALATAN OLEH
KERAJAAN UMNO/BARISAN NASIONAL
UNTUK KEPENTINGAN
MENGEKALKAN KEKUASAANNYA


KON
MEMINTA
AGAR MEREKA YANG DITAHAN DI BAWAH AKTA
TERSEBUT (ISA)
DIBAWA KE MAHKAMAH
ATAU
DIBEBASKAN SEGERA!!


Dari
CUCU TOK KEDU

Monday, September 15, 2008

PUISI DARI TERATAK KECIL DI HUJUNG KAMPUNG 2

Assalamualaikum.

SIAPAKAH YANG MEMBEBASKAN BUMI INI?
(Sempena Hari Malaysia 16 September 2008)

Kian lama bumi yang ku tapakki ini
merekah memuntahkan darah dan nanah
dari gedung kezaliman sang pemerintah
yang tidak pernah kenal kemanusiaan
tidak pernah berpegang pada keimanan
di sini sang pemerintah
menepok dada
memekakkan telinga
membutakan mata
mengeraskan hati
rintihan rakyat tidak ambil peduli.

Di sini udah tiada kebebasan suara
petunjuk keimanan hanya kata dusta
sebagai pelindung untuk terus berkuasa
hak pemerintah mesti dengar dan patuh
kerana kuasa manusia
telah bermaharaja lela
mengatasi perintah Yang Maha Esa.

Demi masa! Apakah ada bicara cinta
dari pemerintah kepada jelata ?
kerana kian lama diberikan setia
hanya kroni yang melonggokkan harta
dan kuntum-kuntum indah di taman
mulai luntur warna setia
dari hujanan darah dan nanah
yang mengalir dari rekahan pekong
kezaliman sang pemerintah.

Aku mencari kebebasan di bumi demokrasi ini
sepadan dengan kemerdekaan
dilaongkan tahun demi tahun
tapi ianya tidak bererti
dari pantai
ke puncak gunung
rakyat dikongkong dengan berbagai akta
apakah itu ertinya merdeka
hadiah untuk satu negara bangsa
yang semakin derita.

Siapakah yang akan bangun dalam longlai
menyusun jurus dan tari pendekar berani
kerana di bumi ini akta mengikat gerak langkah
yang menaburkan fitnah tak sudah-sudah
lalu si perasuah hidup mewah
dan bumi ini tidak akan bebas
selagi jelata berpelok tubuh
menunggu subsidi yang bertangguh.

Si politik jujur fitnah ditabur
si ulamak diperanak-anak
si cerdik pandai hidung ditindik
si pengampu mencanang hilir hulu
mengkhabarkan keindahan
bumi ini dan pemerintah ini
telah membangunkan bangsa dan negara
dan yang nyatanya
airmata si jelata
adalah hidangan setia
yang ditagih dari masa ke masa.

Siapakah yang akan bangun
membebaskan dirinya bersama aku?
siapakah yang akan mencuci
darah dan nanah direkahan bumi ini?
siapakah akan bersama memercukan
panji-panji keadilan dan kebenaran?
atau kita bersedia menyiapkan keranda
untuk kematian anak cucu kita
dalam derita!

CUCU TOK KEDU
Teratak Kecil Hujung Kampung,
Lanchang, Pahang.
15hb. September 2008





Monday, September 1, 2008

PUISI DARI TERATAK KECIL DI HUJUNG KAMPUNG 1

Assalamualaikum ...

Puisi ini kon baca di majlis Baca Puisi Merdeka anjuran Prihatin Malaysia bertempat di rumah Dato Kamal Amir Taman Tun Ismail jam 10.00 malam 29.8.2008 Jumaat.



AUM SI TUA



Auuuummmmmm ...

Engkaukah si tua yang mengaum lesu
dari mahligai belantara
kau cipta undang-undang
untuk kian kali ketaatan dipaksa
penghuni menjunjung kasih
dengan airmata kepedihan dan kesengsaraan
kau yang diagongkan
menimbun kemewahan nafsu
mengelilingi kau
hingga kau berkata sendiri
'akulah yang berkuasa
mengecapi selera seribu bahasa!'.

Auuummmmmm ....

kedengaran semakin lesu
kerana isi belantara sudah tahu
tingkah dan laku
melaongkan kemewahan - keamanan - kesejahteraan -
untuk jelata
hanya remahnya yang ditabur!

Auuummm ....

semakin lesunya
belangkau telah pudar tercalar
taringkau perang telah tumpul
namakau diangkat-angkat hanya dengan auman
tidak bergema lagi membelah bukit
seisi belantara ini telah tahu
tipu muslihat kau
selaku menteri rimba kehilangan tenaga
dan gempaan isi belantara
menggegar bukit dan gunung
melenturkan si pendabik dada
satu tika mengangkat ekor
berkata 'aku pantang dicabar!'

Auummm ...

benar-benar semakin lesu
isi belantara menunggu tiba
runtuhnya kuasa si belang tua
lalu meneriak
'hancurkan undang-undang rimba
kerana rimba sudah menjadi kota!

Auuumm ...
Auumm ...
Aumm ...
Aum ...

tidak bermaya
tidak berharga
tidak berkuasa
rebah tidak bermakna!

Kaukah si tua itu?


CUCU TOK KEDU
Teratak Kecil Hujung Kampung,
Lanchang, Pahang.
23hb. Ogos 2008.