Tuesday, May 6, 2008

DETIK KERAMAT - RAKYAT ROBEK PENJAJAHAN MINDA

Assalamualikum semua ...

DUDUK BERLUTUT BERALAS BALDU,
BERHATI-HATI MENGGERAK BAHU;
MANIS MULUT SEENAK MADU,
DALAM HATI SIAPALAH TAHU.


SINGGAH DI TANJUNG MEMBELI LADA,
LADA PIPIT UNTUK PENUMIS;
MASA DISANJUNG MENDABIK DADA,
MASA TERSEPIT MERAYU MANIS.

Hah! Itulah pantun kon (aku) kali ini.

SEPATUTNYA sudah tidak perlu lagi gembar gembur pihak mana pun tentang perpaduan Melayu atau permuafakatan Melayu. Kan orang Melayu memang amalannya berkampung, berpakat, bila merancang mengambil kata sepakat. Perumpamaan keramat berbunyi: Bulat air kerana pemetong, bulat manusia kerana muafakat!

Amalan permuafakatan melahirkan kerja: Ke lurah sama berlumpur, ke bukit sama berdebu. Atau Kalau panas sama kering, kalau hujan sama basah. Lalu mengecapi hasil permuafakatan berbincang, kerja bersama dengan menikmati: Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah!

Melayu hidup serumpun: Duduk sama rendah berdiri sama tinggi mertabatnya. Ertinya tidak ada kasta atau perbezaan taraf sesama Melayu. Ertinya tidak ada pilih kasih menjadi amalan Melayu. Itulah Melayu! Dengan itulah kampung diteroka, negeri dibentuk, kerajaan ditadbiri secara adil! Jika terpesong, pesalah dihukum, yang benar tetap benar! Tidak akan menjadi gunting dalam lipatan. Tidak membalut pekong dengan sutera. Apa di hati itulah di bibir!

50 tahun lamanya UMNO memerintah Tanah Melayu dan sekarangnya Malaysia! Sanjungan diberikan membawa kemenangan setiap pilihanraya. Jangka masa yang panjang setengah abad itu meletakkan pemimpin UMNO hari demi hari salih berganti dan hari demi hari semakin megah, sombong, bongkak (ego), tamak haloba menyelaputi hati hempedu.

Kini pemimpin UMNO (bukan ahli UMNO) merasa merekalah yang berkuasa di bumi ini. Lalu di atas sikap terlalu ego itu mereka melakukan berbagai kerenah yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pemimpin Melayu yang melaongkan perjuangan untuk Melayu yang beramalkan agama Islam. Atas ego yang melampau mereka melakukan penyelewengan kuasa untuk kepentingan diri, untuk keluarga, untuk kroni yang menjaga kepentingan mereka. Mereka hanya mahu mereka dan keturunan mereka saja yang berkuasa! Mereka mahu mereka dan kerturunan mereka saja yang kaya raya. Mereka hanya menjaga kepentingan kroni mereka dan menjadikan si pengampu sebagai kuda tunggangan!

Si Melayu pengampu pula. Untuk menjaga periok nasi, untuk menjaga pangkat dan gaji, berhenmpas pulaslah menjadi kuda tunggangan dengan cara apa sekali pun samada berlari laju atau merangkak tempang. Si pengampu inilah yang cuba mempertahankan pemimpin UMNO yang ego melakukan penyelewengan kuasa dan ada yang sanggup berbohong dan menaburkan fitnah.

Lalu terjadilah pilih kasih. Terjadilah penyingkiran! Terjadilah awak dengan awak, aku dengan aku. Terjadilah pulau memulau sama ada untuk mendapatkan projek atau menerima bantuan dan subsidi. Yang meminggirkan Melayu ialah Melayu! Yang menyekat bantuan atau subsisdi Melayu ialah Melayu! Yang memfitnah Melayu ialah Melayu! Yang tidak bertegur sapa ialah Melayu dengan Melayu! Lalu Melayu berpecah mengambil hala tuju yang mereka rasakan patut mereka ada dimana?

Wujudlah kebanjiran Melayu memasukki PAS. Kemudian Melayu berlonggokan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), ada juga sedikit menyertai DAP dan beberapa buah parti yang kini sudah tidak disenaraikan lagi di papan Pilihanraya. Kebanyakan mereka asalnya dari ahli-ahli UMNO kecuali golongan muda peratusnya tinggi tidak pernah menyertai UMNO.

Angkara siapa? Mudah sangat jawapannya! Angkara dari sikap ego dan tamak pemimpin UMNO yang hendak menjadikan orang Melayu sebagai kuda tunggangan atas slogan lapok bernama 'kesetiaan'. Pemimpin UMNO memperagakan slogan untuk Melayu. Tak kan Melayu hilang di dunia! Pantang Melayu menderhaka!

Generasi hari ini telah bertanya kembali tentang slogan lapok itu. Melayu mana yang tak kan hilang di dunia ini? Adakah Melayu yang mengamalkan budaya Melayu? Adakah Melayu yang mengamalkan Islam sebagai agama orang Melayu? Adakah Melayu yang mengamalkan kehidupan bukan budaya Melayu? Adakah Melayu yang bertatacara hidup dengan amalan bukan amalan Islam? Adakah Melayu yang hidup melarat kais pagi makan pagi, kais petang masih berhutang? Adakah Melayu yang kaya raya lupa dirinya sebagai pemimpin kepada orang Melayu? Banyak lagi pertanyaan itu kini! Sama-sama kita fikirkan tentang slogan tak kan Melayu hilang di dunia di zaman manusia bertemaddun ini!

Pada siapakah Melayu pantang menderhaka? Adakah Melayu pantang menderhak kepada pemimpinnya yang tidak adil? Adakah Melayu pantang menderhaka kepada pemimpinnya yang tamak haloba? Adakah Melayu pantang menderhaka kepada pemimpinnya yang korup? Adakah Melayu pantang menderhaka kepada pemimpin yang tidak mengamalkan budaya Melayu dan amalan Islam sebagai amalan hidup Melayu?Adakah Melayu pantang menderhaka kepada Melayu pengampu dan kuda tunggangan si pemimpin yang ego, jahat, zalim dan macam-macam yang tidak mengikut budaya Melayu dan amalan Islam? Macam-macam lagi pertanyaan tentang pantang Melayu menderhaka di zaman manusia bertemaddun ini.

Yang jelas tidak boleh diungkit ialah Melayu pantang menderhaka kepada Allah dan Rasul serta pemerintah selagi pemerintah itu taat kepada Allah dan Rasul. Di rojokkan kepada kata Saidina Abu Bakar r.a. ketika dilantik sebagai Khalifah; "Taatilah aku selagi aku mentaati Allah dan Rasul!" Pengucapan ini juga diucap oleh Saidina Omar al-Khatab r.a. ketika dilantik sebagai Khalifah kedua.

Kini Pemimpin UMNO tersepit dengan 'penderhakaan' Melayu. Penderhakaan itu (termasuk ahli-ahli UMNO yang telah banyak sedar) untuk menegur dan mengajar pemimpin UMNO yang ego, tamak, dan korup melalui kuasa yang disanjung dan diberikan oleh Melayu selama ini. Ini dinyatakan secara jelas ketika PRU ke 12 (8 Mac 2008).

Rupanya pemimpin UMNO bukan mahu insaf dan mengaku kesalahan atau kesilapan yang mereka lakukan dulu tetapi menuding jari menyalahkan orang Melayu (termasuk ahli UMNO) kerana berpecah dan tidak mahu mengundi Barisan Nasional. Pantas itu mereka cuba menutup pekong sifat dan kelakuan mereka sebagai pemimpin UMNO dengan memasang perangkap samar untuk menjerat sekali lagi orang Melayu.

Setelah pemimpin UMNO terjerut dengan jerat orang Melayu yang mungkin mereka anggap 'tak tahu apa-apa', lalu dengan keadaan tempang meminta secara tidak langsung para NGO (ada yang selama ini menjadi kuda tunggangan dan pengampu yang setia) melepaskan mereka dari jeratan. Mereka juga mula menyeru pemimpin Melayu PKR dan PAS agar berbicara tentang perpaduan dan permuafakatan Melayu.

Awas! Ini adalah taktik yang amat licik di zaman ketamaddunan manusia kini. Peristiwa 1969 ketika UMNO/Perikatan tergugat dengan keputusan pilihanraya umum itu. Mageran dijadikan kambing hitam untuk membayar nazar pemimpin UMNO. Berikutnya mempelawa PAS dan Gerakan bersekongkol dalam Barisan Nasional (BN). Bila mana UMNO/BN telah kukuh, maka PAS ditendang keluar dari BN. Lantas agak lama PAS mengasah taring politiknya untuk bangun sebagai sebuah parti politik yang disenangi dan disegani.

8 Mac 2008 ego pemimpin UMNO/BN tercalar! Rakyat yang sudah mulai terlepas dari penjajahan minda pemimpin UMNO/BN bersatu atas semangat mengwujudkan keadilan, keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua rakyat (membentuk si kaya pemurah - membangunkan yang tertindas) seiringan mengecapi nikmat hasil negara ini secara adil dan berkebajikan bagi melahirkan Malaysia Baru yang benar-benar bertemaddun.

Pemimpin UMNO/BN tidak akan berjaya merosakkan kemerdekaan minda rakyat negara ini semata-mata untuk menutup pekong yang telah busuk bernanah dan mempertahankan kuasa rakus untuk kepentingan sendiri! Melepasi penjajahan minda yang selama ini menjadikan Melayu hanyut di buminya sendiri telah bermula. Melayu sudah mendapat permuafakatan rakyat yang sebenar menolak permuafakatan sempit tajaan UMNO dan anjuran kuda tunggangan yang semakin tempang dan tidak ada harga diri! Detik keramat 8 Mac 2008 berkembang dan menjadikan rakyat negara lebih bertemaddun lagi di semua bidang. InsyaAllah!


CUCU: Cukup berjaga-jaga bila melepaskan anjing tersepit!

No comments: