Friday, June 6, 2008

HARGA MINYAK HADIAH PILIHANRAYA 2008 ! Pengundi BN Pasti Berfikir Panjang.


Assalamualaikum ...

BILA MELANGKAH MENAMPAK GERAK,
BILA BERCAKAP MENAMPAK NIAT.

Hah! Itulah antara pesan arwah abah kon ...

DIMANA-mana, bila-bila saja, terutamanya di kedai kopi, di pejabat, cerita harga minyak naik mendadak kini menjadi perbualan utama. Nak dikatakan apa? Negara yang selama ini mengagungkan kehebatan sebagai negara makmur, mewah, membangun pesat, hampir bersaing seiring dengan negara-negara Barat (kononnya), tiba-tiba rakyatnya mengeluh kesah menggegar kerharmonian, kebahagiaan yang kononnya dikecapi selama ini berbagai kesenangan dengan gaji pegawai kerajaan naik, orang kampung bersorak riang kerana harga sawit dan getah begitu lumayan, semuanya menjelang Pilihanraya Umum 2008.


Lontaran subsidi yang tak habis-habis diperagakan oleh Kerajaan BN terus melembabkan fikiran rakyat. Lantas atas nama mengenang jasa, termakan budi, tak ada lain pilihan hanyalah BN saja yang mampu memberikan kehidupan selesa selagi hayat dikandung badan. Oh! Tak kan nak undi lain parti! Yang lama tu jugalah pilihan ditentukan.

Datanglah apa saja saranan. Muncullah apa saja hasrat dan komen dari pihak mana sekali pun. Pilihan tetap 'yang lama tu jugalah'.

Malaysia negara pengeluar minyak! Bukan pembeli minyak! Ini cakap paling mudah untuk difahami oleh rakyat. Pengeluar tidak layak disamakan dengan pembeli. Kalau sebuah Kerajaan yang baik dan adil untuk rakyat, maka Kerajaan itu mesti menjaga kepentingan rakyatnya. Bukan membebankan rakyat sehingga menjadi keluh kesah.

Pengeluar boleh mengaut untung besar! Pengeluar juga boleh mengaut untung kecil demi kepentingan kehidupan selesa rakyatnya. Kalau pembeli kemudian menjual balik ceritanya lain.
Kalau beli dengan harga tinggi kenalah jual dengan harga tinggi.

Contoh untuk orang kampung yang amat teguh dengan falsafah kuno, 'yang lama tu jugalah!' Seperti orang menjual goreng pisang. Kalau dia mempungyai kebun pisang dan dia sendiri menjual goreng pisang, kenapa mesti meletakkan harga tinggi untuk saudara maranya dalam kampung membeli? Sedangkan dia adalah pemimpin kampung tersebut yang sentiasa mengatakan hidupnya untuk keselesaan orang-orang kampungnya. Itu namanya mengutip laba yang besar dengan menindas secara tidak langsung orang-orang yang dipimpinnya.

Berbezalah dengan penjual goreng pisang yang tidak ada ladang pisang, terpaksa membeli pisang dari pekebun pisang lain. Kalau pekebun pisang meletakkan harga tinggi, maka munasabahlah penjual goreng pisang meletakkan harga goreng pisangnya tinggi sehingga menjadikan pelanggannya keluh kesah.

Dalam hal kenaikan minyak ini, Kerajaan BN memang mahu menguji kesetiaan rakyat terutamanya pengundi 'yang lama tu jugalah' sama ada masih terus menyokongnya atau menentang. Ini ujian besar yang dihulurkan kepada rakyat untuk Kerajaan BN yang cope (bahasa kampung kon) nak mengadakan Pilihanraya Umum dalam jangka masa terdekat. Kalau rakyat keluh kesah sahaja kemudian sunyi senyap dengan bidalan 'alah bisa tegah biasa' seperti yang berlaku sebelumnya terhadap harga gula, susu, tepong, minyak masak dan beras, maka Kerajaan BN amat faham bahawa rakyat negara ini sekadar melatah ketika guruh berbunyi sahaja dan bila hujan datang bersama kilat dan guruh , lalu mereka pun tidur lena kerana 'alah bisa tegah biasa.'

Maka harga minyak kempunanlah nak diturunkan oleh Kerajaan BN kecualilah Kerajaan BN itu sendiri turun dari tahta pemerintah negara ini. Dato' Sri Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum PKR menjanjikan jika Pakatan Rakyat (PR) berjaya memerintah, harga minyak akan diturunkan. InsyaAllah janji beliau dengan katanya, "saya akan lakukan bila saya berjanji!" Inilah yang harus dinantikan oleh rakyat.

Peliknya! Alat sebaran am yang menjadi kuda tunggangan Kerajaan BN, menghilangkan keresahan rakyat dengan harga minyak secara kebudak-budakan. Mereka menonjolkan pendapat rakyat termasuk yang bijak, yang cerdik dan kurang cerdik atau tidak cerdik tentang penyelesaian mudah.

Umpamanya, mereka menyarankan naik basikal, jalan kaki, kongsi kereta, kurangkan mengguna kenderaan untuk hal-hal biasa, ini suatu kebaikan kata mereka dimana mengajar rakyat berjimat cermat.

Apakah mereka tak tahu atau menyurukkan yang mereka benar-benar tahu terutamanya mereka yang amat cerdik kesan kepada kenaikan harga minyak itu? Bila minyak kenderaan naik, pengangkutan utama menggunakan minyak, seluruh barang keperluan dan kemewahan diangkut dengan kenderaan maka barang-barang tersebut terpaksa juga menanggung perbelanjaan minyak pengangkutannya. Siapakah yang akan membayar harga minyak yang melambung naik mengangkut barang-barang tersebut bila ianya sampai pada pembeli?

Pastilah pembeli yang menanggungnya! Kenapa ini tidak ditonjolkan? Apakah hanya berbicara hari ke hari dengan meminta rakyat menjimatkan penggunaan kenderaan pribadi sahaja? Kemudian ianya digula-gulakan dengan subsidi terus kepada pengguna kenderaan dengan nilai tak sepadan dengan kenaikkan jika dinilai sehalus-halusnya.

Kepada pengundi BN di PRU 12 diingatkan! Jangan berpesta sangat dengan subsidi yang akan diterima. Minyak kenderaan pribadi naik mendadak, akan diekori dengan harga barang keperluan dapur dan keperluan umum akan ikut naik. Imbangan subsidi tidak akan seimbang jika ditimbang dengan dacing tulen bukan neraca BN.

Kerajaan BN amatlah mudah meredakan keresahan rakyat di kampung-kampung terutamanya. Bila harga gula naik atau gula susah nak dapat, pemimpin UMNO / BN atau kuda-kuda tunggangannya mengeluarkan pendapat, "kurangkan makan gula boleh mengelak dari terkena penyakit kencing manis."

Bila tepung naik harga, mereka juga mengatakan, "bahaya makan roti canai terlalu banyak dan kerap, ianya boleh mendatangkan penyakit darah tinggi." Bila minyak masak naik harga dan susah diperolehi, mereka juga mengatakan, "jangan gunakan banyak minyak masak kerana banyak lemak." Maka inilah kerja mudah Kerajaan BN untuk menyusahkan rakyat! Bila beras naik harga, maka berbunyilah juga supaya rakyat beralih mencari makan lain kerana beras mempunyai banyak kanci.

Bagaimana pun tidak hairanlah kerana rakyat negara ini terlalu menyanjung sangat kehabatan (bukan hebat) BN walaupun kehidupan mereka dhaif kalau pun tidak kais pagi makan pagi, kais petang membawa hutang!

Oleh itu apakah rakyat tidak sedar dengan gelagat pimpinan UMNO / BN yang satu demi satu tampil membawakan perkara menyusahkan rakyat? Apakah Kerajaan UMNO / BN ini masih mahu dikekalkan lagi jika berlaku Piliharaya akan datang? Jawapannya sebilangan kecil sahaja yang tidak sedar dan kalau pun sedar tapi mempunyai kepentingan diri dan kroni. Umumnya PR (Pakatan Rakyat) menjadi pilihan kini kerana UMNO yang mengepalai BN melayarkan bahtera dengan angin Ketuanan Melayu tetapi PR dengan Ketuanan Rakyat. Pemimpin Melayu menenggek atas kepala Melayu untuk menikmati kemewahan dengan irama perkauman.

Pemimpin PR meletakkan rakyat dipuncak penentuan dengan Keadilan Untuk Semua!

Kenaikan mendadak harga minyak menyedarkan rakyat betapa Kerajaan BN tidak prihatin dengan beban rakyat termasuklah mereka mengundi BN yang termakan falsafah
lapuk, 'yang lama tu jugalah!!!!'

InsyaAllah bila Kerajaan BN tumbang dan Kerajaan PR muncul, ambang baru menyingkap gerbang kehidupan rakyat dengan Keadilan Untuk Semua dimana rakyat diletakkan pada asas kebajikan dan keadilan untuk hidup selesa di bumi Malaysia Baru nanti!


CUCU: Teringat PM kata Yuran Sekolah dimansuhkan. Tak lama kemudian Menteri kata Bayaran Tambahan dikenakan. Tambah lebih besar dari yuran berlipat ganda.

1 comment:

Letting the time pass me by said...

Saya rasa kita kena MOGOK..

MOGOK kerja selama seminggu dan teruskan sehingga kerajaan menurunkan harga minyak..

Mintak semua majikan bersatu hati dalam menjalankan mogok ini..

Jadikan mogok ini agenda negara…

MOGOK nie lagi bagus, kau tak payah nak duduk berkumpul dekat PWTC ke KLCC ke, just tak payah datang ofis… duduk kat rumah aje sambil tengok TV… tak de risiko kena sembur gas pemedih mata dan air kimia dan tak dikejar FRU atau Polis….