Sunday, November 9, 2008

KALDAI DENGAN LOBAK - Cerita Dari Pondok Kecil Di Hujung Kampung

Assalamualaikum ...

TARIK UPEH DI TUJU KE BAGAN,
TEMPUH SELAMAT PENUH DUGAAN;
BIBIR BERBUIH MENYEBUT PERJUANGAN,
HATI TERSEMAT DENGAN KEBENDAAN.

Itulah pantun kon kali ini.


SI TUAN kaldai amat susah hati. Rata-rata dah tahu kaldai bukan saja binatang yang amat bodoh tetapi juga amat pemalas. Kerana itu si tuan kaldai amat susah hati untuk mempergunakan kaldai semada sebagai tunggangan ataupun pembawa beban!

Lantas beberapa tuan kaldai duduk berbincang mengatasi masalah yang mereka hadapi. Ada yang mencadangkan disembelih saja kaldai mereka. Pastilah pupus kaldai kerana habis disembelih.

Ada juga yang mencadangkan dijual saja ke pasar! Sudah tentu pasar penuh sesak dengan kaldai dan tidak ada siapa pula yang nak membelinya kerana mereka juga tahu kaldai binatang yang pemalas dan bodoh!

Ada juga yang mencadangkan supaya mereka menggunakan rotan. Ohhh tidak! Itu menampakkan kezaliman. Apa kata dunia menganiaya binatang yang bodoh dan malas?

Bersuaralah seorang tuan kaldai. Dia adalah antara pemimpin kepada tuan-tuan kaldai. Pada mereka inilah letak prinsip perjuangan Ketuanan Tuan Kaldai. Jangan salah sangka, bukan ketuanan kaldai! Ketuanan Tuan Kaldai!

"Si bodoh selalunya mengikut saja, tetapi kerana malas, ianya tak mengikut apa yang diarahkan! Cuma si bodoh ianya tak boleh berfikir panjang dan matang! Si malas menunggu yang pipih datang melayang, yang bulat datang bergolek, ertinya subsidi dan bantuan, lebih tepat lagi bolehlah dikatakan sogokan, cuma jangan disebut rasuah! Salah!" Kata si pemimpin Ketuanan Tuan Kaldai!

Menyahut salah seorang dari pemimpin tersebut, "kalau macam tu teruk juga kita, asyik nak sogok aja!"

"Sogok dengan caranya," sambil tersenyum pemimpin Ketuanan Tuan Kaldai menjawab, "jangan kita berhabisan, si bodoh dan si pemalas lazimnya sentiasa mengharap, pengharapan itu kita berikan dan kita pergunakan sebaik mungkin."

Lalu bersepakatnya semuanya untuk memperbodohkan lagi si kaldai yang sudah berketurunan menjadi tunggangan dan alat pengangkutan. Ditambatlah kayu panjang yang melebihi had kepala kaldai seperti joran pancing ke depan. Lalu digantung isi lobak yang menjadi kegemaran kaldai memakannya.

Apatah lagi kaldai pun mengharapkan untuk dapat makan lobak yang bergantung di depannya itu lalu berjalanlah ia tanpa payah ditarik atau ditolak dengan membawa bebanan yang berat. Tuan kaldai hanya membetulkan tali arahnya saja untuk ke kiri atau ke kanan. Kaldai terus melangkah tanpa henti untuk mendapatkan lobak kegemarannya yang bergantung di depannya sepanjang perjalanan!

Tersenyumlah tuan-tuan kaldai lalu memuji pemimpin Ketuanan Tuan Kaldai kerana memberikan idea yang menyenangkan mereka menggunakan kaldai untuk terus berkuasa dan kaya raya!

(Cerita ini tidak ada kena mengena dengan manusia dan binatang samada yang masih hidup ataupun yang sudah mati - hanya cerita biasa untuk anak cucu kon menghayatinya supaya tidak menjadi kaldai dengan lobak.)

CUCU: Teringat nasib bangsaku dengan DEB!

Nota: Jangan ketinggalan melayari blog kon lagi satu. (http://tokperan.blogspot.com)





1 comment:

Ayiem said...

Assalamualaikum,

Selamat berjuang mendedahkan kemungkaran gerombolan lanun ini....Tahniah

warisan perjuangan tok kita perlu diteruskan.....