Thursday, October 30, 2008

DEB UNTUNGKAN BUKAN MELAYU - Temberang Pemimpin Umno Terburai!

Assalamualaikum ...

ORANG MENJALA PAYA BERLUMUT,
RAGA BERTANGKAI SANGKUT DIRUSUK;
MENUDUNG GULA DIHURUNG SEMUT,
MENUDUNG BANGKAI BERBAU BUSUK.

Faham-fahamlah pantun kon di atas!

BERTAHUN-tahun lamanya pemimpin UMNO menempik bahawa Dasar Ekonomi Baru menguntungkan dan membangunkan ekonomi orang Melayu! Maka bersahutan sana-sini; kata orang kampung kon 'naik kantok' orang Melayu terutamanya pemimpin kampung Umno meneriak bahawa DEB jangan diapa-apakan! Ianya mesti diteruskan! Malahan mereka sanggup rebah kerana mempertahankan DEB! Mereka termakan cakap pemimpin Umno tentang DEB!

DEB menjadi agenda utama pemikat semangat Melayu dalam membangunkan ekonomi! Ini dipergunakan sungguh-sungguh oleh pemimpin Umno untuk mendapatlkan kuasa di masa pilihan raya umum ataupun kecil! Ahli Umno yang tak tahu hujung pangkal pun sahut bersahut. Mereka mempertahankan DEB jangan diganggu gugat! Seolah-olah mempertikaikan DEB sama mempertikaikan tentang Melayu!

Bila kon menonton Berita Tv3 jam 8.00 malam (lebihkurang) 30 Oktober 2008 bersamaan hari Khamis terpapar wajah bekas Menteri Besar Umno menyatakan: DEB banyak memberi keuntung pada orang bukan Melayu!

Ternganga kon seketika! Kerana pak-pak saudara kon! yang dah tak berdaya nak berjalan pun bagaikan minta dipapah untuk nak berarak memprotes jika ada pihak yang nak menggantikan DEB dengan dasar ekonomi yang lain, kerana pada mereka DEB benar-benar menguntungkan orang Melayu untuk bersaing kalaupun tak dapat mengatasi bukan Melayu dalam bidang ekonomi!

Seolah-olah antara Melayu dengan DEB bagaikan irama dengan lagu! Tapi kalau benar-benar pakar ekonomi yang jujur mendedahkan satu persatu pelaksanaan DEB, maka di situ akan tertera agak lebih banyak misteri dari apa yang bekas Menteri Besar Umno katakan.

Rakyat terutamanya orang Melayu tergula-gula oleh cakap pemimpin Umno! Memang ada orang Melayu yang mendapat faedah besar dengan DEB tapi siapa? Mereka bukannya pakcik makcik, abang kakak, ipar lamai yang duduk di kampung! Mereka di kampung atau di felda serta di rumah pangsa bandar hanyalah mendapat melukut yang tercampak dari nyiru yang ditampi oleh pemimpin Umno untuk mengutip beras bernas!

Kenyataan bekas Menteri Besar Umno itu boleh mencelikkan mata rakyat seluruhnya terutama orang Melayu bahawa usaha PAKATAN RAKYAT untuk memberikan keadilan dan berkebajikan kepada rakyat melalui Agenda Ekonomi Malaysia ada dasar ekonomi yang akan membangunkan ekonomi rakyat bawahan yang selama ini disisih secara temberang oleh pemimpin Umno/Bn.

Agenda Ekonomi Malaysia memberi keadilan dan berkebajikan untuk rakyat dalam negara Malaysia Baru akan ditadbir PAKATAN RAKYAT yang disokong oleh rakyat!

Nampaknya temberang pemimpin Umno semakin hari semakain pecah terburai. Rakyat semakin hari semakin faham apa yang dilaku dan dicakapkan oleh pemimpin Umno/Bn selama ini!

CUCU: Nak ingatkan: Jangan serahkan harta pada lanun! Kerana lanun sama lanun pun berebut harta! 1 untuk kamu, 10 untuk aku! Itu dasar lanun!




Wednesday, October 29, 2008

UGUT SENGUGUT - Penyakit Umno semakin Parah

Assalamualaikum!

PAKAI TONGKAT DI TANAH RATA,
JALAN KE PEKAN SABAK BERNAM;
BILA PANGKAT MENCARI HARTA,
SESAMA RAKAN BENAM MEMBENAM.

Tu pantun kon kali ini.

BERITA yang menyedih dan menggelikan hati menjadi perbualkan seketika di kedai kopi baru ni berkenaan seorang pemimpin Umno Johor juga bertaraf menteri mengeluarkan kenyataan bahawa dianya telah menerima sms berupa ugutan.

Pemimpin tertingginya pula menyatakan dianya tidak tahu menahu tentang ugutan itu dan mengutuk perbuatan demikian.

Ingin ditanya: Kenapa tidak dilapurkan kepada polis? Kerana ianya suatu yang boleh mendatangkan akibat buruk - perkataan 'ugut' itu sendiri satu perkataan jenayah menakutkan! Jika tidak dilapurkan kepada polis maka putik jenayah dibiiarkan berbunga? Adakah pemimpin Umno merelakan sewenang-wenangnya perkara itu berlaku? Tentunya tidak kerana mereka mahukan negara ini aman - memudahkan mereka berkuasa lantas melonggok kekayaan!

Jika sesama pemimpin Umno - ugut mengugut berlaku - maka tidak hairanlah jika dakwaan parti pembangkang semasa pilihanraya umum atau kecil berlakunya 'ugutan' terhadap pengundi dan juga petugas pilihanraya dari pihak Umno untuk mempastikan Bn menang!

Bagaimanakah para pemimpin Umno sentiasa melaungkan bahawa negara ini mengamalkan demokrasi? Sedang sesama dalam pemilihan Umno sendiri telah wujud ugutan?

Siapakah yang mengugut? Ianya boleh didedahkan kerana setiap pemilik telefon sekarang ini berdaftar! Siasatan rapi mesti dilakukan kerana ianya boleh membungakan suatu ancaman terhadap rakyat dan negara jika amalan tersebut dibiarkan!

Pemimpin Umno sentiasa mengatakan bahawa Umno kuat! Ahli-ahli Umno matang berpolitik! Tapi matang apa kejadahnya jika ugut diamalkan. Apakah ugut politik berlainan dengan ugutan yang lain. Jika politik boleh diugut, maka ugutan cinta, ugutan akademik, ugutan sastera, makcam-macam lagilah boleh diistilahkan akan datang! Perkataan ugut akan menjadi perkataan lumrah rakyat Malaysia dan akhirnya perkataan itu akan melahirkan perbuatan yang seterusnya berupakan jenayah!

Perbuatan mengugut pengundi dan pemilih bukanlah amalan yang baik dan demnokrasi! Tetapi bila pemimpin Umno/Bn melatih dengan perbuatan yang tidak senonoh seperti mengugut untuk memboikot pengundi atau pemilih yang menyokong pembangkang untuk mendapatkan sesuatu bantuan atau saham percuma, lalu ianya dilakukan sesama sendiri dalam Umno itu sendiri.

Sebenarnya mengugut bukanlah menggambarkan kehebatan! Ianya bukan anak jantan! Ianya hanya datang dari keangkuhan kekuasaan! Ianya tidak demokratik! Ianya perbuatan orang penakut yang berselindung dengan tabir kekuasaan. Jika terhadap parti pembangkang ianya ditabiri oleh kekuasaan pemerintah! Jika sesama Umno ianya ditabiri oleh pemimpin yang mempunyai kuasa!

Pemimpin Umno hanya berani kerana ada kekuasaan pada tangan mereka. Kekuasaan itulah yang mengaburi mata dan hati rakyat selama ini. Bercakap demokratik tetapi sebaliknya! Bercakap lain, niat di hati tidak tulus! Mengunakan berbagai slogan dan falsafah menaikkan semangat rakyat tetapi kesimpulannya untuk mempertahankan kekuasaannya dan melalui kekuasaan itulah pemimpin Umno kaya raya!

Kelam kelabut Umno hari ini ialah untuk mereka menjadi pemimpin! Menjadi pemimpin kepada mereka adalah lesen untuk mendapatkan jawatan! Mendapat jawatan bererti mebndapat kekayaan! Itukah falsafah Umno 'dulu, kini dan selamanya'?

Dalam keadaan kelemasan untuk siapa yang akan menyertai pimpinan Umno dalam pemilihan Mac 2009 ini. Banyak pemimpin Umno yang dihinggapi penyakit sengugut politik! Suatu penyakit yang berbahaya juga jika tidak dikawal. Penaykit Ugut dan Sengugut amat bahaya kepada politik demokrasi negara!

Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kepada pemimpin Umno yang kena ugut melaporkan perkara ini kepada polis! Walaupun ianya beristilahkan "ugut politik"! Sementara mereka yang bertanding biarlah dalam keadaan tenang, bersofan sebagai melatih ahli-ahli mereka yang masih taksub dengan Umno berdepan dengan rakyat semasa pilihanraya akan datang kerana rakyat sekarang sudah matang berpolitik!

Bila penyakit sengugut tiba, maka keadaan diri tidak akan tentu hala. Dalam keadaan tidak tentu hala itu ianya boleh menjadi gila kalau tak lama seketika! Tapi jangan sanmpai rakyat jadi gila! Menggunakan kekuasaan hendaklah berhemah! Walaupun yang hendak diburu itu gunung emas!

CUCU: Yakin Pakatan Rakyat akan memerintah Malaysia di Pru 13!

Friday, October 17, 2008

ANUGERAH DATOK - Nasib apa wartawan 'nyamok'?

Assalamualaikum.

POKOK BETIK DI RUMPUN KANTAN,
AMBIL PENGISAR BAWAH PULASAN;
BUDI SETITIK SEGUNUNG INTAN,
JASA BESAR BERIKANLAH GELARAN.

Begitulah pantun kon bila agak sihat betul-betul ni.

BILA menyebut dan memperkata serta mempersoalkan tentang anugerah 'Datuk' kepada pelakon Bollywood, kon tidak berapa berminat nak memanjangkan dalam tulisan kon, cukuplah kon berkata; itulah nilai diberikan oleh sebuah negeri tak beraja dan diperintah oleh UMNO/BN dan negeri tersebut sebuah negeri yang dikatakan asas kerajaan Melayu di Semenanjung ini, Kerajaan Melayu Melaka! Mungkin juga bintang filem Hindi itu ada kaitan dan keturunan Raja Mendeliar! Tiada siapa yang menyemaknya.

Kon ingin memperkatakan tentang peranan Kerajaan Negeri-Negeri yang diperintah oleh PR terhadap golongan wartawan. Bukan wartawan berprinsip pembodek arus perdana tetapi para wartawan yang memperjuangkan politik arus PR. Samada mereka dalam PAS, PKR atau DAP. Ataupun mereka tidak berparti tetapi penghasilan kewartawanannya menumpu kepada kebangkitan rakyat untuk merobohkan benteng kekebalan BN!

Bagi wartawan yang kerap disebut dahulu sebagai wartawan akhbar nyamok bolehlah dikatakan amat dhaif habuan yang mereka terima dari hasil kerja besar dan berani kewartawanan mereka dengan beberapa syarikat akhbar nyamok tersebut.

Berbanding sama sekali dengan para wartawan arus perdana yang bertugas dengan syarikat-syarikat besar serta dipayungi oleh UMNO dan BN menerima habuan besar hanya dengan membodek sahaja.

Wartawan akhbar nyamok kerap berdepan dengan maki hamun, dilarang menyertai sidang akhbar, amat dipandang rendah. Malahan mereka juga berdepan dengan KDN yang akan mengambil tindakan bukan sahaja kepada syarikat kecil tersebut tapi pada wartawan itu sendiri.

Namun kerana perjuangan politik yang kental melalui kewartawanan, mereka terus menulis walaupun terpinggir! Mereka ini menjadi tempat pemimpin parti-parti pembangkang ketika itu untuk meluahkan perasaan dan perjuangan yang dibawa!

Mereka ini ramai tetapi yang dapat kon serlahkan antaranya Subky Latiff, Yusoff Jalil dan Hussin Yaakob! Ada yang masih hidup dan ada yang telah meninggal dunia membawa perjuangan yang tidak lagi selesai! Setakat ini yang kon tahu ketiga-tiga mereka belum lagi menerima apa-apa anugerah pingat bergelar!

Sedangkan pemimpin politik PR ada yang masih muda telah menerima anugerah bergelar 'Datuk". Tulisan ini sama sekali tidak melahirklan rasa iri hati dengan mereka pemimpin politik dan Kerajaan-Kerajaan Negeri PR. Malahan Kon menghulurkan ucapan tahniah pada mereka!

Tapi apakah para pemimpin negeri-negeri yang ditadbiri oleh PR lupa pada mereka yang telah banyak memberikan sumbangan kepada dunia media massa untuk ditatapi oleh rakyat! Mereka bertungkus lumus memerah otak melahirkan idea untuk memberikan sokongan kepada PR.

Kerajaan Kelantan ditawan kembali oleh PAS pada 1990 hingga sekarang ini. Telah banyak pemimpin politik dan kerajaan negeri yang menerima pingat bergelar 'Datuk'. Apakah tidak boleh dipanjangkan kepada DYMM Sultan untuk menganugerahkan Subky Latiff dengan pingat bergelar 'Datuk'? Kalau pun tidak mampu untuk dikecapi oleh Pak Hussin Yaakob dan Yussof Jalil?

PAS juga berjaya sepenggal pada tahun 1999 mentadbiri Terengganu. Begitu juga! Banyak pemimpin politik dan Kerajaan Negeri yang menerima anugerah bergelar 'Datuk'. Mengapa Subky Latiff, Hussin Yaakob dan Yussof Jalil terus tertinggal?

Akhirnya Allah mengizinklan PR mentadbiri Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kedah disamping mempertahankan terus Kelantan setelah Terengganu kecundang 2004 dan 2008! Rasanya sudah ada yang mendapat gelaran 'Datuk' bagi ahli politik PR dan pemimpin Kerajaan Negeri!

Subky Latiff, Hussin Yaakob dan Yussof Jalil terus tertinggal! Apakah ini nilai yang diberikan oleh ahli-ahli politik Kerajaan-Kerajaan Negeri yang ditadbiri oleh PAKATAN RAKYAT kepoada wartawan nyamok yang banyak menyuntik musuh politik dengan kerja kewartawanan sehingga musuh politik dari masa ke masa lumpuh?

Merekalah juga yang banyak membantu melalui dunia kewartawanan memperaga dan menaikkan beberapa orang pemimpin PR yang memang bertungkus lumus berjuangan! Kalau ada diantar mereka yang sudah meninggal dunia pun, apalah salahnya dikenang jasa diberikan gelaran agar menjadi kenangan-kenangan dan semangat generasi masa kini dan akan datang.

Mereka berjuang dengan dunia kewartawanan untuk menegakkan keadilan, menegakkan Islam, menegakkan perjuangan membela rakyat, menyeru kepada kebaikan dan menentang kemungkaran, mereka tidak mengharapkan apa-apa tetapi adalah tugas ahli politik dan pemimpin Kerajaan Negeri-Negeri PR yang sedikit sebanyak menerima sumbangan dan sokongan dari kewartawanan mereka memikirkan sesuatu yang harus diabadikan sebagai hadiah yang tidak berupa wang ringgit dan harta benda.

Amatlah diharapkan supaya pemimpin Kerajaan Negeri-Negeri tadbiran PR dapat mengangkat ketiga-tiga nama yang disebutkan tadi ke pihak istana untuk dipertimbangkan menerima anugerah pingat bergelar "Datuk' sekurang-kurangnya!

CUCU: Kon cukuplah cucu panggil datuk kerana kon tak ada apa-apa sumbangan kewartawanan sedikit pun pada PAS, PKR atau DAP. Cuma melanggan Harakah dan Suara Keadilan.




Thursday, October 16, 2008

AL - FATIHAH! Jasa pejuang tetap di kenang

Kami
KETUA DAN AHLI JAWATANKUASA
Serta
AHLI-AHLI DAN PENYOKONG
PARTI KEADILAN RAKYAT
BAHAGIAN KUALA KRAU PAHANG
Mengucapkan

T A K Z I A H

kepada keluarga

ALLAHYARHAM ZAINUDDIN ZAINAL
(Bekas Setiusaha PKR Pertama Negeri Pahang)
yang telah kembali ke Rahmatullah
pada 15hb. October 2008.

Moga rohnya dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan
bersama roh orang-orang yang beriman.

AL-FATIHAH




Monday, October 13, 2008

NAJIB DAN MAHYUDDIN KE PUNCAK - Siapa jadi kambing hitam?

Assalamualaikum.

ANGIN BUKIT BERTIUP TIBA,
HEMBUS-HEMBUSAN TUJU UTARA;
BILA TERSEPIT PADANG KE RIMBA,
BUAT KEPUTUSAN MENGIKUT SELERA.

Demikianlah pantun kon untuk renongan bersama.

MENGIMBAS kembali pada satu kenyataan yang disiarkan oleh satu blog pada 8 October 2008 yang menyatakan; "Pak Lah akan terus mempertahankan jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan akan datang (Mac 2009) " - Hujahnya bersandar kepada pertemuan yang diadakan di Sri Perdana Putrajaya pada jam 11.00 malam 7 Oktober 2008 hingga jam 2.00 pagi 8 Oktober 2008 yang dihadiri oleh hampir 200 orang (pastilah pemimpin UMNO).

Blog tersebut juga menyatakan bahawa Pak Lah akan membuat pengumuman tersebut di mesyuarat pimpinan BN pada jam 3.00 petang 8 Oktober 2008. Namun kenyataan yang dikeluarkan bertentangan dengan apa yang dinyatakan oleh blog tersebut.

Bagaimana pun empunya blog masih tetap mempertahankan bahawa tulisannya mempunyai bukti nyata dan dia menyimpan segala rahsia dari mana dia menerima maklumat tersebut.

Oleh kerana kon amat mengikut tulisan-tulisan dalam blog tersebut dan kon memberikan keyakinan apa yang dinyatakan olehnya. Kon tetap tidak menganggap bahawa penulis blog tersebut hanya berandaian kerana dianya bukan sebarangan orang. Seorang wartawan dan ahli politik yang berwibawa juga dalam UMNO satu masa dulu dan masih diikuti pandangannya oleh politikus semasa samada melalui blognya dan juga buku-buku tulisannya.

Persoalan yang kon nak timbulkan ialah: Kenapa dan siapa yang mengubah selera Pak Lah dari nak mempertahankan kepada tak bertanding jawatan Presiden UMNO?

Inilah hebatnya percaturan pemimpin tertentu UMNO untuk naik dengan mudah dan turunnya begitu susah!

Kalau Pak Lah terus mempertahankan jawatan Presiden. Pasti Najib atau sesiapa pun dalam UMNO tidak akan menentangnya. Bukan kerana budaya UMNO atau pun kesetiaan pada pemimpin tetapi parasaan takut kepada ketuanya yang mungkin tahu itu dan ini, kerana Pak Lah adalah Perdana Menteri Malaysia!

Budaya melawan pimpinan telah pecah oleh Sulaiman Pelastin vs Hussin Onn. Diikuti oleh Tengku Razaleigh vs Mahathir. Yang jelas budaya takut! Apa yang ditakutkan terpulanglah kepada apa yang difikirkan oleh seseorang yang berhajat nak melawan itu.

Oleh itu jika Pak Lah bertahan maka yang amat jelas dan berani melawan ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Api mula dihidupkan sebagai tanda memberikan isyarat masih ada lagi orang UMNO yang berani nak melawan ketua untuk membawa UMNO ke era pembaharuan!

Gendang perang anak raja dari Kelantan itu pun mulalah dipalu sana dan sini. Lemaslah beberapa orang pemimpin kanan UMNO yang bercita-cita untuk menjadi orang No.1 UMNO seterus orang ke 3 mendiami Sri Perdana Putrajaya.

Mantan PM 22 tahun pun berbunyi sama mendesak Pak Lah berundur segera. Seolah-olah jika tersalah tafsir dan andai bahawa dia menyokong Ku Li! Mahyuddin pun suruh Pak Lah undur segera. Lalu ada yang mensiferkan Ku Li calon Presiden dan Mahyuddin calon Timbalan Presiden. Rangkaian yang dikatakan amat layak dan bersih.

Jika Pak Lah ditentang oleh Ku Li, pasti dengan bacaan yang ada sekarang ini Ku Li akan mendapat pencalonan yang tinggi dan berkemungkinan Pak Lah tidak cukup koata yang diperlukan! Tapi Pak Lah tidak bertanggapan begitu! Dia yakin menang! Dia Presiden tentu ada tekong-tekong berpengalaman berkempen dan para pembodek UMNO selalunya melihat dimana pohon sedang rendang di situlah tempat berteduh!

Pemimpin tertentu UMNO yang nak menolak Pak Lah untuk cepat naik tahu hal ini. Mereka gemburkan dan bingitkan telinga Pak Lah dengan gendang perang Ku Li dan broker-broker politik upahan UMNO sentiasa mengatakan bahawa jika Ku Li vs Pak Lah, maka jawapan yang jelas ialah Pak Lah kalah kerana rekod buruk Pak Lah di PRU 12 dan juga menggemburkan kisah anak menantu Pak Lah yang kaya raya.

Mereka tidak menyatakan bahawa kehampiran tersungkurnya UMNO/BN di PRU 12 adalah tanggungjawab Najib yang menjadi Pengarah Pilihanraya BN masa itu! Soal kaya raya pula; adakah Najib miskin? Adakah keluarga Najib tidak menikmati faedah dari kedudukan Najib yang ada sekarang ini? Jika tidak ada baguslah!

Kalau dah begitu kenapa takut melawan Pak Lah yang dianggap oleh kebanyakan rakyat termasuk ahli UMNO sendiri sebagai PM yang amat lemah dalam senarai PM Malaysia? Kenapa beriya-iya tonjolkan Ku Li?

Rupa-rupanya penonjolan Ku Li untuk rebut Presiden UMNO dari Pak Lah ada udang sebalik batu! Tentera upahan orang ketiga beriya-iya memperagakan Ku Li dengan mengatakan angin perubahan UMNO hanya mampu dilaksanakan oleh anak raja dari Kelantan itu.

Nampaknya broker politik upahan orang ketiga tidak menampakkan kejayaan kerana Pak Lah pun bukan calang-calang pemimpin. Pernah di bawah, pernah ke atas, pernah ke bawah dan berada di puncak! Bukan semudah itu untuk menjatuhkan Pak Lah dalam UMNO kecuali UMNO/BN itu sendiri rebah pada PAKATAN RAKYAT!

Menggunakan "ketakutan rebah pada PAKATRAN RAKYAT" maka dicari satu lagi usaha oleh orang ketiga (Pertama Pak Lah. Kedua Ku Li) dalam bakal menghadapi perang pemilihan nanti setelah usaha broker politik upahan UMNO dilihat bagaikan tak berjaya mengundurkan Pak Lah, tentulah dicari satu pihak lagi!

Siapakah pihak itu? Adakah pemimpin kompenan BN yang bermesyuarat pada 8 Oktober 2008 jam 3.00 petang mendesak Pak Lah berundur untuk tidak ditewaskan oleh Ku Li yang akan membawa perubahan/pembaharuan pada UMNO? Apakah mereka mengwar-warkan Ku Li menjadi pilihan utama akar umbi UMNO?

Atau adakah mereka mengwar-warkan bahawa Ku Li akan jadi PM setelah menang Presiden UMNO dan membawa perubahan/pembaharuan dengan mengutamakan orang Melayu dan mengepikan nasib para pemimpin kompenan BN bersama kroninya yang telah kaya raya?

Atas rasa ragu dan bimbang inikah membuatkan pemimpin kompenan BN meminta supaya Pak Lah berundur cara terhormat dengan menyatakan: "..... tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO di pemilihan akan datang ... "

Adakah Pak Lah didesak berundur dan jika meneruskan cita-citanya maka kompenan BN akan menunggalkan UMNO? Ini semua boleh berlaku kerana permainan politik pimpinan UMNO untuk naik tidak sebaik mana dan seikhlas mana.

Berjayalah sudah rancangan awal orang ketiga dan keempat untuk naik ke puncak! Mulalah broker-broker politik upahan yang mengelilingi Ku Li diam! Terbukti sehingga kon menulis ini Ku Li masih belum lagi mendapat pencalonan untuk Presiden! Gembar-gembur yang selama ini dicanangkan hanyalah gendang kosong yang dipalu oleh broker upahan politik orang ketiga dan keempat! Amat berbeza dengan waktu Ku Li vs Mahathir satu masa dulu!

Dalam percaturan politik pemilihan UMNO kali ini Tengku Razaleigh Hamzah anak raja dari Tanah Rendah Sekebun Bunga menjadi kambing hitamnya untuk pemimpin UMNO rakus dengan kuasa dan tamak dengan harta hingga tidak mempedulikan kepincangan hidup rakyat!

Adakah Pak Lah akan berdiam diri setelah melihat kedudukan sokongan terhadap menantunya Khairy Jamaluddin agak mendukacitakan untuk merebut Ketua Pemuda UMNO? InsyaAllah diwaktu lain kon berbicara ....

CUCU: Tetap yakin PR akan ambil alih pemerintahan cara bersopan dari BN untuk selamatkan rakyat dan negara!

Thursday, October 9, 2008

JANGAN TERPESONA PERALIHAN KUASA PIMPINAN UMNO

Assalamualaikum ...

SEKAM PANGKAL LIMAU,
MENEBAR LUBUK PAYA;
MENERKAM CARA HARIMAU,
MENYEMBAR CARA BUAYA.

Demikianlah pantun kon setelah kon berehat kerana keudzuran menjelang hari raya aidilfitri tahun ini. Maaf zahir batin dari kon sekeluarga.

Tumbuh dari rumpun sama, berpucuk dengan baja yang sama, disiram dari air yang sama, berputik berbuah juga dengan rasa yang sama. Demikianlah apa yang akan berlaku kepada negara yang dipimpin oleh pemimpin UMNO walaupun ianya bertukar tangan.

Pemimpin UMNO telah terdidik dengan cara tradisi yang dipusakai turun temurun. Melaba untung dengan menggula-gulakan rakyat. Rakyat terpesona dengan janji dan habuan yang amat kecil berbanding dengan apa yang dikaut oleh pemimpin UMNO dan kroni mereka.

Kerana itu apa saja jawatan yang beralih tangan, tidak akan membawa arena baru kepada rakyat dan negara! Oleh demikian hanya satu jalan sahaja untuk arena baru dikecapi oleh rakyat dan negara ialah menumbangkan keangkuhan dan ketamakan pemimpin UMNO/BN.

Kita rakyat telah banyak mengalami kepahitan dari keangkuhan, ketamakan, tidak ambil peduli yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO/BN. Boleh kita renungi bersama sedalam-dalamnya. Kita dibuai dengan slogan yang mengasyikkan dan memberikan semangat tumpul hanya untuk kepentingan kuasa, pangkat dan harta pemimpin UMNO sahaja.

REFORMASI! ALLAHUAKBAR!

CUCU: Yakin bahawa Keadilan dan Berkebajikan adalah kehendak rakyat, ianya perjuangan hak rakyat, ianya mesti didokongi oleh rakyat dan ianya mesti bersatu padu di bawah panji-panji PAKATAN RAKYAT. Kejayaan rakyat adalah untuk rakyat! InsyaAllah!