Wednesday, July 9, 2008

SIKAYA BERKUASA DENGAN ANJING-ANJINGNYA

Assalamualaikum ...

HENDAK KELEDEK DIBERI KELEDEK,
HENDAK CENDAWAN PERGI KE HULU;
HENDAK PROJEK DIBERI PROJEK,
HENDAK LAWAN TUNGGU DULU.


Itu pantun kon hari ini.

Di bawah ni cerita pendek kon (kon layarkan sikit demi sedikit) ....



DALAM banyak orang kaya yang sedang berkuasa, ada seorang yang bernama Pok bin Loh. Selepas ini dipanggil PL. Dianya berkuasa dalam satu tempat entah apa namanya dengan mentadbir secara haru biru dan rundingannya hanya dengan anak menantu. Orang lain cakaplah dia buat tak tahu. Habis-habis susah, dia tidur. Kalau tak lena sampai meleleh air liur basi. Dia buat-buat tidur. Orang bodoh saja bercakap dengan orang tidur. Sebab orang tidur sama nilainya dengan orang mati.

Orang kaya berkuasa tinggi ini (PL) hobi utamanya bukan main golf. Bukan juga kaki kasino. Tapi untuk hibur-hibur sikit untuk redakan fikiran dia ada juga panggil penyanyi dan pemuzik dari luar tempatnya. Tak ada taraflah nak dengar muzik tempatan. Kalau ada juga jemputan merasmikan budaya tempatan, sebelum dan selepas ucapan perasmian dia tidur.
Tapi ingat! Kalau ada perempuan cun-cun kata orang muda, terutamanya artis! Fuuuu dia celik sampai pagi. Kalau dapat pegang-pegang sikit lagi seronok. Dia ni ada ilmu ulardalamsemak! Banyak juga kitab yang dipelajari dan rujukannya lalulah dia mencipta Islam Ada Hari.

Ada hari cakap begini. Ada hari cakap begitu. Ada hari begini begitu! Memang celaru! Akhirnya dia menjadi seorang yang berbohong. Nak tahu masa bila dia berbohong? PL buka saja mulut belum berbohong lagi. Keluar saja perkataan dari mulutnya, bohongnya pun bermulalah! Ini hari cakap esok lain cakap! Tapi lidahnya taklah bercabang macam biawak.

Banyak juga orang hentam dia. Hentam dari luar, hentam dari dalam. Tapi dalam kelambunya tak tahulah dia menghentam pula. Dia ni mempunyai penasihat-penasihat yang terdiri dari anak menantu dan seorang berdua puak kedaratnya. Orang sekarang panggil kroni. Dia jadi Orang Kaya Berkuasa masa tu Orang Kaya Berkuasa Tok Mok atau TM dah tak ada orang nak gantikan dia lalu ambillah buat sementara waktu, janjinya.

Tapi bila dah dapat peluang yang diidamkan secara mudah. Hati perutnya langsung tak terfikir tentang sumpah seranah orang. Suruh dia berhenti jauh sekali. Nak cakap apa dia yang berkuasa! Ada juga orang kata menantunya lagi besar kuasa dari dia. Menantunya bekas murid Petaka Guru Pergunungan Opok Uri seberang laut.

Banyak juga rakan-rakan sekayanya dalam Kelab Membuta Tuli yang nak lawan dia. Ohhhh! Pantang dicabar! Bila-bila boleh! Tak larat pun dia buat larat juga. Yang laratnya kuasa dia. Kuasa pengaruh tak seberapa. Kuasa pangkat dengan kuasa duit memang ada!

Macam kata pantun:

Sorong papan tarik papan,
Buah keranji dalam perahu;
Ajak lawan sanggup lawan,
Suruh berhenti dia tak mahu!

Maka tertanya-tanyalah ahli-ahli Kelab Membuta Tuli; "Bila Si Penidur ini nak berhenti?" Dia jawab; "Sebab apa aku mesti berhenti? Aku masih di sini!" Nak cakap apa! Dia sedang memegang pangkat dan berkuasa!

Ada juga beberapa kelab yang lain nak rentap dia tapi dia masih bertahan walaupun dah tak berapa tahan! Lalu macam-macam kerenah dilakukannya. Akhirnya musuh-musuhnya samada dari dalam kelabnya atau dari kelab lain berantuk kepala! Belum ada lagi yang pecah berdarah! Tapi selar menyelar, antuk mengantuk dah berlaku. Rupa-rupanya bertambah lenalah Orang Kaya Berkuasa PL dengan tidurnya.

Banyak orang hairan macam mana orang tidur boleh hebat kuasanya? Walaupun kuasa itu habat caranya! Lama juga orang cari sebab musababnya. Akhirnya dapat juga dibongkar! Rupanya dia memelihara tiga jenis anjing!

Anjing jenis pertama duduk tunggu pintu pagar. Anjing jenis kedua duduk dalam rumah atas kosyen empok. Anjing jenis ketiga duduk dalam kandang hanya dilepaskan masa nak pergi berburu ...

JENIS ANJING PINTU PAGAR
Maka dikisahkan Orang Kaya Berkuasa begitu banyak menaburkan anjing-anjing yang jenis kuat menyalak. Kuat membuat bising. Dia bersedia membeli berapa harga anjing-anjing yang memang suaranya nyaring menakutkan.

OKB Pok Loh bukan saja meletakkan anjing-anjing jenis kuat menyalak ini di pintu pagar banglo besarnya yang selalu dia mengadakan keraian sekeluarga dengan memanggil beberapa orang artis luar negara terutamanya dari Amerika. Anak menantunya memang pandai menghiburkannya. Bila dia terhibur, dia pun mudah tidur!

Perangai anjing kuat menyalak ini amat hebat. Usahkan orang tak kenal disalaknya. Rakan tuannya pun ia salak juga. Kerjanya menyalak! Menyalak! Menyalak! Semata-mata nak beritahu tuannya bahawa ia ada orang dan tuannya tahulah ia ada buat kerja!

Kadang-kadang bukan manusia rakan tuannya saja disalak oleh si anjing penyalak ni. Kucing, tikus, lembu, kerbau, binatang besar binatang kecil, yang berjalan, yang merayap, yang melompat yang terbang, yang dalam tanah kalau dia terdengar bunyi korekan pun disalaknya.

Ia amat mengharap supaya salakannya nanti akan dapat upah kalau tak sampai senak memadailah pengalas perut! Upah yang diterimanya hanyalah sepinggang nasi, ada masa basi, letak atas pinggan besen bergaul dengan kepala ikan masin yang hampir busuk.

Namun taraf sebagai seekor anjing penyalak sudah cukuplah pada hatinya mendapat habuan yang begitu!

Diriwayat pada satu kisah. Oleh kerana pada satu hari itu tidak ada apa-apa yang melintas di depannya, maka ketika ketul tahinya sendiri gugur ke tanah dari juburnya, dia terus menyalak. Terpinga-pinga OKB Pok Loh meninjau ke sana ke sini, depan belakang mencari siapa yang datang nak mengacau dia tidur ....

Selepas ini kisah perangai si anjing kosyen pula diceritakan ....

Ikuti perjalanan cerita ini dalam CUCU TOK KEDU (http://rp-semantan.blogspot.com) akan datang ....

No comments: