Sunday, June 29, 2008

ANWAR IBRAHIM DIFITNAH LAGI Arus kebangkitan rakyat semakin membuak !

Assalamualaikum ...

LELAKI PEJUANG INI TIDAK AKAN REBAH KERANA DIANYA BANGUN DARI SUSAH PAYAH - UNTUK KEBAJIKAN - KEADILAN SEMUA RAKYAT! DIA MEMBENTUK SUATU BANGSA NEGARA YANG BERANI BERDEPAN DENGAN ANGKARA SERIBU MASALAH DAN FITNAH!

LANGKAH YANG JUJUR
TIDAK AKAN REBAH TERBUJUR
OLEH FITNAH YANG DIHEMBUR
DARI MUSUH YANG HAMPIR BERKUBUR!

ARUS PERJUANGAN RAKYAT SEMAKIN MEMBUAK MEMECAH BENTENG KEZALIMAN!

CUCU: Biar rebah - tidak akan menyembah pembuat fitnah!

Thursday, June 26, 2008

EZAM JADI TUKANG INDIK - PEMIMPIN UMNO PASANG JARING

Assalamualikum ...



BUAH NANGKA TEPI SEMPADAN,
JANGAN DIPETIK TANGAN YANG LESU;
ALANGKAH CELAKA HIDUPNYA BADAN,
OTAK CERDIK MENGIKUT NAFSU.

Itulah pantun yang dapat kon (saya) rangkapkan hari ini ...



EZZAM Md. Nor dah tak diam punggung. Sana sini Umno jemput dia untuk cerita tentang PKR.
Dedah itu dedah ini. Macam kisah orang nak tangkap ikan dalam buyau (semak terapung dalam lubuk atau danau). Ezzam tukang indik buyau. Pemimpin Umno pasang jaring keliling. Ikan lari dari buyau kena indik. Lekat pada jaring. Pemimpin Umno kutip.

Nasib Ezzam samalah nanti dengan nasib rakan-rakan yang lain antaranya Roslan Kassim dan Zaid Mat Ariff.

Mengapa Ezzam tak cerita tentang kes Rafidah Aziz. Kenapa tak bongkarkan kes-kes rasuah yang satu masa dulu Ezzam dedahkan bahawa dia menyimpan 6 kotak kes pemimpin Umno/BN?

Atau semua kotak-kotak itu Pak Lah dah terima dari Ezzam dan disimpan rapi dan pimpinan Umno/Bn pula beri tunjuk apa perlu Ezzam buat?

Sejauh manakah politik Ezzam dalam Umno/Bn? Jawapannya adakah sehingga Disember 2008.

Kerana Pemilihan pimpinan tertinggi Umno di tarikh tersebut. Ezzam diterima menjadi ahli Umno walaupun telah banyak mendedahkan keporak perandaan pemimpin Umno dengan berbagai kes rasuah.

Tetapi Ezzam tidak boleh bertanding apa-apa jawatan dalam Umno! Inilah cara pemimpin Umno membalas dendam terhadap apa yang pernah Ezzam buat terhadap mereka.

Dalam kesibukan Ezzam menyerang PKR sana sini. PKR semakin kuat! Agaknya rakyat dah tak peduli apa yang dicakapkan oleh Ezzam kerana dulu lain sekarang lain.

Telah banyak pemimpin Umno menyerang PKR dan Anwar Ibrahim tetapi serangan itu patah begitu saja. Tidak meninggalkan kesan apa-apa. Kerana itu pemimpin Umno menyerahkan pula serangan dilakukan oleh Ezzam. Harap-harap peluru serangan tidak berpatah balik ke badan sendiri.

Begitu sibuk Ezzam membuat serangan pada PAKATAN RAKYAT. Begitu besarlah ketawa pemimpin Umno/BN duduk dengan hanya memikirkan bagaimana nak mengekal atau merebut jawatan dalam Umno di Pemilihan Disember 2008 nanti.

Mereka tak peduli sama ada rakyat terima atau menolak serangan Ezzam itu tetapi mereka dapat menumpu pada kerja-kerja untuk pemilihan jawatan yang mereka nak dudukki dalam Umno untuk menjamin masa depan mereka dengan kedudukan kuasa yang selesa!

Lenalah tidur Pak Lah dan pemimpin Umno/Bn kerana Ezzam berjaga menampar nyamok! Dingatkan pada zaman dahulu ada pemimpin yang zalim mati kerana diserang nyamok.

CUCU: Biarlah hidup ini susah asalkan tidak diperalatkan oleh si zalim!






Tuesday, June 24, 2008

BN SOKONG USUL KENAIKAN HARGA MINYAK & BARANG Pengundi BN Diperbodohkan Sekali Lagi

Assalamualaikum ...


HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI
HARAPKAN BN, BN SUSAHKAN RAKYAT!

ANWAR KATA: Turun!!
PAK LAH JAWAP: Naik!!

Ini luahan isi hati kon ...


DIPENDEKKAN ceritanya, maka juak-juak Pak Lah di Parlimen seramai 129 mengalahkan 78 pejuang rakyat ketika mengundi usul Kerajaan BN menaikkan harga minyak dan barang.

Benarlah kata anak-anak kon: 'Abah! Kita akan terima hadiah besar dari kemenangan BN di PRU 12 ini.'

Masa itu kon berfikir apakah hadiah besarnya? Rupa-rupanya hadiah besar itu kenaikan harga minyak membawa langsung kenaikan harga barang di negara yang dilaongkan oleh pemimpin Umno/Bn sebagai negara makmur.

Mendabik dadalah pemimpin Umno/Bn mengatakan Kerajaan pimpinan Pak Lah diterima oleh ahli Parlimen dan rakyat. Hujjah ini hanya berpandu kepada sokongan 129 MP Bn terhadap usul kenaikan harga minyak dan barang.

Ada juga kon dengar di kedai kopi. Beberapa orang ahli Umno yang bersekolah darjah 6 kerja kais pagi makan pagi, kais petang terus berhutang mengatakan; Apa PAKATAN RAKYAT buat di Parlimen tidak dapat menurunkan harga minyak?

Jawapannya 78 MP PAKATAN RAKYAT telah membangkang tapi disebabkan sitolol macam mereka yang kon sebutkan di atas tadi, maka MP PAKATAN RAKYAT tidak cukup untuk menentang kenaikan harga minyak itu!

Salah siapa? Jawapannya salah kita selaku rakyat yang memberikan undi kepada calon Bn sehingga Bn berkuasa lantas menyokong kenaikan harga minyak dan barang.

Alangkah malangnya nasib pengundi Bn yang mengharapkan kesejahteraan mereka tetapi mereka terpaksa membayar harga yang mahal untuk hidup.

Adakah pengundi Bn memang menyokong dan mahukan harga minyak dan barang naik? Atau hanya MP mereka sahaja yang mahukan harga minyak dan barang naik atas kehendakan pimpinan mereka bukan pengundi mereka?

Apakah perasaan dan hati perut 129 MP yang menyokong usul kenaikan harga minyak dan barang ini sehingga kesannya terpaksa dibebankan kepada pengundinya! Ertinya 129 MP tersebut bukanlah nak menyenangkan pengundi dan rakyatnya tetapi kemunculan mereka di Parlimen untuk menyusahkan rakyat.

Apakah rakyat hari ini yang telah celik mata dan berfikiran waras tidak boleh menilai sikap yang ditunjukkan oleh 129 MP Bn mereka?

Pasti mereka faham! Usul kenaikan harga minyak dan barang tidak mendapat sokongan rakyat tetapi hanya mendapat sokongan 129 MP Bn kerana mengikut telunjuk pemimpin mereka atas dasar kepentingan diri mereka bukan untuk rakyat dan pengundinya!

Jangan laongkan bahawa rakyat memberi sokongan kepada Kerajaan Bn menaikkan harga minyak dan barang! Rakyat dan pengundi tidak boleh dibodoh-bodohkan lagi. Jangan perbodohkan orang-orang kampong dan felda yang banyak memberikan undi kemenangan Bn.

Jangan jajah minda mereka!! PRU ke 13 waktu memberikan jawapan samada mereka terus menyokong Bn yang kian lama kian menyusahkan mereka atau mereka berpaling mengikut arus zaman menyokong parti-parti PAKATAN RAKYAT!

Inikah dasar Ketuanan Melayu yang banyak menyusahkan orang Melayu di kampong-kampong dan felda?

CUCU: Ingatkan anak cucu jangan termakan janji pemimpin Umno/Bn!


Friday, June 20, 2008

GEMA LAONGAN REFORMASI DI DUN JENDERAK SEMAKIN BERGEMA !


Assalamualaikum ...



KAIN DIAMPAI UNTUK JEMURAN,
MANA YANG BASAH TELAH DIPERAH,
BILA SAMPAI MUSIM KESEDARAN;
KEMUDI BERPATAH HALUAN BERUBAH.

Demikian pantun kon hari ini ...

TERIMA kasih kepada penduduk DUN Jenderak, Kuala Krau, Pahang yang kini telah memberi suatu perkembang baik untuk Parti Keadilan Rakyat bergerak di setiap pelusuk caruk taman perumahan, ladang, perkampungan termasuk perkampungan Orang Asli dan Felda.

Pada awalnya kampung-kampung tradisional memanglah berkarat dengan Umno. Parti-parti alternetif terpinggir. Hanya musim pilihanraya agak berserilah juga jalan dan bangunan dengan warna bendera dan banting selain milik BN.

Bagaimanapun kekuatan parti alternatif masa pilihanraya itu tidak dapat juga menumbangkan BN yang ditunjangi Umno.

PKR kini berganding dengan PAS untuk mencapai matlamat menghikis pengaruh Umno dan menumbangkan BN. Kalau dulunya PAS sahaja yang berdepan Umno yang kelebihannya menggunakan beberapa jentera kerajaan samada masa pilihanraya atau tidak. Kini Umno mene rima satu lagi asakan dari PKR.

Alhamdulillah dengan kerjasama erat PAS dan PKR di DUN Jenderak khasnya dan umumnya di Parlimen Kuala Krau, Umno sudah tidak boleh mendabik dada dan bergoyang kaki menunggu musim berbuah lagi untuk mengutip labanya.

Penduduk DUN Jenderak, khususnya para pengundi sudah menerima kesedaran dari pengalaman. Mereka yang sudah berumur menimba pengalaman dari apa yang mereka rasa dan lihat dengan pemerintahan wakil Umno/BN. Sikit golongan sahaja yang menikmati apa yang disalurkan oleh usaha wakil pilihan mereka. Mereka itu terdiri dari para kroni pemimpin Umno/BN tersebut.

Maka berlakulah gelombang yang mungkin boleh menenggelamkan keangkuhan pemimpin Umno yang kononnya parti memperjuangkan Melayu. Gelombang ini datangnya dari kesedaran anak-anak muda dalam era kebangkitan rakyat untuk melakukan reformasi (perubahan) pada budaya moral, ekonomi, politik, pentadbiran, perpaduan, pemikiran yang selama ini beku dari sikap penjajahan minda pemimpin Umno/BN terhadap rakyat.

Atas dasar reformasi inilah begitu ramai anak-anak muda dari berbagai bangsa di DUN Jenderak menjadi ahli PKR. Di Kampung Gong Halt hampir 80 orang anak muda menyertai PKR. Di Felda Jenderak Utara mencecah hampir 130 orang mula mendaftar PKR.

Di Kampung Paya Luas satu kejutan besar akan berlaku bilamana ahli-ahli Umno akan mengistiharkan keluar dari Umno dan menyertai PKR. Di beberap taman perumahan dan ladang kaum India mula mengempen sesama mereka menyertai PKR. Begitu juga kaum Jahut yang mendiami beberapa perkampungan Orang Asli di DUN Jenderak telah dan sedang menambah keahlian PKR. Masyarakat Cina di Pekan Kuala Krau juga mula mengisi borang PKR.

Pengurusan keahlian PKR saban hari didatangi oleh pembawa borang ahli baru. InsyaAllah menjelang Disember 2008 sekurang-kurangnya 2000 ke 3000 orang ahli berdaftar PKR akan memperjuangan 'Kebajikan dan Keadilan Untuk Semua' di DUN jenderak. PAKATAN RAKYAT akan menjadi tunjang utama reformasi penduduk DUN Jenderak. Ke arah Harapan Baru Untuk Malaysia!

Umno/BN akan bertemu buku dengan ruas di PRU ke 13 nanti. Persediaan PAKATAN RAKYAT akan lebih mantap lagi dengan kemampuan tokoh-tokoh PAS/PKR dalam merancang dan melaksnakan kerja untuk menumbangklan BN. InsyaAllah!

CUCU: Syabas pejuang reformasi DUN Jenderak!




SAPP KEJUTKAN MIMPI PAK LAH Siapa Nyanyikan Hingga Lena Tidur?

Assalamualaikum ....


BUAH KEDONDONG DIMAKAN GAGAK,
GAGAK BERSARANG DIMERBAU BERDARAH;
ADA SOKONG KUKUH MENEGAK,
TAK KURANG SOKONG MEMBAWA REBAH.


Pantun dari kon untuk mereka yang suka diampu dan mengampu!


BUKAN saja rakyat Malaysia terkejut dengan berita SAPP keluar dari kompenan Barisan Nasional. Pak Lah dan beberapa pemimpin UMNO/BN juga terkejut walaupun tak nampak terkejut. Tapi ingat! Ada juga rasanya yang tidak terkejut. Cuma buat-buat terkejut. Biasalah tu. Arena politik juga sebahagian dari dunia lakonan di dunia ini. Cuma mereka yang jujur maka lakonannya jujur mengikut kehendak watak tapi ada juga pelakon yang tidak jujur hanya pura-pura.

Pemimpin SAPP tidak membuat kejutan. Tak kan waktu itu nak keluar BN waktu itu juga berkumpul. Waktu itu juga buat sidang akhbar. Sedangkan nak kebumikan orang mati pun kena ada rancangan sedikit sebanyak. Jenazah dimandikan, dikapankan, disembahyangkan, digalikan kubur, dikebumikan dan ditalkinkan.

Tentulah Yong Teck Lee sudah ada rancangan. Kenapalah tidak terhidu rancangan tersebut? Jentera Kerajaan UMNO/BN cukup banyak. Antaranya SB. KEMAS. JASA! yang jelas berkerja dengan Kerajaan. Sementara UMNO pula dimana peranan Ketua Penerangan dan dari peringkat tinggi hingga ke cawangan-cawangan? Dimana pula peranan Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden yang 4 orang itu.

Adakah mereka asyik nak mempertanankan kerusi dan kedudukan mereka hingga terlupa nak mempertahankan imej Pak Lah selaku Presiden parti dan PM? Atau mereka melagukan nyanyian indah untuk Pak Lah terus lena di tahta PM/Presiden sehingga berlaku kejutan mengganggu mimpi enak?

Agensi-agensi kerajaan pula asyiklah nak mengerjakan Pakatan Rakyat dengan menunjukkan mereka hero berkerja untuk Pak Lah. Rupanya yang diserang tak hapus yang di dalam melompat keluar.

Begitu juga beberapa NGO telah diperalatan untuk mengembalikan kekukuhan UMNO/BN dengan mengadakan perbagai seminar dan forun untuk permuafakatan dan perpaduan Melayu. Semuanya nak melabakan UMNO/BN supaya kekal berkuasa hingga akhir zaman. Malangnya, yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran!

Tiga kesimpulan yang boleh dibuat. Pertama memang sengaja penyokong-penyokong yang Pak Lah amat percayai ini menyanyikan Pak Lah dengan lagu-lagu yang enak-enak didengar. Bila BN tercabar maka Pak Lah kena letak jawatan. Juak-juak mereka akan memainkan peranan dalam hal ini.

Keduanya memang Pak Lah tidak percaya dengan lapuran yang dibuat oleh agensi-agensi yang mengelilinginya. Kerana Pak Lah mungkin percaya pada seseorang yang amat rapat dengannya. Tapi tak mungkin begitu? Pak Lah pemimpin utama UMNO, masakan nak mendengar kata seorang berdua sahaja.

Ketiga UMNO/BN memang sudah tidak dapat menahan gelombang yang memukul keangkuhan dan ketamakan para pemimpinnya dari kesedaran rakyat yang selama ini minda mereka dijajah dengan umpanan-umpanan yang sekadarnya.

Mahu tak mahu pemimpin UMNO/BN kenalah menoleh ke belakang! Melupakan keangkuhan yang mereka pusaka dari pemimpin ke pemimpin. Buangkan sifat tamak untuk berkuasa selama-lamanya. Kerana rakyat sudah beralih haluan kepada pimpinan yang memperjuangkan keadilan untuk semua!

CUCU: Ingat kata arwah datuk. Kalau nak cari sokong jangan terlampau kuat nanti rebah juga kerana sokong dah lebih kuat dari yang disokong! Yang mesti dicari ialah mencari pejuang yang berjuang dan mempertahankan prinsip atau dasar yang dibawa!




Wednesday, June 18, 2008

DEMOKRASI TERPIMPIN SELAMATKAN PEMIMPIN Bagaikan Cerita Ajak-ajak Bangau?


Assalamualaikum ...



DARI PERAGAP KE PEKAN KARAK,
MEMIKUL TALAM PEMBERAT BAHU;
LEMBUT BERCAKAP KASAR BERGERAK,
HATI DI DALAM ALLAH YANG TAHU.


Tulah pantun kon hari ini ....

BILA bercakap tentang demokrasi. Pemimpin UMNO mendabik dada mengatakan UMNOlah yang amat demokrasi. Seperti di dunia ini jika nak belajar demokrasi kena datang ke Malaysia dan belajar dengan pemimpin UMNO.

Betul ke? Betul tak betul pemimpin UMNO tetap menyatakan begitu pada siapa saja dan di mana saja. Dulu kini dan akan datang (mungkin) itulah cakapnya.

Cuba kita sama-sama memikirkan tentang cara dan gerak pelaksanaan demokrasi yang dibawa oleh pemimpin UMNO dalam soal pemilihan jawatan dalam parti.

Pemimpin UMNO sentiasa mengatakan sesiapa saja boleh bertanding apa saja jawatan dalam UMNO. 'tapi ianya dengan syarat .....' yang telah ditetapkan bagi menguntungkan pimpinan yang sedia ada mengukuhkan lagi jawatannya.

Usahkan Tengku Razaleigh Hamzah - Dr. Mahathir - Mukriz - Khir Toyo - diakui boleh bertanding apa saja jawatan dalam parti dari Pengerusi Tetap - Presiden hingga ke Pemeriksa Kira-kira, malahan si anu bin si anu atau si aNu binti si anu yang duduk nun di caruk kampung pendalaman hulu sungai, tak pernah ke Kuala Lumpur sekali seumur hidupnya pun boleh bertanding merebut jawatan dalam UMNO ....'dengan syarat ........?'

Kerana itu Dr. Mahathir boleh bertahan 21 tahun sebagai pemimpin UMNO sehingga dia sendiri meletakkan jawatan dan akhirnya kerana demokrasi sangat UMNO tu, maka Dr. Mahathir tak tahan lalu mengikut rakan bekas sejawatannya tak duduk dalam UMNO.

Pak Lah berapa lama boleh bertahan? Allah yang menentukannya! Dari segi zahirnya kalau Pak Lah nak sampai mati menjadi Presiden UMNO seterusnya mengekalkan diri sebagai Perdana Menteri Malaysia boleh dibuatnya atas dasar demokrasi ala UMNO yang diperjuangkan oleh UMNO.

Kita imbaskan bersama cerita rakyat dulu-dulu, masa itu kon darjah satu di tahun 1957 bersekolah di Kampung Kundur, Rembau, Negeri Sembilan, kampung halaman keluarga sebelah ayah kon.

Seekor bangau telah bertemu dengan seekor anjing. Mereka berkawan rapat pada hari itu. Pada satu detik si bangau nak menunjukkan baik budinya telah mempelawa si anjing makan di terataknya (konon ceritanya) yang tidaklah sampai 38 tingkat.

Si anjing yang terasa pelawaan bangau dengan nada lembut dan bersungguh itu tidak menolak pelawaan tersebut. Malahan ia lantas turut sama menyatakan si bangau bagus berkawan. Dia pelawa apa jenis binatang pun datang ke terataknya untuk makan bersama (Ditambahkan penyedap kata oleh kon dengan: Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Kalau banyak kita memanggang, kalau sikit kita menyambal, biar santan jalang asalkan dirasa beramai!) tidak asing-asing.

Datanglah si anjing. Lalu dihidangkanlah oleh si bangau dengan makanan yang dikatakan amat lazat masakannya. Si anjing ternganga juga mulut dan fikiranya mula berlegar. Si bangau terus menjunamkan muncungnya ke dalam botol bermulut kecil untuk menyudu makanan yang ada di dalamnya. Sesekali dia mengangkat muncungnya yang bersudu itu dan menjelingkan mata memandang si anjing yang menjilat sikit-sikit kuah yang meleleh di tepi takar.

Si bangau duduk rehat cendawa kekenyangan sementara si anjing teruslah menjilat tepi botol sekadar menjamah untuk jangan kempunan dan langsung tak mengharapkan kenyang!

Begitu jugalah bila si anjing mempelawa si bangau ke terataknya dengan menghidangkan makanan dalam pinggan leper. Sedapnya anjing menjilat (bak kata budak hari ni: hingga menjilat jari) makanan yang tentunya lazak sedangkan si bangau terkuti-kuti dengan muncung sudunya sekadar menjamah dah tentu tak kenyang.

Maafkan kon tentang perbandingan ini. Tidak terniat menyamakan watak binatang ini dengan seseorang. Cerita anjing dan bangau ini cerita rakyat.

Semua orang boleh bertanding apa jawatan sekali pun dengan syarat dianya ahli UMNO. Tapi ingat mereka kena mendapat kouta sekian-sekian jumlah besar yang ditentukan untuk jawatan besar! Dan kouta mendapatkan cadangan dari bahagian itu akan mengikut saiz dengan jawatan yang dipertandingkan.

Demokrasi apakah ini? Pelawa siapa saja boleh bertanding! Tapi ada syarat yang amat berat bagi mereka yang tidak memegang tampok kuasa! Bagi yang sedang berkuasa itu perkara mudah! Kalau tak boleh pujuk gunakan ugut! Kalau pujuk tentu ada pemujuknya. Kalau ugut tentulah ada mencari kesalahannya. Banyak orang takut dengan yang berkuasa! Banyak juga yang berkuasa menakutkan banyak orang!

Maka hari ini. Mampukah Tengku Razaleigh nak melawan Datuk Sri Abdullah Bedawi untuk jawatan Presiden parti dengan syarat mendapatkan jumlah kouta yang mesti dilakukan. Kalau tak dapat, cukuplah hanya sampai di sini. Tak sampai pun ke peti undi! Maka terus lenalah Pak Lah di tahta Presiden UMNO.

Inilah demokrasi yang dipamerkan oleh pemimpin UMNO untuk ahli UMNO. Lalu Kerajaan Barisan Nasional hari ini di pimpin oleh Presiden UMNO, maka demokrasi ala UMNO itu jugalah menjalar ke pentas negara. Malahan ianya lebih teruk dari ajak-ajak bangau itu. Demokrasi terpimpin untuk menyelamatkan pemimpin!

CUCU: Ingatkan kawan-kawan seperti juga kawan-kawan mengingatkan kon supaya jangan jadi penjilat untuk mendapatkan pangkat, kuasa dan ringgit!

Saturday, June 14, 2008

TENGKU RAZALEIGH MENJEJAK TEMERLOH - Pimpinan Umno Pahang Berpeluh?




Assalamualaikum ....


DAYUNG BERGALAH KE TANJUNG LUKUT,
ANGIN BAYU TERTAMPAR KE BATU;
KALAU BERSALAH CAMPUR PENAKUT,
TUNGGUL KAYU DISANGKA HANTU.

Sekadar tulah pantun kon hari ni ...


PAGI-PAGI Lagi lepas sembahyang Subuh, keluarga kon mula bersiap untuk membantu kon buat kerja-kerja rumah sebelah pagi. Abdul Manap Putera anak lelaki kon yang pulang malam tadi cuti hujung minggui dari Kuala Lumpur ikut sama dengan Abdul Khalid Putera, anak bongsu kon yang baru sahaja dua minggu pulang dari PLKN Tasik Chini. Sementara anak-anak perempuan kon yang dipanggil Angah (Siti Fatimah Puteri) dan yang dipanggil Uda (Siti Aishah Puteri) kedua-duanya lepasan universiti tapi belum lagi mendapat kerja tetap, ikut sama membantu dalam sejam lebih kurang sebelum kami menuju ke destinasi kerja kami. Isteri kon akan ke kedai runcitnya sementara kon kalau tak ke mana-mana akan menulis di rumah.

Sebaik menghadap hidangan pagi, telefon berbunyi dari seorang rakan di Pekan Lanchang yang mengingatkan kon tentang kedatangan Tengku Rezaligh Hamzah ke Dewan Sri Mentakab jam 2.00 petang. Kon berhajat nak ke Raub untuk menghadiri mesyuarat AJK Penerangan PKR Pahang , tapi untunglah Angah mengingatkan SMS dari pakciknya Haji Suhaimi Said bahawa mesyuarat tersebut bukan pada Sabtu ini. Ianya diadakan pada Sabtu ....... Banyak yang aku lupa bila aku begitu sakit tengkok dan kepala dua tiga hari lalu.

Syed Nor Adnan Syed Abdullah (Ami) selaku Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Malaysia (tak tahulah sampai bila - Rasanya masa BN ni dia menyokong - Masa PKR kalau memerintah nanti pun dia menyokong - kerana dia Kelab Penyokong Kerajaan Malaysia) telah menghonkan keretanya untuk mengajak kon ke Mentakab pagi-pagi buta. Nak buat apa kon tak tahu! Kon tak ikut dia!

Dalam kesibukan ke sana ke sini untuk tugas pribadi dan sedikit parti pagi ini kon dengan kereta sendiri sudah berada di depan Dewan Sri Mentakab jam 12.30 tengahari. Tak ramai orang. Kereta mewah banyak. Khemah putih banyak juga didirikan. Kain rentang menerangkan kedatangan Tengku Razaleigh Hamzah terentang bangga di beberapa tempat termasuk poster putih hitam dengan gambar bakal calon Presiden UMNO bercampur dengan poster pesta ria yang akan mengundang penyanyi dangdut di sebelah malamnya.

Kon menerima panggilan telefon dari sabahat kon di Kuala Lumpur, Sdr Zaharin Mat Yassin pemilik blog Sang Kelembai yang sumpahnya masih belum menjadi tapi tempias sumpahnya dirasakan juga masa PRU 12 dulu sedikit sebanyak memberi sumbangan pada kemenangan Pakatan Rakyat (kon tetap mengingati apa yang dia lakukan - terima kasih Zaharin).

Sang Kelembai mengatakan dia dah berada di Bandar Temerloh nak makan ikan patin masak tempoyak, dia ajak kon! Alamak! Kon masih kenyang lagi kerana pagi-pagi kebiasaan kon makan nasi tak kira lauk apa asal ada kerana kon orang kampung yang susah. Jam 1.45 petang lepas sembahyang Zuhur kon bertemu dengannya di Akib MARA Mentakab. Kami berbual mesra kerana lepas pertemuan baca puisi PRIMA di rumah Dato Kamal Amir sebulan sebelum PRU 12, kami tak bertemu, hanya telefon sahaja menghubungi kami.

Sahabat kon ini rasa kesal sedikit kerana jam hampir 2.00 petang orang ramai tidak lagi mengerumuni Dewan Sri Mentakab tempat bakal calon Presiden UMNO berucap untuk pertemuannya dengan cawangan-cawangan UMNO seluruh Pahang. SB Zul menegur kon dan kon memperkenalkan dia dengan Sang Kelembai. Banyak juga coleteh Sang Kelembai mengkritik pimpinan UMNO hari ini yang dapat didengar oleh SB Zul. Kon diam saja.

Jam 2.05 minit Dewan Sri Mentakab mulai didatangi manusia. Kon lihat selain ahli UMNO ada juga orang PAS, PKR yang kon kenal datang dengan wajah selamba tak menegur pun kon. Ada juga yang datang mengatakan sekadar nak mengintai-intai.

Kon masuk sekejap ke dalam dewan bertemu dengan Pokde Hashim JP dari Kampung Desa Bakti. Dia menceritakan sedikit bagaiaman kon memelok dia masa dia cuba nak mensebotajkan ceramah PAS di kampungnya dulu. Dia kata tak ada orang berani nak pelok dia masa itu. Kon dalam senyum kecil mengatakan kerana dia pangkat bapa saudara kon yang kon berani pelok dia supaya tidak mengganggu ceramah yang kon terlibat menganjurkannya itu.

Sang Kelembai ajak kon ke barisan depan. Kon mengelak juga kerana kon bukan ahli UMNO, seumur hidup kon tak pernah masuk UMNO, kalau ada nama kon dalam senarai UMNO itu kon tak tahu mungkin mereka ambil dari buku daftar pengundi - (lantaklah!). Tiba-tiba telefon bimbit kon berbunyi dan anak saudara kon dari Perak ajak kon ke Felda Lakum. Terlepaslah kon dari ajakan Sang Kelembai ke barisan depan.

Kon janji dengan Sang Kelembai akan bertemu di kedai runcit isteri kon di Lanchang dalam perjalanan dia pulang ke Kuala Lumpur nanti. Masa kon tinggalkan Dewan Sri Mentakab tu dewan masih belum penuh lagi, tapi kereta yang datang boleh tahan juga banyaknya.

Kisah di Dewan Sri Mentakab tidak ada dalam kepala kon selepas itu. Setelah menyelasaikan masalah keluarga, kon balik ke Pekan Lanchang. Oiiii!! Ada pulak perkara baru di Lanchang.
Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Lanchang (UMNO/BN) menganjurkan jam 2.30 petang satu ceramah untuk masyarakat Lanchang pada hari ini juga di Dewan Sekolah Menengah Datuk Bahaman Lanchang.

Aaaaa!!! Barulah kon perasan! Rupanya ada pihak dalam UMNO di Bahagian Temerloh yang cuba mengalih arus rakyat dari menyambut dan mendengar ceramah Tengku Rezaligh Hamzah. Bila kon tanya pada Pakcu Pandi saudara kon yang berniaga di sebelah kedai isteri kon, dia kata dia pergi kejap, ramailah juga! (fahamlah kon kalau ada 'lah' dihujung ramai tu).

Adik ipar kon Raja Abdullah (adik isteri kon) yang berniaga Restoran Singgah Sini di sebelah kedai isteri kon juga pergi ke ceramah Tengku Rezaligh. Dia dah lupa dia ada ambil kontrek membekal makanan pada para penyelidik kelawar di hutan Gundah. Makanan dah siap tapi hantar siapa? Biras kon suruh kon hantar, kon hantarlah! Masa itu juga Sang Kelembai sampai dan kon minta dia tunggu kejap. Tai bila kon balik semula ke Pekan Lanchang, Sang Kelembai sudah menghilangkan diri. Samada ke Kuala Lumpur atau ke hutan Gunung Tahan! Kon hubunginya tetapi tiada disambutnya telefon. Tak apa kon akan bertemu dia di kedai Gulam Jalan Pekeliling Kuala Lumpur dua tiga hari lagi! InsyaAllah!

Apa cerita yang menarik di atas? Cerita tentang kon? Ehhh itu hanya hal pribadi saja jangankan tidak nak mencerita sedikit sebanyak kesibukan kon hari ini, sedangkan memang kon sibuk setiap hari. Esok satu hari di Kuala Krau sampai malam bersama Haji Suhaimi Said Ketua PKR Bahagian Kuala Krau, tubuh cawangan PKR.

Cerita yang menariknya ialah Tengku Razaleigh dah mula memecahkan kebuntuan yang selama ini menjadi teka teki ahli politik UMNO bahawa anak raja dari Kelantan itu bagaikan tidak ada tempat di Pahang. Siapa yang pecahkan kebekuan ini? Tentulah ada seorang berdua pimpinan UMNO Pahang yang bukan sahaja menyokong TR sebagai calon Presiden UMNO tetapi juga mencabar kepimpinan UMNO Pahang dibawah pimpinan Dato Sri Adnan Yaakob.

Bukan saja tempias kedatangan TR ke Mentakab ini dirasai oleh Dato Sri MB Pahang malahan ianya memercikkan peluh resah gelisah pimpinan UMNO Temerloh terutamanya mereka yang sedang nak merebut jawatan Ketua Bahagian UMNO Temerloh antaranya Dato Mohd Shakar Haji Shamsuddin (Timbalan Ketua Bahagian UMNO - sekarang) juga selaku EXCO Kerajaan Pahang pimpinan Dato Sri Adnan Yaakob.

Kerana itu tidak hairan dalam hari yang sama dan waktu yang sama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Lanchang yang dikendalikan oleh YB Dato Mohd Shakar mengadakan ceramah untuk dihadiri oleh ahli-ahli cawangan UMNO sekitar Lanchang. Bagaimana pun ramai pimpinan UMNO cawangan Lanchang yang kon lihat di Dewan Sri Mentakab jam 2-00 petang tadi.

Apa dah jadi dengan UMNO? Kalau ada orang kata Orang Melayu sudah tidak bersatu! Tepat sekali kerana guru yang mengajar tidak bersatu itu ialah UMNO parti Melayu 100%! Parti yang memperjuangkan nasib orang Melayu (ya ke?) sendiri yang berpecah belah kerana hari ni perjuangan bangsa dengan landasan kebangsaan kuno sudah berlalu! Pemimpin UMNO hanya berjuang untuk memenuhkan poket mereka dan kroni mereka! Ahli dibelah bagi mengikut arus kehendak mereka. Mana yang mampu ditindik hidung, mengikutlah. Mana yang dah cerdik pusing belakang dan menghala ke arah lain.

Kedatangan TR ke Pahang memang meresahkan sedikit sebanyak pimpinan UMNO Pahang yang begitu taksup dengan Dato Sri Najib dan Pak Lah. Pecahnya sedikit ruang mungkin akan merebak. Ucapan TR sudah mula menyelinap ke anak telinga orang Melayu Pahang yang masih kukuh dengan UMNO. Tembelang pimpinan tertinggi UMNO mula pecah dan baunya akan menyumbat sanubari mereka.

Akhirnya kesedaran dari perpecahaan UMNO ini bukannya mereka akan bersatu kerana mereka tahu bersatunya mereka akan menguntungkan pimpinan-pimpinan yang sedang berlaga di gelanggang siapa menang dia berkuasa, siapa berkuasa dia untung, siapa untung dia kaya raya! Yang menderita ialah mereka yang tukang julang!

Kerana itulah sudah ramai ahli-ahli UMNO menyertai parti-parti PAKATAN RAKYAT. Ramai lagi yang berbisik-bisik untuk menyertai parti-parti PAKATAN RAKYAT.

PKR bukan menangguk di air keruh yang dikeruhkan oleh pemimpin UMNO tetapi PKR pimpinan Datin Sri Wan Azizah Wan Ismail menjadi idola dalam era rakyat mahukan perubahan budaya hidup pendidikan, politik dan ekonomi mereka! Kerana itu laongan keramat REFORMASI sudah tidak asing lagi kepada rakyat terutamanya anak-anak muda lelaki dan perempuan bukan saja di Pahang tetapi seluruh ceruk rantau negara!

CUCU: Minggu ini tunggu blog Sang Kelembai, sumpah apa pula dia hemburkan?

CUCU TOK KEDU - CUCU TOK KEDU http://rp-semantan blogspot.com
-------------------------------------------------------------------------------------------------
NURUL
IZZAH KE PERKAMPUNGAN ORANG ASLI JAHUT KUALA KRAU

Kuala Krau:
Puteri Reformasi YB Nurul Izzah Anwar akan membuat kunjungan ke perkampungan Orang Asli Jahut bertempat di Kampung Pian, Kuala Krau pada 2 Ogos 2008.

Beliau akan bersama-sama masyarakat Orang Asli meraikan Majlis Makan Buah-Bua
han turut serta memberikan ucapan disamping bermesra dengan masyarakat Orang Asli Jahut. Acara baca puisi, menyumpit, persembahan kebudayaan Orang Asli juga akan menyeri majlis tersebut.

Berbagai aturcara sambutan sedang dirangka oleh pihak Angkatan Muda Kea
dilan Bahagian Kuala Krau dengan kerjasama Parti Keadilan Rakyat Bahagian Kuala Krau serta masyarakat Orang Asli dari beberapa buah kampung di Kuala Krau.

Menurut pihak urusetia sambutan majlis Jamuan Masyarakat juga akan diadakan. Dijangka bukan sahaja masyarakat Orang Asli Jahut Kuala Krau akan hadir sama tetapi meliputi juga beberapa masyarakat Orang Asli di luar Kuala Krau dan juga seluruh masyarakat Kuala Krau akan berhimpun di majlis tersebut.

Moga dengan kehadiran YB Puteri Reformasi ini akan dapat membawa permasalahan yang dihadapi oleh Orang Asli Kuala Krau ke Parlimen seterus dapat merubah suasana kehidupan mereka yang banyak perkara pokok dipinggirkan ole
h Kerajaan BN.


DATUK DR. MANSOR MASUK GELANGGANG - DPMP Mesti Tunjuk kewibawaan!






Assalamualaikum ...


DARI SANGGANG KE TONGKIAT,
TANJUNG SEBARANG MEMASANG LUKAH;
KERIS DI PINGGANG HATI BERNIAT,
KE TENGAH GELANGGANG MENYUSUN LANGKAH.


Itulah pantun kon hari ni ... Sihat sikit dah tengkok kon ...

GELANGGANG pemilihan pimpinan GAPENA akan menjadi medan yang menentukan pencapaian badan induk penulis negara itu masa-masa akan datang dalam era perubahan rakyat. Ianya sudah tidak boleh dilihat mampu bergerak seperti apa yang digerakkan oleh pimpinan yang ada sekarang ini. Ini boleh dianggap sudah tidak sesuai kalau pun tidak mahu dikatakan sebagai ketinggalan arus massa!

Tidak apa-apa kehebatan atau penonjolan watak yang diperagakan oleh GAPENA pimpinan Ismail Hussin. Menyebut GAPENA seolah-olah seperti menyebut padang lalang yang tidak apa-apa pun hebatnya.

Mungkin 20 tahun dulu GAPENA hebat kerana itu zaman permulaannya. Tapi kini kehebatan GAPENA hanya pada segelintir penulis-penulis tua yang sibuk dengan kajian dan penyelidikan dan pembentangan kertas kerja disamping menjadi kuda tunggangan pihak-pihak yang memerlukan sesuatu dalam kancah politik negara. Ianya menguntung segelingtir pimpinan GAPENA sahaja. Bukan untuk para penulis tanahair.

Lalu dengan bersandarkan berbagai tajuk dan slogan, maka GAPENA memikul beban mengadakan seminar, forum, kongres anika lagilah yang membolehkan pemimpin-pemimpin berfikiran tua ini menonjolkan diri dengan menjadi GAPENA kuda tunggangan.

Maka sebagai kuda tunggangan ianya mengikut arus yang dikehendakki si penunggangnya! Lalu prinsip perjuangan yang sepatutnya ditegakkan dan dilaksanakan tercicir. Cuma untuk mengabui mata kerabat gabungan dibuatkanlah memorandum yang berjela panjangnya dengan bahasa tua.

Untuk siapa dan kepada siapa memorandum itu? Hantar pada rakyat? Apa kuasa rakyat nak melaksanakan memorandum itu? Hantar pada Kerajaan. Dah berapa banyak hantar tapi apa tindakannya? Kerajaan tidak akan bertindak mengikut kehendak kuda tunggangan! Itu kena faham!

Oleh itu masa sepatutnya telah sampai untuk menukar pimpinan GAPENA di era kebangkitan rakyat dengan kesedaran dan keinsafan bertanggungjawab. Ismail Hussin pasti dicabar! Siapa pencabarnya? Siapa yang berani tampil ke tengah gelanggang menyisip keris bertarung bukan sahaja dengan Ismail Hussin tetapi dengan kuncu-kuncunya yang setia bak kata bidalan; kalau ke laut sama berenang, kalau ke darat sama merangkak!

Datuk Dr. Mansoor Abdullah (Timbalan Ketua DPMP) nampaknya sanggup mempertaruhkan dirinya untuk ke tengah gelanggang. Dengar-dengarnya niat sudah di hati dan keris sudah disisip di pinggang! Cuma mampukah perwakilan DPMP ke mesyuarat agung GAPENA nanti mencadang / menyokong / dan mengundi Datuk Dr. Mansoor ini?

Mampu tak mampu ianya mesti dilakukan kerana Datuk Dr. Mansoor adalah ahli DPMP dan Timbalan Ketua DPMP! Alasan apa perwakilan DPMP tidak boleh mengketengahkan ayam sabungannya? Atau perwakilan DPMP adalah kuda tunggangan juga?

Kerana itu jangan anggap tulisan ini menghentam DPMP tapi ianya mencari kewibawaan perwakilan DPMP. Kewibawaan perwakilan DPMP itulah nanti yang akan memertabatkan kehebatan DPMP. Kepada Datuk Dr. Mansoor ujian perjuangan berada di tepi gelanggang. Serangan akan berada bila berada di tengah gelanggang!

CUCU: Sekali melangkah tetap melangkah, membujur lalu melintang patah!