Friday, November 28, 2008

Citrapurba : TOK RAJA VS PENGHULU SUAMI ISTERI

Assalamualaikum ....

ULIT-ULIT MENCARI USUL,
DAPAT USUL SAKA MERASUK;
BENGKAK KULIT KERANA BISUL,
PECAH BISUL NANAH MEMBUSUK !

Inilah pantun kon kali ini ....

TOK Raja (bukannya Sultan) yang pernah ditangkap dan dikurung dalam kandang Hukum Tanpa Dakwa dan baru saja dilepaskan kemudian dipanggil untuk dibicarakan atas dakwaan menaburkan fitnah terhadap Penghulu dan isterinya yang bakal menjadi Tok Demang di negara Seantara Habat.

Berhajatlah Tok Raja kepalanya botak badannya bulat itu untuk memanggil saksi-saksi sebagai menguatkan hujjahnya bahawa dia tidak menaburkan fitnah tetapi sungguh-sungguh apa yang dikatakannya di hadapan hakim Kancil.

Antara saksi-saksinya ialah pengawal-pengawal kampung yang dikatakan pernah menjadi pengawal khas kepada Penghulu dan isterinya yang dikatakan difitnah oleh Tok Raja.

Bagi rakyat jelata yang dengu dan pengampu dalam negara Seantara Habat ini tidak ada apa-apa yang dikhuatirkan oleh Penghulu kerana taraf Penghulu dan bakal menjadi Tok Demang akan memainkan peranan penting dengan kuasa yang ada mampu menghalang pengawal kampung tersebut dari dijadikan saksi melalui keputusan hakim Kancil.

Sebaliknya jika hakim Kancil ini berdiri sebagai si cerdik yang tak ikut telunjuk si rakus, lalu mengizinkan permintaan Tok Raja, maka apa akan jadi dengan Penghulu dan isterinya yang ada bisul di kulit mereka?

Rata-rata rakyat menunggu dengan penuh debaran sambil menutup hidung kerana bisul yang membengkak di kulit, dah merah menyala, menunggu tergesel sedikit dengan jari lalu mata bisul itu pun pecah dan nanah melambak keluar dengan bau yang busuk.

Nanah yang busuk itu datang dari bisul yang pecah dan terus memekong kerana Penghulu dan isterinya menghidap kencing manis!

Ada juga nanti rakyat yang tertanya-tanya, bau hanyir busuk pekong ini dari mana? Kerana rakyat itu yang leka dibuai mimpi menunggu Penghulu menjadi Tok Demang negara Seantara Habat.

Apa pun rakyat fikirkan tidak sama dengan apa yang Penghulu dan isterinya fikirkan! Mereka terpaksa mencari ramuan melelapkan mata untuk tidur sebelum berundur atau diundurkan!

Tok Demang yang ada kini fikirannya pun tak boleh dibaca juga. Walaupun taringnya dah tumpul dan akan tanggal tak berapa lama lagi namun kukunya masih ada dan masih tajam, macam jugalah Tok Demang Tua! Pekap-pekap dada lantang juga bersuara!

(Cerita purbawara ini tidak ada kena mengena dengan manusia yang hidup atau pun yang dah mati - ianya diriwayatkan kepada anak cucu yang hujung minggu tidur di rumah pusaka peninggalan nenek moyang)

CUCU: Ingat pesan Tok Kedu - Bangkai boleh ditudung tapi bau busuknya meresap seisi kampung!

1 comment:

.@blogger.com said...

Salam,
Blog yang menarik dengan pantun dan cerita yang menarik. Teruskan perjuangan. Lawati juga blog saya bRAVE hEART - http://breveheart-blogger.blogspot.com