Friday, November 28, 2008

Citrapurba : TOK RAJA VS PENGHULU SUAMI ISTERI

Assalamualaikum ....

ULIT-ULIT MENCARI USUL,
DAPAT USUL SAKA MERASUK;
BENGKAK KULIT KERANA BISUL,
PECAH BISUL NANAH MEMBUSUK !

Inilah pantun kon kali ini ....

TOK Raja (bukannya Sultan) yang pernah ditangkap dan dikurung dalam kandang Hukum Tanpa Dakwa dan baru saja dilepaskan kemudian dipanggil untuk dibicarakan atas dakwaan menaburkan fitnah terhadap Penghulu dan isterinya yang bakal menjadi Tok Demang di negara Seantara Habat.

Berhajatlah Tok Raja kepalanya botak badannya bulat itu untuk memanggil saksi-saksi sebagai menguatkan hujjahnya bahawa dia tidak menaburkan fitnah tetapi sungguh-sungguh apa yang dikatakannya di hadapan hakim Kancil.

Antara saksi-saksinya ialah pengawal-pengawal kampung yang dikatakan pernah menjadi pengawal khas kepada Penghulu dan isterinya yang dikatakan difitnah oleh Tok Raja.

Bagi rakyat jelata yang dengu dan pengampu dalam negara Seantara Habat ini tidak ada apa-apa yang dikhuatirkan oleh Penghulu kerana taraf Penghulu dan bakal menjadi Tok Demang akan memainkan peranan penting dengan kuasa yang ada mampu menghalang pengawal kampung tersebut dari dijadikan saksi melalui keputusan hakim Kancil.

Sebaliknya jika hakim Kancil ini berdiri sebagai si cerdik yang tak ikut telunjuk si rakus, lalu mengizinkan permintaan Tok Raja, maka apa akan jadi dengan Penghulu dan isterinya yang ada bisul di kulit mereka?

Rata-rata rakyat menunggu dengan penuh debaran sambil menutup hidung kerana bisul yang membengkak di kulit, dah merah menyala, menunggu tergesel sedikit dengan jari lalu mata bisul itu pun pecah dan nanah melambak keluar dengan bau yang busuk.

Nanah yang busuk itu datang dari bisul yang pecah dan terus memekong kerana Penghulu dan isterinya menghidap kencing manis!

Ada juga nanti rakyat yang tertanya-tanya, bau hanyir busuk pekong ini dari mana? Kerana rakyat itu yang leka dibuai mimpi menunggu Penghulu menjadi Tok Demang negara Seantara Habat.

Apa pun rakyat fikirkan tidak sama dengan apa yang Penghulu dan isterinya fikirkan! Mereka terpaksa mencari ramuan melelapkan mata untuk tidur sebelum berundur atau diundurkan!

Tok Demang yang ada kini fikirannya pun tak boleh dibaca juga. Walaupun taringnya dah tumpul dan akan tanggal tak berapa lama lagi namun kukunya masih ada dan masih tajam, macam jugalah Tok Demang Tua! Pekap-pekap dada lantang juga bersuara!

(Cerita purbawara ini tidak ada kena mengena dengan manusia yang hidup atau pun yang dah mati - ianya diriwayatkan kepada anak cucu yang hujung minggu tidur di rumah pusaka peninggalan nenek moyang)

CUCU: Ingat pesan Tok Kedu - Bangkai boleh ditudung tapi bau busuknya meresap seisi kampung!

Tuesday, November 25, 2008

OH MALAYSIA TANAH AIR KU !!!!!

TENUNG-TENUNG!
RENUNG-RENUNG!
HATI DI DALAM BERKATA APA?????

CUCU: Pesan pada anak cucu! Jangan buat begitu!

Monday, November 24, 2008

POLITIK WANG & RASUAH UMNO - Dr. M Tak Percaya Najib



Assalamualaikum ...

IKAN TENGGIRI IKAN TODAK,
KETAM BATU DI DALAM BUBU;
TOLEH KIRI KANAN PUN TIDAK,
MANA SATU PILIHAN KALBU?


DR. Mahathir Mohammad, mantan Perdana Menteri Malaysia membuat kenyataan terbuka yang mengejutkan juga ahli-ahli politik tanahair bila beliau menyatakan Najib tidak mampu membendung politik wang dan rasuah walaupun menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Kenyataan terbuka ini tidak boleh dipandang remeh oleh ahli-ahli Umno dan juga rakyat Malaysia. Kerana ianya melibatkan rasuah dan politik wang! Najib tidak menggunakan apa-apa kerana telah menerima plan peralihan kuasa dan telah nyata akan menjadi Presiden Umno kerana menang tanpa bertanding. Perdana Menteri belum tentu lagi.

Namun kroninya yang sedang berhempas pulas harus diambil perhatian. Apakah Najib akan membiarkan kroninya menggunakan politik wang dan merasuah untuk memenangi sebarang jawatan yang dipertandingkan Mac 2009?

Adakah Najib akan melarang mereka menggunakan politik wang dan rasuah untuk membersihkan Umno kononnya?

Yang jelasnya politik wang dan rasuah sudah berakar umbi dalam Umno kian lama! Siapa saja yang memerlukan kedudukan dalam Umno disemua perengkat tidak boleh lari dari dua perkara tersebut. Ianya sudah menjadi amalan dan budaya Melayu Umno! Jika tiada rasuah, maka tak bermesyuaratlah Umno! Rasuah menjadi santapan utama Mesyuarat Umno!

Kalau kroni Najib tidak menggunakan rasuah dan politik wang. Mereka akan kalah. Najib menjadi Presiden yang tidak ada penyokong kuat dalam MKTnya. Apa akan jadi? Bila-bila boleh disingkirkan!

Kalau politik wang dan rasuah dibuat tutup mata sebelah oleh Najib untuk kroninya. Maka apa yang dikatakan oleh Dr. Mahathir Mohammad bukan saja tepat tetapi sah! Maka Najib tidak layak menjadi Presiden kepada satu parti yang mengamalkan politik wang dan rasuah!

Najib bagaikan makan buah kepayang, ditelan mabuk dibuang sayang!

Adakah bala ini yang membuatkan Pak Lah tidak mahu memimpin Umno?

Bila pemimpin Umno naik kerana politik wang. Maka masa depan menanti memerlukan wang. Oleh itu para pemimpin Umno mesti mencari sumber kewangan banyak yang akan digunakan dalam pemilihan akan datang. Samada mempertahankan atau mencabar jawatan dalam Umno.

Dari mana sumber itu? Pasti dari rasuah! Rasuah yang mudah untuk melonggokkan wang dan mudah ditaburkan!

Parti dan kerajaan akan diterajui oleh pemimpin yang mengamalkan politik wang dan rasuah! Bagaimana dengan rakyat? Jika rakyat memerlukan sesuatu maka rasuah mesti didahulukan! Jika tidak segalanya kempunan!

Wujudlah sebuah negara rasuah! Siapakah yang akan melabur di negara yang mengamalkan rasuah?

Saranan mantan Perdana Menteri 22 tahun mentadbiri negara itu dilihat sebagai satu kebimbangan akan kehilangan keyakinan rakyat terhadap Umno yang kini memang sudah mula kehilangan keyakinan dari rakyat.

Untuk membendungnya amat susah kerana ianya sudah menjadi darah daging Umno! Oleh itu peralihan kuasa yang dilakukan oleh Pak Lah kepada Najib adalah satu kesilapan besar ataupun memang tak boleh apa-apa! Adakah tidak ada siapa dalam kepimpinan Umno itu yang tidak terlibat dengan politik wang dan rasuah untuk diserahkan oleh Pak Lah jawatan Presiden?

Siapa Presiden Umno yang mampu menerima saranan Dr. Mahathir tentang politik wang dan rasuah? Jawapannya mungkin tidak ada! Oleh itu apakala Najib menjadi Presiden Umno dan seterus Perdana Menteri Malaysia - Politik wang dan rasuah tidak akan hapus! Akar umbi Umno akan bercakap tentang politik bila ada wang dan rasuah. Ianya dijadikan budaya dan amalan warisan Melayu Umno.

Mereka yang tiada wang dan tidak mahu dengan budaya buruk itu akan diucapkan atau mengucapkan selamat tinggal Umno!

Para pentadbir negara akan terikut-ikut sama! Maka segala kesejahteraan rakyat terhakis dengan kehendak wang! Bagaimana dengan pelabur dari luar negara? Ahli Umno harus berfikir semasak-masaknya. Rakyat harus bertindak membendung budaya buruk yang dibawa oleh pemimpin Umno ini! Harus mencari pilihan yang lain ....

CUCU: Teringat-ingat Rm 540 juta komisyen kapal selam.


Saturday, November 22, 2008

DUIT! DUIT! DUIT! - DI MANA DUIT?

Assalamulaikum ...

BUKIT LUIT SUNGAI PUN LUIT,
TANAH RENDAH KOLAM KELI;
MULUT DUIT TANGAN PUN DUIT,
PERJUANGAN MUDAH DIJUAL BELI.

Itulah pantun kon kali ini ...

KINI kedai kopi dan dewan orang ramai (balairaya di kampung) sudah lengang dengan perjumpaan. Tidak ada lagi jamuan di bandar sederhana atau pekan kecil. Penentuan siapa yang terajui parti dari cawangan hingga ke bahagian sudah ditentukan. Perwakilan cawangan pun dah tak dilayan lagi dengan kereta mewah menjemput ke rumah. Ada antaranya sudah kira duit sen saja.

Ada juga yang masih mewah lagi terutamanya mereka yang memenang perwakilan ke PWTC. Meraka jarang nampak muka di kedai-kedai kopi. Ke mana mereka? Cari duit ke ?

Dari meja sebelah kedengaran rungutan (pastinya ahli Umno): "Tak reti nak cakap sekarang, tak pasal-pasal dia tu jadi perwakilan ke Kuala Lumpur! Duit tulah!"

Masa dulu pun si manusia ini jugalah yang berkata: "Siapa nak undi kena banyak duit! No money no vote!"

Awal detik pemilihan cawangan hingga ke peringkat bahagian cerita duit saja. Cakap tentang dasar perjuangan, apa yang bakal diperjuangkan hanya menjadi topik sampingan saja!

Duit dan jamunan tidak boleh dipisahkan untuk mendapatkan undi!

Bagimana pula duit memainkan peranan untuk kemenangan jawatan-jawatan: Timbalan Presiden? Naib-Naib Presiden? Ketua Pemuda? Ketua Wanita? Naib Ketua Pemuda? Naib Ketua Wanita? MKT yang begitu banyak calon-calonnya.

Jika duit memainkan peranan kemenangan jawatan-jawatan tersebut, maka penuhlah poket perwakilan-perwakilan bahagian yang datang ke PWTC dari seluruh pelusuk tanahair dengan duit kecuali Serawak.

Calon-calon yang menang ialah: Calon-calon yang banyak menghulur duit!

Matlamat perjuangan parti untuk agama bangsa dan tanahair hanya tinggal dalam cantuman bibir atas dengan bawah saja sedang poket sudah penuh dengan duit! Yang melaburkan duit akan berusaha mencari lebih banyak lagi duit untuk gantinya dan bersiap sedia untuk akan datang!

Ketua-ketua cawangan akan berhempas pulas menjaga anak buahnya yang juga mahukan duit kerana mereka tahu perjuangan kini hanya boleh dibeli dengan duit! Menurut penganalisa yang tak bertauliah di kedai kopi: Pemilihan kali ini amat besar menggunakan duit! Akan datang macam mana?

Ahli Umno di kampung-kampung sibuk dengan bercakap Ketuanan Melayu (mereka sendiri pun tak tahu apa bendanya) yang digemburklan oleh pemimpin mereka, Pemimpin Umno sibuk cari dan hulur duit pada orang tertentu untuk mendapatkan kedudukan dalam parti!

Seorang bekas Ketua Cawangan Umno kampung yang dah lama tersingkir berkata: Umno firma perniagaan! Perwakilan adalah pelaburan! Perjuangan parti hanya omong-omongan!


CUCU: Pernah jual pucuk paku untuk dapatkan duit.

Friday, November 21, 2008

PRIHAL PENGHULU DGN JANDA MONGO

Assalamualaikum ...

SUNGAI RENGIT MELINTASI LAKUM,
MENGAIL SELUANG BERSAMA TILAN;
BILA RINGGIT MENGATASI HUKUM,
RAKYAT BERJUANG MENCARI KEADILAN.

Itulah pantun kon kali ini.


MAKA bertambah panjanglah kisah pembunuhan Janda Mongo yang diriwayatkan oleh pengisah dar Lubok Kawah.

Kini Si Pendekar kepercayaan Penghulu sudah bebas dan sudah buat kenyataan terbuka di Pekan Sehari antaranya mengatakan Penghulu dan isteri Penghulu tidak terlibat dengan pembunuhan Janda Mongo. Malahan dia juga mengatakan Penghulu tidak pernah kenal akan Janda Mongo itu.

Lalu tertanya-tanyalah rakyat jelata termasuklah para pedagang dalam dan luar mukim. Siapakah yang punya angkar membunuh Janda Mongo? Kini 2 pengawal mukim yang dikatakan pernah menjadi Pengawal Penghulu terpaksa meerengkok dalam pasungan untuk menunggu dibicara dan dilepaskan seperti juga yang berlaku pada Pendekar.

Lantas itu amatlah risaunya Tok Demang yang kepala tadbir mukim kerana diura-urakan Penghulu ini akan menggantikannya sebagai Tok Demang yang banyak mengikut cakap bininya dengan mengumpulkan harta melalui komisyen. Ikut Suka Aku. Kebanyakan Tok-Tok Adil juga terpesona dengan kebendaan dan jawatan. Ada juga yang tidak terpesona tetapi tak boleh buat apa-apa! Lawan kena tukar atau dilucutkan jawatan! Tok-Tok Adil pun nak cari makan juga.

Kepala-kepala Pengawal pun 2X5 = 5x2 juga. Tok Dakwa pun lebihg kurang, lebih mengampu, kurang berwibawa! Nak buat macam mana, dunia dah terbuka. Kebendaan menjadi raja!

Memanglah Tok Demang rasa demam-demam asam! Para pedagang dalam mukim naikkan harga barang kerana pemerintah mukim juga naikkan harga kayu api sebagai bahan bakar utama. Sementara itu para pedangang dari luar mukim sedang teruja-uja, nak datang ke tidak melabur ke mukim yang undang-undangnya carca marba ini?

Kes pembunuhan Janda Mongo akan selesai tak lama lagi rasanya dengan keputusan lepas tangan begitu saja oleh undang-undang Mukim Carca Marba ini. Oleh itu orang luar mukim takut nak datang ke mukim ini, takut dicincang lumat kemudian buat aduan pada pemerintah carca marba. Jawapannya tak ada siapa yang bersalah kerana kata Tok Nikah Kawin filem Musang Berjanggut: Undang-undang itu kita yang buat!

Ertinya mengikut selera siapa yang jadi kepala memerintah dalam mukim itu? Tok Demang mula merasakan tersilapnya melepaskan secara tidak langsung jawatan Tok Demang pada Penghulu yang dikatakan oleh periwayat-periwayat hikayat pernah berjahat dengan beberapa wanita hebat dan terkenal dan bercinta dengan Janda Mongo tersebut.

Nak buat apa? Nasi sudah menjadi bubur! Serah pada rakyatlah menentukannya. Tapi kalau rakyat juga pandang emas perak temaga suasa! Dudiuk deritalah dalam mukim yang undang-undangnya carca marba ini!

(Cerita ini hanya rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau pun yang mati - Diharapkan tidalk ada yang terasa pedas kerana makan cili - Ianya untuk melenakan cucu kon yang selalu menangis bila nak tidur)

CUCU: Suka sambung cerita dari Semangat Lubok Kawah.

Jika ada masa terluang:
Layarilah

http://tokperan.blogspot.com


Sunday, November 16, 2008

5 TANDA ? ALTANTUYYA ....

APA? SIAPA? KENAPA? DIMANA? BAGAIMANA?

5 pertanyaan di atas bermain di kepala rasanya bukan kon saja tetapi boleh dikatakan seluruh rakyat Malaysia yang berakal waras.

BABAK 001
1) Apa kehebatan Altantuyya?
2) Siapa sebenarnya Altantuyya?
3) Kenapa Altantuyya datang ke Malaysia ini?
4) Di mana Altantuyya berada semasa di Malaysia ini?
5) Bagaimana Altantuyya masuk ke Malaysia ini?

BABAK 002
1) Apa Altantuyya hajatkan datang ke Malaysia ini?
2) Siapa yang Altantuyya jumpa?
3) Kenapa Altantuyya jumpa orang itu?
4) Di mana Altantuyya berjumpa dengan orang itu?
5) Bagaimana Altantuyya boleh jumpa orang itu?

BABAK 003
1) Apa yang berlaku bila Altantuyya jumpa orang itu?
2) Siapa yang bawa Altantuyya jumpa orang itu?
3) Kenapa Altantuyya hilang lepas itu?
4) Di mana Altantuyya berada semasa hilang?
5) Bagaimana keadaan Altantuyya bila ditemui?

BABAK 004
1) Apa bukti Altantuyya dibunuh?
2) Siapa yang membunuh Altantuyya?
3) Kenapa Altantuyya dibunuh?
4) Di mana Altantuyya dibunuh?
5) Bagaimana pembunuhan Altantuyya terbongkar?

BABAK 005
1) Apa faktor utama 3 orang terlibat?
2) Siapa yang libatkan mereka?
3) Kenapa rekod kemasukan Altantuyya tiada?
4) Di mana tempat keluarga Altantuyya mengadu?
5) Bagaimana mahkamah membicarakan tertuduh?

BABAK 006
1) Apa senjata yang membunuh Altantuyya?
2) Siapa sms dengan peguam tertuduh?
3) Kenapa orang itu hubungi peguam?
4) Di mana orang itu berada sekarang?
5) Bagaimana dari 3 tinggal 2 tertuduh?

Kepala kon pening! Perunding Politik lepas. 2 anggota polis yang setia dibicarakan terus! Apa pasal 2 anggota polis sanggup bunuh Altantuyya? Ada hutang ke? Cemburu ke? Marah tak dilayan diMonggolia ke? Berebut komisyen kapal selam ke? Berebutkan anak ke?

Lagi pening kepala kon memikirkan siapa sebenarnya BUNUH wanita Monggolia yang tentu datangnya untuk bertemu seseorang di negara ini? Siapa orang yang Attantuyya nak jumpa itu?
Siapa? Siapa? Siapa? Selalu sangat bermain dalam kepala kon .......

Jawab dalam fikiran cara berhemah!

http://rp-semantan.blogspot.com

CUCU:Nak katok biawak tak pasal-pasal pun tak sampai hati!

Untuk seterusnya lawati:

http://tokperan.blogspot.com




Sunday, November 9, 2008

KALDAI DENGAN LOBAK - Cerita Dari Pondok Kecil Di Hujung Kampung

Assalamualaikum ...

TARIK UPEH DI TUJU KE BAGAN,
TEMPUH SELAMAT PENUH DUGAAN;
BIBIR BERBUIH MENYEBUT PERJUANGAN,
HATI TERSEMAT DENGAN KEBENDAAN.

Itulah pantun kon kali ini.


SI TUAN kaldai amat susah hati. Rata-rata dah tahu kaldai bukan saja binatang yang amat bodoh tetapi juga amat pemalas. Kerana itu si tuan kaldai amat susah hati untuk mempergunakan kaldai semada sebagai tunggangan ataupun pembawa beban!

Lantas beberapa tuan kaldai duduk berbincang mengatasi masalah yang mereka hadapi. Ada yang mencadangkan disembelih saja kaldai mereka. Pastilah pupus kaldai kerana habis disembelih.

Ada juga yang mencadangkan dijual saja ke pasar! Sudah tentu pasar penuh sesak dengan kaldai dan tidak ada siapa pula yang nak membelinya kerana mereka juga tahu kaldai binatang yang pemalas dan bodoh!

Ada juga yang mencadangkan supaya mereka menggunakan rotan. Ohhh tidak! Itu menampakkan kezaliman. Apa kata dunia menganiaya binatang yang bodoh dan malas?

Bersuaralah seorang tuan kaldai. Dia adalah antara pemimpin kepada tuan-tuan kaldai. Pada mereka inilah letak prinsip perjuangan Ketuanan Tuan Kaldai. Jangan salah sangka, bukan ketuanan kaldai! Ketuanan Tuan Kaldai!

"Si bodoh selalunya mengikut saja, tetapi kerana malas, ianya tak mengikut apa yang diarahkan! Cuma si bodoh ianya tak boleh berfikir panjang dan matang! Si malas menunggu yang pipih datang melayang, yang bulat datang bergolek, ertinya subsidi dan bantuan, lebih tepat lagi bolehlah dikatakan sogokan, cuma jangan disebut rasuah! Salah!" Kata si pemimpin Ketuanan Tuan Kaldai!

Menyahut salah seorang dari pemimpin tersebut, "kalau macam tu teruk juga kita, asyik nak sogok aja!"

"Sogok dengan caranya," sambil tersenyum pemimpin Ketuanan Tuan Kaldai menjawab, "jangan kita berhabisan, si bodoh dan si pemalas lazimnya sentiasa mengharap, pengharapan itu kita berikan dan kita pergunakan sebaik mungkin."

Lalu bersepakatnya semuanya untuk memperbodohkan lagi si kaldai yang sudah berketurunan menjadi tunggangan dan alat pengangkutan. Ditambatlah kayu panjang yang melebihi had kepala kaldai seperti joran pancing ke depan. Lalu digantung isi lobak yang menjadi kegemaran kaldai memakannya.

Apatah lagi kaldai pun mengharapkan untuk dapat makan lobak yang bergantung di depannya itu lalu berjalanlah ia tanpa payah ditarik atau ditolak dengan membawa bebanan yang berat. Tuan kaldai hanya membetulkan tali arahnya saja untuk ke kiri atau ke kanan. Kaldai terus melangkah tanpa henti untuk mendapatkan lobak kegemarannya yang bergantung di depannya sepanjang perjalanan!

Tersenyumlah tuan-tuan kaldai lalu memuji pemimpin Ketuanan Tuan Kaldai kerana memberikan idea yang menyenangkan mereka menggunakan kaldai untuk terus berkuasa dan kaya raya!

(Cerita ini tidak ada kena mengena dengan manusia dan binatang samada yang masih hidup ataupun yang sudah mati - hanya cerita biasa untuk anak cucu kon menghayatinya supaya tidak menjadi kaldai dengan lobak.)

CUCU: Teringat nasib bangsaku dengan DEB!

Nota: Jangan ketinggalan melayari blog kon lagi satu. (http://tokperan.blogspot.com)





Monday, November 3, 2008

IMPIAN 2 EKOR KUCING - Drama Pendek Dari Pondok Kecil Di Hujung Kampung

Assalamualaikum ...

POHON SENA DAUNNYA RIMBUN,
TANAM DI TEPI KEDAI CINA;
SI KAYA LENA HARTA BERTIMBUN,
SI MISKIN DIBUAI MENJAMAH HINA.

Itulah pantun kon hari ini ...

KISAH ini bermula di sebuah pekan sahari dalam sebuah bandar kecil di sebuah negara yang berslogankan makmur! Ertinya nama negeri tu Makmur. Letaknya entah di mana. Cari dalam peta memang tak jumpa tapi ianya ada dalam dunia ini.

Dalam kesibukan manusia beranika jenis hala tujuannya, maka bertemulah 2 ekor kucing di kesibukan pekan sahari itu. Seekor kucing asrama dan seekor lagi kucing pasar. Kedua-duanya amat bangga menjadi rakyat di negeri yang makmur itu.

SKRIPNYA BEGINI.


SETELAH PANDANG MEMANDANG AKHIRNYA MERAPATKAN DIRI BERTEMU MUKA.

KCG PASAR: Apa khabar? Dari mana?

KCG ASRAMA: Khabar Baik! Dari asrama. Saja jalan-jalan! Awak dari mana?

KCG PASAR: Dari pasar, tak jauh dari sini. Jalan-jalan juga.

LALU KEDUA-DUANYA BERJALAN-JALAN DARI LORONG GERAI KE LORONG GERAI DI PEKAN SAHARI TERSEBUT MELINTASI CELAH-CELAH KAKI ORANG RAMAI. AKHIRNYA SAMPAI DI KAWASAN PARA PENJUAL IKAN.

KCG ASRAMA: Hoiiii!! Ikan baru-baru nampaknya!

KCG PASAR: Ahhhh! Awak ni gopoh sangat memuji! Awak tahu tak. Koi tinggal di pasar. Moden dan canggih! Ikan-ikan yang ada di situ semuanya baru-baru belaka dari laut! Pilih sajalah yang mana suka! Di sini sudah kelas kedua ketiga ikan-ikannya!

KCG ASRAMA: Ehhh!!! Betul ke?

KCG PASAR: Kalau tak betul mari pergi tengok!

MELANGKAHLAH KUCING ASRAMA MENGIKUT KUCING PASAR MENUJU KE PASAR MODEN. SAMPAI DI PASAR TERSEBUT KEDUA-DUANYA MEMERHATI PADA GERAI-GERAI YANG BERSUSUN JENIS IKAN DI ATAS MEJA BATU BERSALUT MAR-MAR.

KCG ASRAMA: Amboi!!! baru-baru belaka ikan di sini! Matanya masih bersilau! Hebat! Hebat tempat tinggal awak! Tentu enak ikan yang awak makan.

KUCING PASAR TERSENGEH-SENGEH KENA PUJI.

KCG ASRAMA: Tunggu apa lagi! Kita ambil seekor untuk nak rasa.

KEDUA-DUANYA MELOMPAT KE ATAS MEJA UNTUK MENCAKUP SEEJOR IKAN KEMBUNG YANG MASIH SEGAR. TAPI TAK SEMPAT NAK MEREPONGNYA DENGAN PANTAS PENYAPU MENGHINGGAPI KEDUA-DUANYA DILIBAS OLEH TUAN PUNYA GERAI TERSEBUT. PANTAS TERJUN KEDUA KUCING SAMBIL MENJILAT-JILAT BADAN YANG BARU SAJA KENA BELASAH PENYAPU TUAN IKAN ....

KCG ASRAMA: Kenapa kita jadi macam ni?

KCG PASAR: Itu bukan hak kita.

KCG ASRAMA: Hak kita di mana?

KUCING PASAR MELANGKAH DAN DIIKUTI OLEH KUCING ASRAMA KE ARAH TEMPAT MEMBUANG SAMPAH DI HALAMAN PASAR MODEN ITU. KEDUA-DUANYA PUN MENCAKUPLAH IKAN YANG DIBUANG KE SITU SETELAH BUSUK DAN PECAH PERUT.

KCG PASAR: Di sinilah makanan kita!

SETELAH SELESAI MAKAN LALU KUCING ASRAMA DENGAN RASA BANGGA MENYARANKAN.

KCG ASRAMA: Di sini semuanya ikan mentah! Ikut koi ke asrama! Lagi hebat ikannya!

MELANGKAHLAH KUCING PASAR MENGIKUT KUCING ASRAMA DENGAN SERIBU HARAPAN UNTUK MENGECAPI MAKANAN YANG HEBAT MENUJU KE SEBUAH ASRAMA DI PINGGIR PEKAN KECIL ITU. SAMPAI DI ASRAMA LALU KEDUA-DUANYA MASUK KE RUANG DEWAN.

KETIKA ITU TENGAHARI HAMPIR SAMPAI WAKTU MAKAN. KELIHATAN HIDANGAN SUDAH BERADA DI ATAS BEBERAPA MEJA DENGAN BERBAGAI JENIS MASAKAN TERMASUKLAH JUGA IKAN KERAPU MASAK 3 RASA. BAUNYA BEGITU ENAK MEMBUATKAN HIDUNG KUCING PASAR BERGERAK-GERAK ...

KCG PASAR: (DALAM HATI) Selama ini makan ikan mentah, hari nilah baru nak merasa makan ikan masak bergulai!

KCG ASRAMA: Tengok!!! Hebatkan! Ada alas meja. Bersih! Dihidang dengan teratur. Banyak masakannya. Boleh pilih yang mana suka mengikut citarasa selera!

KCG PASAR: Betul! Betul! Marilah kita jamah!

KEDUA-DUANYA PUN MELOMPAT KE ATAS MEJA. SEBAIK NAK MENCAKUP IKAN KERAPU MASAK 3 RASA. MASA ITU JUGA PENYAPU MENGHINGGAPI BADAN MEREKA. KALI INI BATANG PENYAPU PULAK. PANTAS MEREKA TERKEJUT DENGAN KESAKITAN SAMBIL MEMBETUL-BETULKAN TULANG BELAKANG YANG BARU SAJA KENA BELASAH OLEH PENJAGA ASRAMA.

KCG PASAR: Macam mana kita?

KCG ASRAMA: Ikut!

KUCING PASAR MENGEKORI KUCING ASRAMA MENUJU KE TONG SAMPAH BELAKANG DAPUR. KEDUA-DUANYA MEMANJAT TONG SAMPAH TERSEBUT DAN MENGUIS-NGUIS LALU DAPATLAH IKAN YANG TINGGAL TULANG DAN TENGKORAK TAK BERDAGING SISA MAKANAN TENGAHARI SEMALAM YANG BELUM LAGI DIANGKUT OLEH PETUGAS MAJLIS PERBANDARAN.

SETELAH MENGHABISKAN TULANG DAN TENGKORAK IKAN KEDUA-DUANYA BEREHAT DI ATAS BANGKU BATU PERHENTIAN BAS PEKAN KECIL ITU.

KCG ASRAMA: Awak makan macam tu hari-hari?

KCG PASAR: Macam tulah! Awak?

KCG ASRAMA: Macam tadi juga hari-hari!

KEDUA-DUANYA TERUS BERSEMBANG SAMBIL MENJELIR-JELIRKAN LIDAH.

(Cerita ini tidak ada kena mengena dengan manusia atau binatang samada yang masih hidup atau pun yang sudah mati. Hanya cerita kon pada anak cucu kon semasa mereka hendak tidur sesekali pulang ke kampung.)


CUCU: Teringat Orang Melayu dengan DEB!

Saturday, November 1, 2008

NASIB SI SETIA YANG PENAKUT - Cerita dari Pondok Kecil Di Hujung Kampung.

Assalamualaikum ...

DARI ROKAN KE PEKAN LUKUT,
MENUNGGU RAKAN DARI RENGIT;
PATUH BUKAN KERANA TAKUT,
SETIA BUKAN KERANA RINGGIT.

Biasa saja pantun kon hari ini ...

MAKA dilepaskan beberapa ekor anjing oleh Penghulu atas kehendak isterinya yang amat gilakan emas ringgit, pangkat dan kuasa membantu kerja Pawang memburu kijang betina yang tiba-tiba memasuki taman larangan.

Kijang betina itu pun cuba lari tetapi masih meronta-ronta mahukan gelang emas yang dijanjikan oleh Penghulu dalam mimpinya kerana kijang betina itu berjaya mendapatkan kayu gerharu bernilai beratus juta ringgit harganya.

Malang bagi kijang betina yang biasa bermain hutan rimba, gunung dan bukit itu tidak mengetahui akan cara di taman larangan. Terkurbanlah ianya dimamah oleh anjing-anjing buruan Penghulu yang memang hebat melaksanakan perintah tuannnya walaupun upah hanya sepinggan nasi. Tapi ianya telah dilatih untuk setia! Dia juga dilatih mesti takut pada tuannya. Dengar dan patuh!!!

Anjing yang lahab bersama Pawang yang tamak mendapatkan timbunan emas untuk Penghulu terus menyiang serta memamah daging dan isi perut kijang tersebut. Namunnya tulang tidak terdaya direpong oleh si anjing dan pawang pun anggap ianya tidak ada harga lalu dibiarkan saja.

Pihak pelindung hidupan alam mengetahui bahawa ada kijang betina yang mati dan dapat dikesang tinggal tulang saja setelah di siang dan direpong mamah oleh anjing-anjing, lalu kawasan itu dikepong dan dipasang perangkap.

Terperangkaplah Pawang bersama beberapa ekor anjing di kawasan milik pihak pelindung hidupan alam. Tindakan dilakukan. Penghulu dan isterinya berdiam diri sambil membelik gelang emas dalam gedung harta bertimbunnya.

Setelah puas meneriak dan meronta akhirnya Pawang terlepas dari perangkap kerana dia manusia yang menjaga pundi-pundi Penghulu. Malang si anjing kerana ianya binatang yang begitu taat kerana sepinggan nasi dan takut mengengkari arahan tuannya. Terperangkap!

(Cerita pendek ini hanya lamunan fikiran kusut kon yang tak boleh melelapkan mata. Ianya tak ada kena mengena dengan manusia atau dengan binatang samada yang hidup ataupun yang dah mati.)

CUCU: Selalu sangat bercerita bodoh dengan anak-anak dan cucu-cucu untuk kemesraan tetapi ada pengajaran!