Wednesday, May 14, 2008

BILA ORANG SOMBONG ANGKUH DIBERI KUASA

Assalamualaikum ...


AYAM DENAK MEMBUAT SARANG,
DI PANGKAL DEDAP TEPI PAYA;
KALAU HENDAK DI HORMATI ORANG,
BILA BERCAKAP KENA TEMPATNYA.

Ini saja pantun kon (aku) hari ini ...

RASA nak meloya bila dapat tahu telatah menantu Pak Lah bercakap macam guru kemas. Adakah dia tahu bahawa dia bercakap dalam parlimen bukan di pasar sayur Rembau! Tunjukkanlah sikit bahawa awak tu seorang Ahli Parlimen yang bercakap dalam parlimen. Janganlah fikirkan awak tu menantu Pak Lah (Perdana Menteri Malaysia).

Seorang ahli parlimen yang berwibawa dia akan bercakap tentang kepentingan negara, tentang kepentingan rakyat! Dia bercakap atau berbahas menjurus kepada umum. Bukan menyelar seseorang yang tidak ada dalam dewan yang mulia itu. Dia tidak payah nak sebut parti itu atau parti ini. Yang pentingnya Pilihanraya Umum telah meletakkan sesiapa saja yang menang walaupun satu undi sebagai Wakil Rakyat yang bergelar Yang Berhormat.

Kena jagalah diri yang bergelar Yang Berhormat itu. Jangan sampai kerana cakap dan hujah nak menunjukkan kesombongan sebagai Yang Berhormat. Kenapa kepetahan bercakap dan keangkuhan itu tidak digunakan untuk membahaskan tentang ekonomi negara yang runcing, sosial budaya negara yang bercelaru tidak bermoral, sistem pelajaran yang melahirkan mahasiswa tak berkerja! Rasuah di kalangan atasan! Penyelewengan pemimpin! Mengagihkan peruntukan dan tender hanya pada kroni! Macam-macamlah kalau nak dibangkitkan di negara yang semakin bercelaru pentadbirannya ini.

Atau rasa takut nak menyentuh soal tersebut kerana akan memjentik batang hidung sendiri? Kerana itu selar orang tak ada dalam dewan! Gelarkan yang bukan-bukan bagi sesesuah parti adalah kerja sia-sia bagi seorang Yang Berhormat ahli parlimen yang diamanahkan oleh rakyat.
Sebab bukan seorang saja yang pandai menggelarkan nama-nama baru ni, melambak lagi tetapi mereka tu menunggu sahaja, kalau diusik kenalah! Tentu dah kenakan?

Diingatkan! Kalau takut terpaan orang, jangan berani ke tengah gelanggang! Cukuplah duduk di belakang bapa mentua!


CUCU: Berani bertanya berani menjawab! Berani bercakap berani mendengar!

Tuesday, May 13, 2008

PEMIMPIN PENIPU RAKYAT PENGAMPU

Assalamualaikum ....

Yang paling hampas sekali hidup manusia bila:

YANG KAYA TAMAK HALOBA
YANG GAGAH BERPELOK TUBUH
YANG SUSAH BERGOYANG KAKI
YANG RAJIN DIANAK TIRI
YANG BODOH ASYIK MENYOMBONG
YANG MEMIMPIN KERJA MENIPU
YANG CERDIK JADI PENGAMPU
RAKYAT HARU BIRU BUAT TAK TAHU.

Itulah kata-kata kon (aku) hari ini untuk semuanya.

KERAJAAN mesti menjaga tema bahan penyiaran stesyen tv samada milik kerajaan ataupun swasta agar ianya tidak menyimpang dari budaya bangsa yang murni negara ini. Jangan bertempik di parlimen atau diucapan-ucapan majlis tertentu sahaja mempertahan budaya bangsa tetapi apa yang dilaksanakan oleh stesyen-stesyen tv yang kerajaan berhak menjaganya hendaklah dipantau dan diperbetulkan dari sekarang sebelum masyarakat negara ini hancur.

Peranan tv amat penting sebagai sebaran am yang mudah masuk ke dalam setiap rumah negara ini. Ianya mempengaruhi melalui rancangan-rancangan kebanyakannya tidak menguntung dari segi mempertahankan dan mengembangkan maruah, adat resam, perangai, akhlak dan pemikiran rakhyat terutamanya golongan muda.

Amat banyak rancangan yang menjerumuskan anak-anak muda ke arah tidak bermoral sementara drama-drama tayangan tv lebih menjurus kepada alam percintaan remaja yang melulu dan gila ala barat, perebutan perempuan dan lelaki.

Alangkah kisah-kisah drama memaparkan tema membina kehiodupasn sebagai rakyat yang berjaya dalam semua bidang di negara ini. Ianya diselitkan dengan alam percintaan bermoral!

Kerana itu keupayaan Kerajaan BN kelihatan tidak mampu mengembalikan kegemilangan moral rakyat maka sudah sepatutnya rakyat menukarkan perahu tadbiran negara kepada PAKATAN RAKYAT!

CUCU: Masih ingat kehebatan tema-tema rancangan terutamanya drama RTM di tahun-tahun sebelum 80an.

PEMIMPIN PENIPU RAKYAT PENGAMPU

Sunday, May 11, 2008

PAKATAN RAKYAT PILIH MELAYU YANG MERDEKA DARI PENJAJAHAN MINDA

DARI SEREMBAN KE BANDAR LUKUT,
SERI MENANTI DI KUALA PILAH;
LUKA DI TANGAN MENINGGALKAN PARUT,
LUKA DI HATI SIAPA YANG PARAH?

PERAHU JALUR LICIN BERAUT,
TUKANG KAYU AMPUNYA BUATAN;
SEDIKIT DIHULUR BANYAK DIKAUT,
BERBUIH MERAYU MEMINTA PUJIAN.

Pantun kon (aku) kali ini sekadar ni saja.

BUATLAH berapa banyak perhimpunan yang dianjurkan oleh siapa saja. UMNO ke atau NGO yang menjadi kuda tunggangan pemimpin UMNO. Bercakaplah tentang apa sekali pun termasuklah 'Perpaduan Melayu' dan 'Ketuanan Melayu' atau 'Permuafakatan Melayu' dan lain-lain lagi yang disebut hujungnya Melayu. Semuanya sudah tidak menjadi bahan menarik oleh rakyat terutamanya golongan muda. Ini bukan bererti mereka tidak prihatin terhadap perkembangan politik tanahair.

Di kedai-kedai kopi sudah lengang sunyi perbualan berkaitan apa yang diseru dan dilaongkan oleh pemimpin UMNO. Hanya segelintir sahaja yang mengaku cerdik pandai berijazah yang memimpin NGO untuk mendapatkan peruntukan menganjurkan perhimpunan disamping menunjukkan kepandaian melahirkan idea dengan pembentangan kertas kerja.

Penganjuran perhimpunan berkisar kepada Melayu, 90% pebicaraannya secara langsung atau tidak langsung bertujuan untuk melahirkan idea bagaimana memulihkan kembali UMNO bersandarkan kepada tema-tema lapuk 'Perpaduan Melayu', 'Ketuanan Melayu' dan 'Permuafakatan Melayu' yang menjadi gula-gula madu pemimpin UMNO untuk memikat orang Melayu.

Kehebatan Melayu hari ini tidak sama dengan kehebatan Melayu dahulu. Melayu dahulu hatinya keras tetapi mudah dipujuk rayu. Mudah sangat takut! Mudah sangat mengalah bertolak ansur. Mudah sangat menerima apa yang dihulur dari atasan. Mudah buat tak kisah dengan apa yang ada sekeliling. Mudah melupakan apa yang berlaku sebelumnya kerana mendapat sedikit habuan kebendaan, puji sanjungan, pangkat dan kuasa.

Ini telah dialami oleh Melayu dahulu. Sejarah banyak menunjukkannya sejak zaman kerajaan Melayu Melaka hingga ke zaman tanahair merdeka. Orang Melayu begitulah sikapnya. Kerana itu penjajah amat senang dengan orang Melayu! Memerintah orang Melayu mudah sekali. Mereka yang menentang penjajah seperti beberapa orang pahlawan Melayu dulu menerima padah dan ada yang terbunuh dan lari atas tindakan orang Melayu sendiri yang dipergunakan oleh penjajah cara yang disebutkan tadi.

Kalau mereka susah, hulurkan bantuan (subsidi) sekadar cukup makan. Kalau mereka terasa hati sebelumnya, berikan pujian dan sanjungan. Kalau mereka orang biasa berikan pangkat. Kalau dah berpangkat naikkan pangkat dan beri sedikit kuasa kepadanya jangan sampai jadi tuan. Tetapi tak kan merasa nak senang, bebas atau pun boleh menghetung itu dan ini kerana kebendaan dan pangkat kuasa yang diberikan itu sekadar untuk mereda kalau pun tidak menghilangkan kemarahan dan tidak puashati mereka. Jangan sampai lawan towkey jika diberi bersuara!

Tidak dinafikan ada juga Melayu yang tidak boleh ditindik hidung. Tidak akan patuh jiwa dan raganya dikuasai termasuk tanahairnya. Tapi bilangannya amat kecil. Itu pun ada juga yang berpaling tadah kerana usaha penjajah yang disebutkan di atas tadi.

1957 negara ini merdeka! Penajah sudah pergi. Rakyat negara ini dipimpin oleh rakyat negara ini sendiri. Pemimpin UMNO memainkan peranan penting sebagai tulang belakang memerintah. Jika penjajah yang datang mengaut dan mengangkut hasil negara ini ke negara mereka, maka pemimpin-pemimpin UMNO juga belajar dari penjajah itu. Mereka juga mengaut hasil negara ke dalam kantong mereka, keluarga mereka atau pun kroni mereka sahaja dengan berbagai cara.

Melayu lain macam mana di negara yang merdeka ini dan kini sudah melangkau 50 tahun?
Orang Melayu selain dari pemimpin UMNO dan kroninya hanya menikmati 'remah-remah' yang diperagakan oleh pemimpin UMNO sepertui cerita 'bangau mengajak anjing makan dibotol' atau 'anjing mengajak bangau makan di pinggan.'

Orang Melayu terjajah mindanya dengan slogan-slongan, falsafah, pepatah, bidalan, slogan-slogan yang hebat ayat dan maksudnya terluah dari mulut pemimpin UMNO. Tujuannya membiarkan orang Melayu berhayal dengan slogan-slogan tersebut . Semuanya itu mengasyikkan orang Melayu untuk tidak menegur, membantah, melawan malahan menderhaka kepada pemimpin mereka iaitu pemimpin UMNO!

Penjajahan minda ini terbenam dalam jiwa orang Melayu sehingga tidak disedar dari zaman berzaman, turun temurun. Pemimpin UMNO menjulang Melayu dengan berbagai kata-kata keramat hingga orang Melayu merasakan hidup mereka dikelilingi oleh orang Melayu saja. Tidak ada orang lain di negara ini. Pemimpin UMNO bercakap dalam bidang apa pun tentang Melayu sajalah. Tidak mahu membuka minda orang Melayu bahawa mereka kini berada di zaman hidup berbagai bangsa di sebuah negara yang merdeka untuk sama-sama mengecapi kesejahteraan dengan kemakmuran yang tidak dikaut oleh oleh satu pihak atau perseorangan-perseorangan tertentu.

Pemimpin UMNO amat mengharapkan supaya orang Melayu menjadi ahli UMNO dan tunduk kepada hala tuju canaian pemimpin UMNO dengan ertikata 'dengar dan patuh'. Walaupun ianya merugikan orang Melayu (ahli UMNO) dan menguntung pemimpin UMNO! Harapan mereka orang Melayu hanya memilih parti politik mereka ialah UMNO. Kalau bukan UMNO maka orang Melayu itu sudah tersalah pilih! Kerana itu buaian kata-kata mereka ialah; 'UMNO itu Melayu - Melayu itu UMNO!'

Ahli UMNO dilambung oleh pemimpin UMNO dan kroninya dengan sanjungan perjuangan yang besar berketurunan. Sedangkan pemimpin UMNO menimbahasil dari lubuk kemewahan negara yang tidak disedari oleh ahli UMNO. Jika ada ahli UMNO (sedikit bilangannya) yang berjaya menikmati sedikit jawatan yang sengaja dianjurkan oleh pemimpin UMNO sebagai mengenang sedikit jasa kepatuhan dan pengurbanan maka mereka inilah pulak yang menjadi agen-agen pemimpin UMNO. Antara agen-agennya ialah kakaitangan KEMAS - JASA - JKK - dan beberapa orang pemimpin NGO yang kononnya tidak berpolitik tetapi membuat kerja politik untuk pemimpin UMNO. Ada juga beberapa kerat orang Melayu yang emnjadi kontraktor kelas F yang amat mengharapkan projek atas pertolongan pemimpin UMNO secara tidak langsung dan meng'alibaba'kannya. Mereka ini juga adalah agen-agen mengampu politik pemimpin UMNO.

Melangkau 50 tahun pemimpin UMNO bercakap semata-mata Melayu! Melayu! Melayu!. Sedangkan Melayu hanyut di buminya sendiri dalam semua bidang. Salah siapa?

Bila kesedaran sedikit demi sedikit berputik, lalu menjadi buah yang ranum dan mencambahkan baka. Kesedaran rakyat di negara merdeka ini sudah bergelombang. Orang Melayu sudah mula sedar bahawa mereka berada dalam sebuah negara berbagai kaum dan bangsa. Mereka tidak mahu ketinggalan dengan slogan kosong, 'aku anak Melayu' sahaja tanpa bertindak menyaingi rakan-rakan bangsa lain.

Maka mereka sudah bangun me'merdeka'kan diri mereka dari 'penjajahan minda' yang dibaluti oleh pemimpin UMNO. Lalu mereka bertindak! Luka ini siapa yang menggurisnya? Parut luka ini siapa yang menanggungnya? Hati pedih nak dihemburkan ke mana?

Lalu 8 Mac 2008 menjadi hari keramat orang Melayu menyatakan mereka keluar dari kepompong khayalan pemimpin UMNO yang 'cakap tak serupa bikin,' 'kokok berderai-derai, ekor bergelumang taik!' Minda orang Melayu yang selama ini telah dijajah oleh penjajah dan kesenimbungannya oleh pemimpin UMNO telah merdeka!

Sebuah negara yang merdeka dengan rakyatnya berbagai kaum sudah tidak perlu lagi melaongkan slogan untuk satu-satu bangsa kerana ianya merugikan bangsa itu sendiri. Kerana slogan itu datangnya dari pemimpin yang tamak kuasa dan korup. Hanya semata-mata hendak menguatkan kedudukan dan kuasa laongan slogan kosong itu sentiasa dimainkan oleh pemimpin UMNO dan pemimpin NGO yang sanggup menjadi patung watak wayang kulit.

Setiap kali perhimpunan atau kongres yang bernama Melayu. Sama ada anjuran UMNO atau pun NGO yang membodeknya. Melayu dikatakan dikatakan jauh ketinggalan dan mesti bangun segera! Mesti berani! Mesti bersatu! Jangan berpecah! Mesti jadi usahawan dan jutawan! Mesti menjadi ahli UMNJO penutupnya!

Tahun demi tahun orang Melayu (terutamanya ahli UMNO) dihanyutkan minda mereka oleh kehebatan impinan kosong pemimpin UMNO. Mereka bertepok tangan untuk pulang dan menunggu tahun akan datang dibuai impian lagi oleh pemimpin UMNO.

Buai laju-laju,
Sampai hari senja,
Apa ada pada Melayu,
Di negara sendiri duduk melara!

Nasib menimba dahulu sudah berlalu. Sedikit cahaya muncul membawa sinar yang akan mengwujudkan era baru untuk rakyat di negara merdaka ini mengecapi kesejahteraan bersama dalam gelombang keramat PAKATAN RAKYAT yang mengikis kekuasan pemimpin UMNO/BN agar tidak terus bermaharajalela dengan 'tepuk dada tanya selera' untuk kepentingan sendiri, kroni dan pembodek-pembodek yang setia selagi menerima habuan!

Orang Melayu 2008 dan ke hadapan sudah tahu arah mana hendak dituju! Tidak ada lagi kefahaman Melayu yang kolot dalam fikiran mereka. Mereka adalah Melayu Baru yang tahu tentang diri mereka hidup bersama bangsa dan kaum lain di negara ini dan mereka yakin bahawa sokongan dan pejuanga mereka dalam Pakatan Rakyat membolehkan rakyat berbagai kaum hidup aman, makmur dan berkebajikan dengan Melayu sebagai tunggak utama!

Melayu yang sudah merdeka dari penjajahan minda pemimpin UMNO adalah Melayu Baru! Mereka akan mengecapi dasar Agenda Ekonomi Malaysia! Mereka adalah rakyat negara Malaysia Baru! Ianya akan dipacu atas nama Pakatan Rakyat! InsyaAllah!

Tuesday, May 6, 2008

DETIK KERAMAT - RAKYAT ROBEK PENJAJAHAN MINDA

Assalamualikum semua ...

DUDUK BERLUTUT BERALAS BALDU,
BERHATI-HATI MENGGERAK BAHU;
MANIS MULUT SEENAK MADU,
DALAM HATI SIAPALAH TAHU.


SINGGAH DI TANJUNG MEMBELI LADA,
LADA PIPIT UNTUK PENUMIS;
MASA DISANJUNG MENDABIK DADA,
MASA TERSEPIT MERAYU MANIS.

Hah! Itulah pantun kon (aku) kali ini.

SEPATUTNYA sudah tidak perlu lagi gembar gembur pihak mana pun tentang perpaduan Melayu atau permuafakatan Melayu. Kan orang Melayu memang amalannya berkampung, berpakat, bila merancang mengambil kata sepakat. Perumpamaan keramat berbunyi: Bulat air kerana pemetong, bulat manusia kerana muafakat!

Amalan permuafakatan melahirkan kerja: Ke lurah sama berlumpur, ke bukit sama berdebu. Atau Kalau panas sama kering, kalau hujan sama basah. Lalu mengecapi hasil permuafakatan berbincang, kerja bersama dengan menikmati: Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah!

Melayu hidup serumpun: Duduk sama rendah berdiri sama tinggi mertabatnya. Ertinya tidak ada kasta atau perbezaan taraf sesama Melayu. Ertinya tidak ada pilih kasih menjadi amalan Melayu. Itulah Melayu! Dengan itulah kampung diteroka, negeri dibentuk, kerajaan ditadbiri secara adil! Jika terpesong, pesalah dihukum, yang benar tetap benar! Tidak akan menjadi gunting dalam lipatan. Tidak membalut pekong dengan sutera. Apa di hati itulah di bibir!

50 tahun lamanya UMNO memerintah Tanah Melayu dan sekarangnya Malaysia! Sanjungan diberikan membawa kemenangan setiap pilihanraya. Jangka masa yang panjang setengah abad itu meletakkan pemimpin UMNO hari demi hari salih berganti dan hari demi hari semakin megah, sombong, bongkak (ego), tamak haloba menyelaputi hati hempedu.

Kini pemimpin UMNO (bukan ahli UMNO) merasa merekalah yang berkuasa di bumi ini. Lalu di atas sikap terlalu ego itu mereka melakukan berbagai kerenah yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pemimpin Melayu yang melaongkan perjuangan untuk Melayu yang beramalkan agama Islam. Atas ego yang melampau mereka melakukan penyelewengan kuasa untuk kepentingan diri, untuk keluarga, untuk kroni yang menjaga kepentingan mereka. Mereka hanya mahu mereka dan keturunan mereka saja yang berkuasa! Mereka mahu mereka dan kerturunan mereka saja yang kaya raya. Mereka hanya menjaga kepentingan kroni mereka dan menjadikan si pengampu sebagai kuda tunggangan!

Si Melayu pengampu pula. Untuk menjaga periok nasi, untuk menjaga pangkat dan gaji, berhenmpas pulaslah menjadi kuda tunggangan dengan cara apa sekali pun samada berlari laju atau merangkak tempang. Si pengampu inilah yang cuba mempertahankan pemimpin UMNO yang ego melakukan penyelewengan kuasa dan ada yang sanggup berbohong dan menaburkan fitnah.

Lalu terjadilah pilih kasih. Terjadilah penyingkiran! Terjadilah awak dengan awak, aku dengan aku. Terjadilah pulau memulau sama ada untuk mendapatkan projek atau menerima bantuan dan subsidi. Yang meminggirkan Melayu ialah Melayu! Yang menyekat bantuan atau subsisdi Melayu ialah Melayu! Yang memfitnah Melayu ialah Melayu! Yang tidak bertegur sapa ialah Melayu dengan Melayu! Lalu Melayu berpecah mengambil hala tuju yang mereka rasakan patut mereka ada dimana?

Wujudlah kebanjiran Melayu memasukki PAS. Kemudian Melayu berlonggokan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), ada juga sedikit menyertai DAP dan beberapa buah parti yang kini sudah tidak disenaraikan lagi di papan Pilihanraya. Kebanyakan mereka asalnya dari ahli-ahli UMNO kecuali golongan muda peratusnya tinggi tidak pernah menyertai UMNO.

Angkara siapa? Mudah sangat jawapannya! Angkara dari sikap ego dan tamak pemimpin UMNO yang hendak menjadikan orang Melayu sebagai kuda tunggangan atas slogan lapok bernama 'kesetiaan'. Pemimpin UMNO memperagakan slogan untuk Melayu. Tak kan Melayu hilang di dunia! Pantang Melayu menderhaka!

Generasi hari ini telah bertanya kembali tentang slogan lapok itu. Melayu mana yang tak kan hilang di dunia ini? Adakah Melayu yang mengamalkan budaya Melayu? Adakah Melayu yang mengamalkan Islam sebagai agama orang Melayu? Adakah Melayu yang mengamalkan kehidupan bukan budaya Melayu? Adakah Melayu yang bertatacara hidup dengan amalan bukan amalan Islam? Adakah Melayu yang hidup melarat kais pagi makan pagi, kais petang masih berhutang? Adakah Melayu yang kaya raya lupa dirinya sebagai pemimpin kepada orang Melayu? Banyak lagi pertanyaan itu kini! Sama-sama kita fikirkan tentang slogan tak kan Melayu hilang di dunia di zaman manusia bertemaddun ini!

Pada siapakah Melayu pantang menderhaka? Adakah Melayu pantang menderhak kepada pemimpinnya yang tidak adil? Adakah Melayu pantang menderhaka kepada pemimpinnya yang tamak haloba? Adakah Melayu pantang menderhaka kepada pemimpinnya yang korup? Adakah Melayu pantang menderhaka kepada pemimpin yang tidak mengamalkan budaya Melayu dan amalan Islam sebagai amalan hidup Melayu?Adakah Melayu pantang menderhaka kepada Melayu pengampu dan kuda tunggangan si pemimpin yang ego, jahat, zalim dan macam-macam yang tidak mengikut budaya Melayu dan amalan Islam? Macam-macam lagi pertanyaan tentang pantang Melayu menderhaka di zaman manusia bertemaddun ini.

Yang jelas tidak boleh diungkit ialah Melayu pantang menderhaka kepada Allah dan Rasul serta pemerintah selagi pemerintah itu taat kepada Allah dan Rasul. Di rojokkan kepada kata Saidina Abu Bakar r.a. ketika dilantik sebagai Khalifah; "Taatilah aku selagi aku mentaati Allah dan Rasul!" Pengucapan ini juga diucap oleh Saidina Omar al-Khatab r.a. ketika dilantik sebagai Khalifah kedua.

Kini Pemimpin UMNO tersepit dengan 'penderhakaan' Melayu. Penderhakaan itu (termasuk ahli-ahli UMNO yang telah banyak sedar) untuk menegur dan mengajar pemimpin UMNO yang ego, tamak, dan korup melalui kuasa yang disanjung dan diberikan oleh Melayu selama ini. Ini dinyatakan secara jelas ketika PRU ke 12 (8 Mac 2008).

Rupanya pemimpin UMNO bukan mahu insaf dan mengaku kesalahan atau kesilapan yang mereka lakukan dulu tetapi menuding jari menyalahkan orang Melayu (termasuk ahli UMNO) kerana berpecah dan tidak mahu mengundi Barisan Nasional. Pantas itu mereka cuba menutup pekong sifat dan kelakuan mereka sebagai pemimpin UMNO dengan memasang perangkap samar untuk menjerat sekali lagi orang Melayu.

Setelah pemimpin UMNO terjerut dengan jerat orang Melayu yang mungkin mereka anggap 'tak tahu apa-apa', lalu dengan keadaan tempang meminta secara tidak langsung para NGO (ada yang selama ini menjadi kuda tunggangan dan pengampu yang setia) melepaskan mereka dari jeratan. Mereka juga mula menyeru pemimpin Melayu PKR dan PAS agar berbicara tentang perpaduan dan permuafakatan Melayu.

Awas! Ini adalah taktik yang amat licik di zaman ketamaddunan manusia kini. Peristiwa 1969 ketika UMNO/Perikatan tergugat dengan keputusan pilihanraya umum itu. Mageran dijadikan kambing hitam untuk membayar nazar pemimpin UMNO. Berikutnya mempelawa PAS dan Gerakan bersekongkol dalam Barisan Nasional (BN). Bila mana UMNO/BN telah kukuh, maka PAS ditendang keluar dari BN. Lantas agak lama PAS mengasah taring politiknya untuk bangun sebagai sebuah parti politik yang disenangi dan disegani.

8 Mac 2008 ego pemimpin UMNO/BN tercalar! Rakyat yang sudah mulai terlepas dari penjajahan minda pemimpin UMNO/BN bersatu atas semangat mengwujudkan keadilan, keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua rakyat (membentuk si kaya pemurah - membangunkan yang tertindas) seiringan mengecapi nikmat hasil negara ini secara adil dan berkebajikan bagi melahirkan Malaysia Baru yang benar-benar bertemaddun.

Pemimpin UMNO/BN tidak akan berjaya merosakkan kemerdekaan minda rakyat negara ini semata-mata untuk menutup pekong yang telah busuk bernanah dan mempertahankan kuasa rakus untuk kepentingan sendiri! Melepasi penjajahan minda yang selama ini menjadikan Melayu hanyut di buminya sendiri telah bermula. Melayu sudah mendapat permuafakatan rakyat yang sebenar menolak permuafakatan sempit tajaan UMNO dan anjuran kuda tunggangan yang semakin tempang dan tidak ada harga diri! Detik keramat 8 Mac 2008 berkembang dan menjadikan rakyat negara lebih bertemaddun lagi di semua bidang. InsyaAllah!


CUCU: Cukup berjaga-jaga bila melepaskan anjing tersepit!

Monday, May 5, 2008

UMNO SEDANG LEMAS GAPENA SIAPKAN BAHTERA

BURUNG PUNGGUK TIDUR SIANG,
SEBELAH MALAM BERBUNYI GALAK;
KALAU NAK DUDUK TENGAH GELANGGANG,
PANDAI MENIKAM PANDAI MENGELAK.

PANTAI LANDAI LAUT TERBENTANG,
PASIR RATA BERCAMPUR KARANG;
CERDIK PANDAI DUDUK BERBINCANG
RAKYAT JELATA SEDANG MERANCANG.

Faham-fahamlah pantun kon (aku) kali ini.

TAK Payahlah nak cerita panjang tentang Kongres Permuafakatan Melayu anjuran GAPENA. Ayat dari mereka yang sama-sama menganjurkan kongres itu pun sudah difahami bukan saja oleh Melayu yang bukan UMNO malahan ahli UMNO yang dipinggirkan oleh pemimpin UMNO pun dah tahu yang tersirat ....

Apa maksudnya ... "kongres ini diadakan untuk menyatukan orang Melayu yang telah berpecah lebih-lebih lagi setelah berlakunya Pilihanraya ke 12 (8 Mac 2008) lalu ... " lebihkurang begitulah susunan ayatnya.

Apa maksud tersirat ayat itu? Semua tahu! Buat kongres! Kerah cerdik pandai bentang kertas kerja! Tidur hotel 5 bintang! Ambil pendapat peserta yang dirasa sehaluan dengan penganjur (Dewan Persuratan Melayu Pahang kempunanlah - Terbukti Timbalan Ketuanya Datuk Dr. Mansor Abdullah tak dapat bercakap atas nama DPMP tapi diizinkan atas nama Persatuan Penghulu-Penghulu .... - Boleh jadi DDMA Penghulu Bunian)! Buat memorandum! Siapa punya belanja sebesar itu?

Itu semua untuk membaik pulih bahtera UMNO yang semakin reput dan berlubang sementara pemimpinnya sedang lemas dilautan kebimbangan segala temberang dan tembelang penyelewengan mereka pecah satu persatu dan mereka takut kehilangan kuasa yang selama ini diangkat oleh mereka yang telah dijajah mindanya dengan menganggpa bahawa UMNOlah yang menyelamatkan Melayu di negara dan di dunia ini.

Mari semuanya ke kampung tempat telapak Melayu! Kalau di bandar sila ke kawasan setinggan atau rumah pangsa! Kita bicara tentang penindasan secara tidak langsung pemimpin UMNO terhadap Melayu termasuk Melayu UMNO!

Dengan angkuh pemimpin UMNO melahirkan kroni! Dengan angkuh pemimpin UMNO menganak tirikan Melayu yang tak mengampu dan sehaluan dengannya. Dengan angkuh pemimpin UMNO menunjukkan kekuasaannya sambil mengaut keuntungan hasil makhsul negara! Dengan angkuh pemimpin UMNO membuang sesiapa saja yang tak sehaluan dengannya bukan sahaja Melayu bukan UMNO tapi ahli-ahli UMNO juga ada yang terlibat!

Kerana itu permuafakatan Melayu tidak ada ertinya. Sejarah keangkuhan pemimpin UMNO kepada Melayu bawahan tidak akan berulang! Melayu sudah bersama rakyat yang lain untuk melahirkan satu agenda ekonomi negara yang akan membangunkan mereka yang tertindas selama ini dari penjajahan UMNO/BN.

Rakyat berbagai kaum akan bersatu dibawah panji-panji Pakatan Rakyat yang mana ditunjangi oleh Melayu dan mempertahankan fasal keistimewaan orang Melayu yang sedia termaktub dalam Perlembagaan Negara ini.

Melayu akan lebih gagah bersama Pakatan Rakyat kerana ia akan merangsangkan persaingan yang membawa kemajuan tanpa bergantung pada janji-janji kosong dan subsidi kais pagi makan pagi, kais petang mungkin berhutang!

Pemimpin UMNO sudah 50 tahun bercakap untuk membangunkan Melayu! Tahun demi tahun Melayu terus ketinggalan serba serbi bidang kecuali mendapat subsidi terutamanya di musim pilihan raya dan hari raya!

Hanya Melayu yang masih lagi tidak keluar dari penjajahan minda UMNO sahaja dan beragenda kepentingan diri amat beriya-iya nak menyelamatkan UMNO yang banyak menghancurkan perpaduan dan kehidupan Melayu.

Jangan ketawakan pendapat ini! Kerana Melayu di kampung-kampung dan Felda dulunya tempat kekuatan UMNO sudah mulai sedar dengan jatuhnya negeri-negeri maju seperti Selangor, Kedah, Perak dan Pulau Pinang ke tangan Pakatan Rakyat (PKR / DAP / PAS) dan hampir membolot semua Kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kelantan juga dipertahankan disamping hampir menawan Negeri Sembilan dengan mendapat 15 DUN hanya 4 kerusi sahaja untuk memerintah.

Satu perkembagan rakyat yang akan melenyapkan cerita dongengan pemimpin UMNO bahawa UMNOlah penyelamat Melayu! Rakyat akan merobohkan kabus penindasan secara tidak langsung UMNO/BN. Pakatan Rakyat akan membawa rakyat ke era Malaysia Baru! Sebuah zaman yang dinantikan oleh rakyat sesudah melepaskan diri dari penjajah mindaUMNO/BN di Pilihan Raya Umum ke 12 pada 8 Macm 2008 lalu.

Kerana itu bahtera yang disiapkan oleh GAPENA tidak ada ertinya untuk menyelamatkan UMNO yang lemas itu. GAPENA yang banyak duit itu atau minta pada pemimpin UMNO untuk membina bangunan menyimpan kertas-kertas kerja yang dibentangkan di Kongres Permuafakatan Melayu!


CUCU: Sudah lama memberanikan diri keluar dari kepompong pengampu dan penjajahan minda!

Friday, May 2, 2008

PIMPINAN UMNO/BN PINGGIRKAN ORANG ASLI DARI KEMAJUAN NEGARA?

"TAK ada orang ambil kisah tentang kami di sini lepas pilihanraya, macam tu jugalah selepas pilihanraya lepas-lepas, ada juga orang datang tengok lepas pilihanraya baru ni, Haji Suhaimi," demikian keluhan salah seorang penduduk perkampongan Orang Asli di kawasan pendalaman Kuala Krau, Pahang.

Penduduk yang tidak berbaju kerana kepanasan petang itu sambil duduk mengunyah sireh di pelantar pondoknya yang diperbuat dari kayu hutan berlantai dindingkan buluh serta beratap daun cucuh beranyam mengeluh lagi, "iyalah! Dulu masa pilihanraya ada orang tak kasi kami di sini sambut Haji Suhaimi tu, dia orang luar cakap, bukan orang kampong ni cakap, Haji Suhaimi tu datang nak hasut Orang Asli supaya jangan undi dacing!"

Lalu penduduk tersebut menceritakan bagaimana dia tak beri anak isterinya usahkan datang menyambut Haji Suhaimi Said (calon Parti Keadilan Rakyat untuk DUN Jenderak di Pilihanraya ke 12 dulu) malahan untuk mendengarnya pun tidak diberi olehnya kerana takut termakan hasutan. Lalu dia membawa anak isteri duduk di pondok ladang yang agak jauh dari kampong hinggakan suara dari alat pembesar suara ceramah PKR tidak didengari.

Demikianlah penindasan minda yang dilakukan oleh pihak tertentu terhadap rakyat di perkampongan terutamanya nun di pendalaman setiap pilihanraya yang akan menentukan kerajaan memerintah.

"Sekarang ni Haji Suhaimi bulan haus (anak bulan) kembar tu selalu ke sini. Ada masa lama, ada masa kejap, tanya kami kalau ada masalah sambil dia minum kopi kami bancuh, baik orangnya," nada suara penduduk itu perlahan saja, "iyalah! Nak buat macam mana, dia tak menang, kawan saya undi dia, saya tidak! Saya undi dacing! Tapi orang dacing yang menang tu tak datang pun ke sini tengok kami!"

Itulah juga yang dikeluhkan oleh penduduk-penduduk pendalaman terutamanya penduduk perkampongan Orang Asli. Memang bukan mudah untuk menghadirkan diri di perkampongan Orang Asli pendalaman. Ada yang jalan bertar, ada juga yang tar dah pecah, ada sekerat bertar sekerat tidak kemudian bertar balik (jalan Pak Pandir?), tak kurang juga ada jalan masih bertanah merah (kalau hujan berlumpur, kalau panas berdebu) lubang sana sini, turun bukit naik bukit, curam pulak tu!

Rumah mereka tidak tersusun, ada sikit-sikit rumah batu (kebanyakannya bantuan Jakim kerana masuk Islam tapi guru agama tak dihantar mengajar kalau ada juga guru tak datang pulak mengajar) diantara rumah-rumah papan dan masih banyak lagi yang berdindingkan pelupuh serta beratapkan daun cucuh.

Pencarian mereka kebanyakannya bercucuk tanam pisang, ubi keladi dan sedikit padi huma (setahun sekali) di atas tapak tanah yang tidak berapa luas dan tidak berhak milik (bergeran). Ada juga yang menoreh getah di belakang rumah tak sampai seekar. Anak muda ada juga yang berkerja ke luar kampong di kilang-kilang dan ladang orang sebagai buruh. Ke hutan sudah tidak kerana rotan sudah tiada. Berburu jauh sekali kerana undang-undang yang mesti dipatuhi.

Ertinya mereka ini 'kais pagi makan pagi, kais petang belum tentu lagi makan'. Usahkan nak senang, jauh sekali nak kaya raya. Memang ada segelintir yang amat kecil bilangannya memiliki kereta. Motosikal ramai juga.

Kenapa mereka begitu? Mereka amat jauh ketinggalan di arus zaman. Negara sudah merdeka menjangkau lebih 50 tahun di bawah tadbir pemerintahan UMNO/BN dulunya Perikatan berlambangkan kapal layar (dah karam?).

Kalau orang Melayu perkampongan menghadapi masalah sosial, kehidupan harga barang yang melambung mahal dari masa ke masa begitu pantas, masalah pembelajaran anak-anak dengan pemansuhan Yuran Sekolah tetapi dikenakan Yuran Tambahan (puluh kali ganti dari Yuran ekolah) termasuk bebnan hutan PPTN (untuk anak ke kolej atau universiti) serta sikap pilih kasih serba serbi pimpinan atasan pemerintah hingga ke pemimpin kampong, Orang Asli lebih dari itu beban kehidupan yang mereka terpaksa pikul.

Tanah tidak bergeran (bukan untuk dijual) untuk diwaris pada pewaris atau dimiliki secara mutlak sebagai hak seorang rakyat negara ini. Yang ada ialah tanah tumpangan duduk di atas tanah kerajaan. Faham sajalah bila tanah itu bukan bermilik secara surat, jika berlaku sesuatu pengambilan tanah, cara apakah mereka nak mempertahankannya? Besar manakah pampasan yang akan mereka terima? Dan mereka tidak dapat menghalang jika ada pihak tertentu meneroka (memaju) tanah samada sudah dijadikan kebun atau pun masih dalam kata-kata kosong 'Rejab Orang Asli' ? Sudah banyak berlaku perkara itu.

Ada beberapa agensi kerajaan yang memajukan kawasan keliling perkampongan Orang Asli dengan berbagai tanaman kekal (sawit dan getah) atas sandaran untuk agihan saham pada Orang Asli, tapi hingga hasil keluar bertahun, mereka tetap memandang saja. Malahan menjadi buruh di ladang itu pun tidak dapat kerana kebanjiran 'buruh asing' dengan gaji yang murah.

Anak-anak mereka disogokan dengan bantuan sekolah seperti buku percuma, pengangkutan percuma yang dikendalikan oleh JHOA. Namun ada masanya mereka terpaksa dituntut pembayaran dulu oleh pihak sekolah kerana peruntukan dari JHOA belum sampai. Penyelewengan pengangkutan begitu ketara. Sebuah bas diisi dengan hampir 60 ke 70 orang murid sekali perjalanan. Rasanya amat salah dari segi yang ditetapkan oleh pihak berkuasa untuk pengangkutan anak-anak sekolah (Bagaimana kontrak pengangkutan itu?). Ada juga perkampongan yang menggunakan lori membawa anak-anak sekolah berulang alik.

Kenapa kehidupan Orang Asli begitu teruk? Salah siapa? Adalah anak-anak mereka tidak berpelajaran? Golongan muda kini ada antaranya berkeluluan SPM? Apa pekerjaan yang baik dapat diberikan kepada mereka ini oleh pihak kerajaan atau agensi-agensinya agar kehidupan mereka berubah?

Apakah anak-anak Orang Asli tidak boleh menjawat jawatan yang setara dengan anak-anak bangsa lain di negara ini? Jawapannya pilih kasih dan memandang rendah pada keupayaan Orang Asli itu oleh pihak tertentu terutamanya pihak pemerintah iaitu UMNO/BN!

Minda pemikiran Orang Asli dijajah pemimpin UMNO/BN menjangkau lebih 50 tahun!

CUCU: Nak ke Kampong Pian (Perkampungan Orang Asli) bincang kursus pemidato ... InsyaAllah akan disambung lagi ....

SERAPAH CUCU MEMBUKA GELANGGANG

Alhamdulillah. Berjaya juga kon (aku) buka gelanggang bersama saudara-saudara yang lain dalam usaha mengembangkan lagi pengetahuan di sebaran am ini. Kon (aku) namakan gelanggang kon(aku) ni dengan nama CUCU TOK KEDU. Cerita tentang nenek moyang kon (kon) tu biar dulu, nanti kon (aku) ceritakan kemudian.

Permulaan membuka tirai ini kon (aku) mulakan dulu ingatan:

BURUNG BUT-BUT MINUM DI KENDI,
KENDI BERWARNA SI KACA BUNGA;
BEREBUT-REBUT MENABUR BUDI,
ADA BUDI PERLU DIJAGA.

CEK PONG MENIUP BANGSI,
MENIUP BANGSI DI TENGAH LAMAN;
JANGAN TERMENONG MENGENANG MATI,
TAK MENONGKAT SEPANJANG ZAMAN.


Lalu kon (aku) ingatkan lagi ...


ORANG CERDIK MENJUAL ILMU,
ORANG PETAH MENJUAL CAKAP,
ORANG GARANG MENJUAL TENGKING,
ORANG KUAT MENJUAL TENAGA,
ORANG KAYA MENJUAL NAMA,
ORANG MISKIN MENJUAL PAPA,
ORANG JANGAN MENJUAL ORANG!!!


Kon (aku) nak cakap lagi ....

BILA ORANG BERDUYUN KE JOHOR BAHRU
KONONNYA NAKKAN PERMUAFAKAT MELAYU,
KONONNYA NAKKAN PERPADUAN MELAYU,
KONONNYA NAKKAN KETUANAN MELAYU,
KONONNYA TAK MELIBATKAN POLITIK MELAYU,
TAPI BERCAKAP TENTANG PERPECAHAN MELAYU,
KONONNYA DISEBABKAN MELAYU BERADA DALAM BANYAK PARTI,
MENYEBABKAN UMNO HAMPIR MATI,
GAPENA MUNCUL PERAGAKAN DIRI,
KONONNYA PENYELAMAT MELAYU KINI,
ATAU MENYELAMAT PANGKAT DAN GAJI?



CUCU: Tahu bersilat mampu berdebat!